Deep Tarbiyyah, and Expand

Monday, September 26, 2011

Kasih Ayah (Cerpen)

Bismillahirahmanirahim. As requested. Untuk "FA" yang request ana untuk buat cerpen tentang Ayah vs Muslimah. 

Solehah mengeluh kecil sesudah majlis pengebumian bondanya, bukan kerana memikirkan nasibnya yang kini bergelar anak yatim namun kerana sedih kerana kelibat ayah masih tidak kelihatan sepanjang majlis berlangsung. 

‘Kenapa ayah langsung tak ambil berat tentang ibu hinggakan ibu pergi buat selama-lamanya pun ayah tak kisah’ keluh hati Solehah. 

“Sabar la ukhti, kalau ana jadi anti pun ana pun sedih. Semua ada hikmah, berdoalah. Mungkin Allah nak uji keikhlasan anti sebagai anak yang wajib patuh pada ayahnya” Solehah senyum tawar. Sekadar meraikan Nurul yang tak pernah jemu memberi nasihat buatnya untuk dia terus tabah hidup di dunia. 

Senja menutup tirai, malam mengambil tempat. Solehah baru sahaja ingin melelapkan mata namun dikejutkan dengan bunyi hempasan pintu di bilik ayahnya. Tubuhnya lemah, keringatnya berkurang dek melayan tetamu yang datang bersilih ganti mengucap takziah atas kepermegian bondanya, Puan Aisyah disebabkan kemalangan ketika hendak ke pejabat. 

“Aisyah! Mana kau? Aku haus ni, kau tak tahu berapa banyak aku kalah hari ni!” Jerit ayah dalam keadaan mabuk. Serentak air mata Solehah mengalir hangat di pipi. Digagahkan juga tubuh mendapatkan ayah. Solehah membawa segelas air kosong untuk ayah. 

“Ayah, ibu dah meninggal. Kenapa ayah tak angkat call akak? Ayah ke mana satu hari sampai malam baru balik?” Tersedu-sedan Solehah mengungkap kata sambil menghulur air untuk ayah. Ayah menyambut kasar air yang diberi Solehah dan terus meneguk tanpa menghiraukan soalan dari anaknya. 

 “Kau diam! Kau pun sama macam mak kau. Apa kau dapat pergi majlis agama semua tu? Ustaz ustazah tu boleh bagi kau duit ke? Bagus mak kau dah mampus. Yang kau ni pula merengek macam budak kecil buat apa? Sia-sia aku besarkan kau!” Tempelek ayah sambil melempar cawan tepat ke muka Solehah. Solehah hanya diam membisu sambil menahan sakit. Sakit di hati tentunya lebih pedih, namun dipadamkan dengan istghfar. Solehah tidur dalam tangisan. Sudahlah ibu tempat bermanja pergi selama-lamanya, dihina ayah pula kerana cuba mencari cinta Sang Pencinta. 

 Pagi-pagi lagi ayah sudah tiada. Entah bila ayah keluar dari rumah Solehah pun tak tahu. Mungkin ayah terlalu berang malam tadi hingga keluar meninggalkan rumah. Sesudah bersarapan, Solehah termenung jauh mencari ruang dan peluang untuk memimpin kembali ayahnya. Dia juga tidak lupa mendoakan kesejahteraan ayahnya. Sebagai anak, tanggungjawab mendahulukan ibu bapa lebih diutamakan. 

 “Assalammualaikum!” Terkejut Solehah sekaligus memadam menungannya. Solehah menyambut salam. Pintu utama dibuka. Iras yang tawar penuh berduka hilang apabila melihat Nurul, Azura, Liyana, Illyani, Yani, Asyhikin, dan Halimatun tercegat di muka pintu. Pelukan mesra seorang demi seorang dihulur. Ucapan takziah juga diberikan kepada Solehah. Baharu Solehah teringat yang mereka ada liqa’ pada setiap hari Rabu. Kebetulan, giliran ziarah ke rumah Solehah jatuh pada hari itu. Nurul sebagai mas’ulah membuka majlis dengan doa dan zikrullah. 

