Bismillah,
Tadi adik yang bongsu request untuk buat cerpen untuk dia, tema cerpen dia nak keusahawanan. Jadi, mula la karang cerpen, Alhamdulillah siap juga akhirnya. Mohon feedback. Lama dah tak mengarang. NotaKaki, yang part last-last tu sangat mengarut. =,=''
Ardini's Cookies
“Kringggggg” Loceng sekolah berbunyi menandakan waktu rehat telah tiba. Ardini bergerak menuju ke kantin bersama Amalina, sahabat baiknya.
“Awak tak makan ke hari ni Ardini?”
“Tak, saya nak habiskan dulu jual biskut coklat ni. Awak pergi lah makan dulu ye.”
“Takpe la, biar saya teman awak jual biskut coklat ni ye”
Begitulah rutin Ardini di sekolah, gigih menjual biskut coklat kepada sahabat-sahabatnya. Kadang kala, Amalina turut membantu Ardini melariskan biskut coklatnya. Biskut coklat Ardini cukup popular di sekolah hinggakan terdapat beberapa orang cikgu sering kali menempah biskut coklat pada Ardini. Ardini cukup gembira dengan jualannya yang semakin hari semakin berkembang umpama cendawan tumbuh selepas hujan.
Ardini juga tidak lupa pesan ibu supaya melazimkan diri untuk buat solat sunat Dhuha. Kata ibu, bila seseorang itu selalu buat solat sunat Dhuha, rezeki senang melimpah.
“Ya Allah sesungguhnya waktu dhuha itu dhuhaMu, kecantiknya kecantikanMu, keindahannya keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu, perlindungan itu perlindunganMu. Ya Allah jika rezeki masih di langit turunkanlah, jika di bumi keluarkanlah, jika sukar permudahkanlah, jika haram sucikanlah, jika jauh dekatkanlah. Berkat waktu dhuha kecantikanMu, keindahanMu, kekuatanMu, kekuasaanMu, perlindunaganMu. Limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang Soleh. Amin Ya Rabbal alamin”
Begitulah doa yang selalu Ardini baca sesudah menunaikan solat sunat Dhuha. Di sekolah Ardini sibuk menjual biskut coklat, manakala di rumah, Ardini selalu membantu kakaknya Shahireen menjual serbuk mashed potato di kedai yang disewa kakaknya. Biskut coklat Ardini turut dijual di situ.
Walaupun sibuk menjual biskut coklat, Ardini tidak melupakan pelajaran kerana dia tahu agenda dirinya untuk menjadi seorang pelajar yang hebat dalam pelajaran. Ardini telah pun membuktikan pada semua bahawa kesibukan menjual biskut coklat tak mengganggu pelajarannya kerana dia merupakan pelajar cemerlang di sekolah. Keputusan peperiksaannya sangat membanggakan guru-guru di sekolah. Ardini bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan biskut coklat yang berjaya. Minat dalam bidang perniagaan telahpun sebati dalam diri Ardini. Ardini selalu menjadikan Rasulullah sebagai idolanya kerana Rasulullah juga seorang peniaga. Nama-nama seperti Saidatina Khadijah, Abdul Rahman bin auf dan lain-lain sering kali meniti di bibir Ardini sebagai penguat semangat untuk terus bergiat dalam dunia keusahawanan.
Namun, di sebalik kejayaan Ardini, rupa-rupanya terdapat juga orang yang tidak senang dengan apa yang dikecapi Ardini. Dialah Diana yang juga turut menjual kek batik di sekolah. Walau sekeras mana usaha Diana, Diana tidak mampu menandingi hasil jualan Ardini yang sangat maju ke hadapan.
“Aku geram betul lah dengan Ardini, dia pakai bomoh agaknya nak lariskan hasil jualan dia!”
Ngomel Diana pada Rozana, sahabat baiknya.
Suatu hari, Ardini menjual biskut coklatnya seperti biasa, tiba-tiba Ardini mendengar suara Hashimah yang menjerit selepas membeli biskut coklat Ardini. Ardini bergegas kepada Hashimah kerana ingin mengetahui apa yang sedang berlaku.
