Bismillah
Lepas habis test IMD206 hari tu, ana bersama rakan sekelas melepaskan 'lelah' belajar di sebuah cafe di sekitar UiTM, tak pernah pun sebelum ni 'lepak' malam-malam buang masa. Bila je sampai sana, derau darah mula terasa. Bukan kerana sejuk malam yang menyengat, tetapi bila melihatkan keadaan di cafe yang penuh dengan mahasiswa-mahasiswi yang pada ana terlalu bebas. Bebas dalam berbuat apa sahaja! Bebas membuka aurat. Bebas bertepuk tampar sesama ajnabi. Bebas berdua-duaan melayari 'bahtera cinta nafsu'. Subhanallah. Berat lagi tanggungjawab yang perlu dipikul rupanya. Dengan kelahiran ikhwah yang bagai cendawan tumbuh selepas hujan pun ana rasa tak mampu lagi untuk berhadapan dengan situasi semasa.
Sesungguhnya tentera Islam tidak diajar ilmu peperangan di zaman Rasulullah. Mereka hanya disiapkan dengan iman dan takwa. Impaknya, kerajaan Rom dan Parsi tunduk kepada penguasaan Islam. Tak mustahil sejumlah bilangan yang sedikit dan lemah pada zahirnya, mampu mewujudkan gelombang kuasa yang kuat andai dipandang dari sudut yang lain.
Biasalah, hujung-hujung semester, bebanan pelajaran berlipat kali ganda. Memerlukan komitmen yang tinggi. Dan pada akhirnya, konsentrasi mula terganggu. Tubuh menjadi letih, tak cukup tidur, hubungan dengan sahabat handai renggang seketika, dan yang paling ana sesali komitmen pada tarbiyyah juga turut terhalang. Hilangnya tarbiyyah dalam hidup walaupun seketika cuma sudah cukup memberi kesan yang sangat mendalam. Iman bagaikan terpenjara. Lemah tak berdaya. Bila kerja dakwah mula terhenti, sifat malas mula mengambil tempat. Sungguh! Bagai ibu hilang anak. Hilang punca...
Alhamdulillah, cuti hari raya, walaupun tak lama tapi cukup untuk memberi diri ruang dan peluang untuk mencari cinta dan permata.
Hari Jumaat 26 Ramadhan 1432, tiba-tiba hati tergerak untuk bersolat Jumaat di Masjid Negeri Shah Alam. Alhamdulillah Allah pilih untuk turut hadir bersolat di sana. Pengumuman dibuat mengatakan ada iktikaf perdana peringkat negeri di masjid pada keesokan harinya. Selepas iftar di rumah, hajat di hati ingin solat Isyak berjemaah di Masjid Negeri seterusnya solat terawih dan iktikaf. Tapi ujian pula berlaku, sesampai di perkarangan masjid, ana mengambil masa selama lebih kurang 45 minit untuk mencari parking! Ya Allah. Betapa penuhnya kereta. Menunjukkan pengimarahan masjid yang hebat sedang berlaku! Hanya sempat menyambung solat terawih pada rakaat ke enam.
Akibat terlampau ramai hadirin, ana sendiri rasa terkial-kial dan sesak untuk berjalan. Apatah lagi belum seorang pun yang ana kenal berada di situ ketika itu. Selepas terawih, tenaga semakin susut. Sedang survey tempat untuk tidur, tiba-tiba terlihat seorang pemuda datang ke arah ana. Dengan senyuman ukhwah. Rasa penat bertukar menjadi segar. Subhanallah! Ikhwah yang disayangi dan dirindui, Mustafa, ikhwah dari Jordan yang balik bercuti. Lepas rindu akhirnya. =D Selepas itu muncul seorang demi seorang ikhwah yang turut hadir bersama untuk iktikaf pada hari ini. Alhamdulillah. Seronok dapat kembali berada dalam biah soleh setelah sekian lama berhadapan biah jahiliah dalam usaha mentransformasikannya. Tuhan sahaja yang tahu betapa mencabarnya hingga terkadang diri turut ditarik gelombang sekularisme yang ada.

Sempat menghabiskan 1 juzuk sebelum tidur. Alhamdulillah. Pada pukul 3 pagi, acara qiamulail perdana bermula. Maha Suci Allah! Pengalaman yang paling menakjubkan yang ana lalui sepanjang hidup! Kira-kira 3000 orang hadir pada malam yang bersejarah ini untuk turut mengimarahkan masjid. Bergema seluruh masjid dengan tasbih!
Subhanallah
Alhamdulillah
Allahuakbar
Dah lama sangat tak buat solat sunat tasbih. Kali ni sangat lain. Sangat-sangat lain! Roh itu hidup. Iman terasa segar sesegar segarnya. Selepas solat sunat tasbih, solat sunat taubat menyusul pula dan diiringi solat sunat hajat. Ya Allah, tak terucap betapa istimewanya malam itu. Syukur Allah hiburkan ana dengan keindahan Islam seperti ini. Zikrullah bergema di bibir-bibir. Bersulam pula dengan bacaan al-Quran yang sangat menyentuh jiwa. Terima kasih Allah kerana pilih ana untuk turut merasai pengalaman seumpama ini. 27 Ramadhan 1432, tarikh ganjil berlakunya lailatur qadar. Samada jadi atau tidak lailatur qadar pada 27 ini, bagi ana, inilah lailatur qadar yang selama ni diburu dicari.
Cinta terindah itu ketemu juga akhirnya. InsyaAllah cukup untuk dijadikan bekalan dalam menggerakkan kembali jentera dakwah dan tarbiyyah. Mudah-mudahan.
Mus'ab Umair | 27 Ramadhan 1432
0 Comment:
Post a Comment