“Alhamdulillahi nasta’iinuhu wa nastaghfiruhu wa na’uudzubillahi min syuruuri anfusinaa wa min sayyiati a’maalinaa may yahdillaahu falaa maudhillalahu wa may yudh-lil falaa haa diyalah, Asyhadu alla ilaaha ilaloohu wahdahu laa syariikalah, wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhu wa rosuuluhu laa nabiyya ba’dah. Allahumma sholli wasalim wa baarik ‘ala muhammadin wa ‘ala aaalihi wa ash-haabihi ajma’iin, amma ba’du. Segala puji milik Allah. Kami memohon pertolonganNya, dan mohon ampun kepadaNya. Kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diriku dan keburukan amalku. Barang siapa yang diberi petunjuk Allah maka tidak ada siapapun yang dapat menyesatkannya, dan barang siapa yang disesatkan Allah maka tidak ada siapapun yang dapat menunjukinya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, aku mengesakanNya dan tidak mempersekutukanNya. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hambaNya dan rasulNya, tidak ada nabi setelah dia. Ya Allah, berikan selawat, salam dan kebaikan atas nabi Muhammad, keluarganya, dan sahabatnya. Amin ya rabbal alamin.” 

Lancar Nurul membaca doa sebagai penyeri liqo’ mahabbah mereka sementara yang lain tunduk mengaminkan doa yang dibaca Nurul. “Assalammualaikum wbt wahai kekasih-kekasihku yang dicintai. Apa khabar iman? Apa khabar diri? Apa khabar akal? Moga semuanya sihat sejahtera, InsyaAllah. Seperti yang kita sedia maklum, ibu kepada Solehah baru sahaja pergi menghadap Illahi. Oleh itu, mari kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah kepadanya. Moga-moga amal beliau diterima Allah.” 
Deruan al-Fatihah bergema dan semestinya Solehahlah orang yang paling merasa betapa sedihnya berpisah dengan bonda tercinta. 

“InsyaAllah hari ini ana akan mengupas serba sedikit mengenai kematian. Bagi yang baru dengar, ambillah ia sebagai ilmu. Bagi yang pernah dengar, anggaplah ia sebagai peringatan. Sesungguhnya kita sebagai insan amat mudah lupa. Mati atau kematian membawa maksud berpisah antara jasad dan roh dari alam dunia ke alam barzakh. Setiap makhluk di dunia ini pasti menghadapi mati termasuklah haiwan, tumbuh-tumbuhan dan semua ciptaan Allah. Memang dah ditetapkan sejak azali lagi date line kita, cuma kita sahaja yang tak tahu bila. Oleh itu, persiapkanlah diri menuju kematian. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, orang yang paling cerdik di antara kamu ialah orang yang paling banyak mengingat mati. Maha Suci Allah. Dalam sungguh makna hadis ini. Ia secara tak langsung memotivasikan diri kita untuk sentiasa mengingati saat kematian, maka kita akan sentiasa mengawasi setiap tingkah laku diri kita supaya sentiasa tidak berbuat maksiat dan dosa.” 

Nurul menghuraikan dengan penuh penghayatan. Bagi dia, untuk menyampaikan Islam hatta melalui penulisan dan penyampaian, perlulah dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan penuh berhikmah. Ucapan tahmid dan istighfar bergema di bibir. “Siapa yang boleh simpulkan dari apa yang telah ana sampaikan hari ni?” Serentak, semua tangan naik ke atas kecuali Solehah yang kelihatan masih berfikir dengan mendalam apa yang telah disampaikan Nurul sebentar tadi. 