“Awak tak apa-apa ke Hashimah? Kenapa?” Tanya Ardini kepada Hashimah yang kelihatan pucat dan takut. “Kau ni pengotor lah Ardini! Masa aku nak makan biskut kau tadi, aku ingat bintik-bintik atas biskut kau tu cokelat, rupa-rupanya taik cicak! Lepas tu ada cicak melompat keluar dari paket biskut kau. Aku tak nak beli lagi biskut kau!”
Serba salah dibuatnya. Ardini betul-betul bingung dengan apa yang telah berlaku. Setahu dia, sewaktu membuat biskut coklat bersama ibu, aspek kebersihan merupakan perkara pertama yang dititik beratkan kerana dia sendiri tak suka sesuatu yang kotor. Pesanan ibu supaya sentiasa menjaga kebersihan sebagaimana Rasulullah yang sentiasa dalam keadaan bersih sering menjadi iktibar buat Ardini untuk terus menjadikan kebersihan sebagai syarat utama dalam berbuat sesuatu. Lagipun, bukankah kebersihan itu sebahagian daripada iman.
Berita tentang biskut coklat Ardini yang dicemari taik cicak menjadi perbualan hangat di sekolah. Kadar jualan biskut coklat Ardini semakin merosot. Ramai pelanggan yang lari kerana beranggapan Ardini seorang yang pengotor. Hal ini telah membuatkan jualan kek batik Diana terus meningkat dengan mendadak. Tersenyum puas Diana apabila mengetahui Ardini telah gagal dalam perniagaannya.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Walaupun cuba banyak kali untuk menyelamatkan perniagaannya, Ardini tetap gagal mempertahankan reputasinya dulu. Hal ini sekali gus member impak dalam pelajaran Ardini. Ardini benar-benar berasa kecewa dengan apa yang telah berlaku.
Biskut tak laris berteman tangisan,
Dihina orang parah lukanya.
Sabarlah hati hanya ujian,
Kelak pasti dibalas redhaNya.
Bila jatuh bagai ditindih,
Mencari teman pinta simpati,
Aduhai hati mengapa bersedih,
Tabahkan diri tempuh realiti.
Sempat Ardini mengarang pantun melayan gundah perasaannya itu.
Suatu hari, Ardini terlupa yang dia perlu hadir ke mesyuarat kelab usahawan muda yang diadakan setahun sekali di sekolah. Ardini berlari-lari anak ke dewan besar sekolah untuk turut hadir ke mesyuarat yang penting itu. Tiba-tiba Ardini ternampak Rozana yang juga berlari-lari anak terlanggar dengan Hashimah, mereka terjatuh, Hashimah terseret hingga hampir-hampir jatuh ke longkang.
Ardini cekap memaut tangan Hashimah daripada jatuh ke longkang. Hashimah berjaya diselamatkan. Dia menangis teresak-esak di hadapan Ardini dan Rozana. Rozana hanya tunduk membisu.
“Err, Ardini, terima kasih kerana menyelamatkan saya.”
“Tidak mengapa, dah jadi tanggungjawab saya, Rasulullah pesan, Muslim sesama Muslim yang lain itu kan bersaudara. Mana mungkin saya sanggup lihat saudara yang jatuh longkang.”
Tangisan Hashimah bertambah kuat. Rozana yang sejak tadi berdiam diri terus memeluk Ardini.
“Ardini, maafkan kami, sebenarnya kami lah yang memasukkan cicak dalam bungkusan biskut coklat Ardini hari tu.”
Ardini tergamam dengan apa yang didengarnya. Hatinya menahan sebak bercampur marah. Pesan ibu terus menerjah di minda. Ibu selalu pesan kepada Ardini supaya sentiasa memaafkan kesalahan orang kerana itu perbuatan mulia. Setiap kali sebelum tidur, Ardini akan memaafkan semua orang. Akhirnya Ardini tersenyum.
“Tak mengapa, mungkin Allah hendak menguji keikhlasan saya dalam berniaga.”
Mereka terus bergegas bersama-sama ke mesyuarat di dewan besar. Diana begitu terkejut apabila ternampak Ardini masuk ke dalam dewan ditemani Rozana dan Hashimah. Darah terus memecut ke muka Diana. Bulu rongganya meremang. Berani kerana benar, takut kerana salah. Rozana sebagai setiuasaha agung telah mempengerusikan mesyuarat pada kali ini.
“Bismillahirahmanirahim, saya ada satu pengakuan nak dibuat. Sebenarnya kes tentang biskut coklat Ardini yang dicemari cicak itu hanyalah satu propaganda untuk menjatuhkan Ardini. Sebenarnya Ardini tak bersalah.”
Dewan menjadi gamat. Suara-suara mula bergema. Semua tertanya-tanya siapakah yang telah mengkhianati Ardini. Ardini tercari-cari seseorang di dewan. Akhirnya dia terjumpa orang yang dicari. Diana sedang duduk murung.
“Assalammualaikum, boleh saya duduk sebelah awak?”
“Hmm”
“Diana, sebenarnya saya dah tahu apa yang berlaku. Takpe, awak jangan risau, saya tak marah awak, malah saya akan jaga aib awak sebaik mungkin.”
Menitis air mata Diana kerana begitu bersalah terhadap Ardini, egonya telah runtuh berkecai. Ardini telah menunjukkan akhlak yang begitu mulia kepadanya.
“Saya.... minta...... maaf....... Ardini....”
Sepatah-sepatah Diana menutur kata. Ardini hanya tersenyum. Ketika itu, sesi cadangan sedang berlangsung. Ardini mengangkat tangan menandakan dia ada cadangan untuk dikemukakan pada mesyuarat kali ini.
“Saya nak cadangkan supaya saya dan Diana beserta sesiapa sahaja yang nak turut serta untuk mewujudkan gerai kecil di kantin sekolah untuk kami berniaga.”
Cadangan Ardini diterima. Pada minggu hadapannya, suatu gerai kecil telah tersedia di kantin sekolah. Ardini, Diana, Amalina, Rozana dan Hashimah menjadi peneraju utama gerai kecil di kantin sekolah itu. Perniagaan mereka bertambah maju, gerai yang kecil bertambah besar dan akhirnya mereka telah berjaya menawan kantin sekolah. Tander kantin telah diberikan kepada kakak Ardini. Hubungan mereka bertambah rapat.
Tahun berganti tahun. Kini Ardini telah berjaya membuka kedai biskut coklat bernama Ardini’s Cookies. Ardini kini sedang merasmikan pembukaan cawangannya yang ke 90 di Sabah. Kini cawangan Ardini’s Cookies telah berada di seluruh tanah air. Manakala Diana pula telah menjadi seorang chef yang terkemuka di Malaysia dengan resepi istimewanya, Kek Batik Special telah menjadi popular di seluruh dunia hinggakan pelancong-pelancong asing begitu gemarkannya. Begitu juga dengan Rozana, Hashimah dan Amalina yang telah menjadi rakan kongsi dan membuka sebuah restoran di ibu kota. Mereka sama-sama bahagia dengan perniagaan masing-masing yang semakin popular di dunia. Ardini juga tidak lupa melawat abang dan kakak iparnya yang sama-sama berjaya menjadi penternak kambing sebagai kerja sampingan. Kini ladang kambing abangnya yang bernama ‘The Beng’s Farm’ telah menempatkan beribu-ribu ekor kambing. Kata abang, kalau nak berjaya, tak kira la nak tulis cerpen atau jadi usahawan. Kena mula dengan niat yang ikhlas, jangan lupa juga untuk berusaha kerana usaha tangga kejayaan.
TAMAT =D
1 Comment:
Nak request gk bole? wat la cerita ayah vs anak muslimah? hihi. it can be anything yg bole wat pengajaran dlm khidpn. hehe. sje je.
Post a Comment