“Illyani, anti cuba simpulkan boleh?” “InsyaAllah. Sebagai kesimpulannya, kita kena sentiasa persiapkan diri kita dengan amal soleh supaya kita bersedia apabila berhadapan dengan sakaratul maut kelak. Janganlah kita terjebak dengan penyakit cintakan dunia dan takut mati kerana ia tidak akan memberi manfaat langsung untuk kita. Kita juga perlu teruskan hidup bila orang yang kita sayang pergi buat selama-lamanya kerana dia baru sahaja dihidupkan ke alam yang lain.” Penuh bersemangat Illyani menyimpulkan ilmu yang dibincangkan pada hari ini. Solehah yang sedari tadi diam mengangkat tangan mahu berkongsi masalah. 

“Alhamdulillah, terima kasih semua sebab bantu pulihkan semangat ana. InsyaAllah ana akan teruskan hidup. Hmm cuma ana risaukan ayah ana. Ana buntu nak bantu ayah ana sebab semakin hari perlakuannya semakin liar.” Mata Solehah kembali hangat mengalir. Lopak air yang bertakung di mata ditahannya sedaya mungkin. Dia tidak mahu menunjukkan kesedihannya di depan sahabat-sahabatnya. Namun akhirnya deraian air mata mengalir juga di pipi. Sahabat-sahabat yang lain juga turut mengalirkan air mata kerana sedih berkongsi rasa dengan Solehah. 

 “Sabarlah ukhti, ujian yang berat untuk orang yang hebat. Anti sangat hebat!” Halimatun cuba menenangkan Solehah. 

***

“Hoi Malik! Hutang lama kau belum lunaskan, ada hati nak main lagi?” Serentak ayah Solehah disepak terajang. Dan akhirnya Solehah yang menjadi mangsa amukan ayahnya di rumah. Hari-hari Solehah dilalui dengan penuh derita. Solehah dituntut untuk taat pada orang yang selalu menderanya atas nama ayah. 

“Aku dengar bini kau dah mati. Mana kau nak cari duit lepas ni? Setahu aku, emas-emas bini kau semua kau dah pajak untuk bayat bunga. Banyak lagi hutang kau ni Malik.” 

Herdikan Razak membuatkan Malik bertambah berang. “Kau kan ada anak perempuan, apa kata kau serahkan sahaja anak kau pada aku, biar aku lacurkan dia, lepas tu hutang langsai. Apa kata?” Cadangan Razak terngiang-ngiang di kepala Malik sewaktu hendak pulang ke rumah. 

“Hoi, bukan ke ustazah kau selalu pesan untuk taat perintah orang tua? Aku nak esok kau ikut aku jumpa Razak, aku nak kau ikut dia lacurkan diri kau untuk bayar balik hutang aku kat dia. Kalau kau tak ikut, nahas kau!” 
Solehah yang sedang belajar di rumah tiba-tiba disergah ayah dari belakang. Sambil menampar Solehah, ayah menghunus pisau di leher Solehah sambil mengugut membunuhnya sekiranya Solehah tidak ikut apa yang diperintahkannya. Solehah yang dalam keadaan ketakutan tak tahu apa yang harus dilakukannya. Segera dia menghubungi Nurul. Dalam esak tangisan Nurul cuba sedaya upaya menenangkan Solehah yang masih dalam ketakutan. 

“Macam ni, malam ni juga ana datang ambil anti, biar ana lindungi anti selagi termampu. Pastikan dulu ayah anti tidur. Mudah untuk anti loloskan diri.” Ayah yang menonton television di ruang tamu tak lepas dari botol-botol arak yang bersepah di ruang tamu. Oleh kerana terlalu mabuk, ayah tertidur di ruang tamu. Solehah mengambil kesempatan itu untuk keluar perlahan-lahan dari rumah bagi menyelamatkan dirinya. Nurul telahpun siap sedia menunggu Solehah di pagar rumah. Malam itu, Solehah tidur di rumah Nurul. Solehah tak henti-henti bermunajat kepada Allah supaya tunjukkan jalan keluar baginya. 

Keesokan paginya, Malik mengamuk tak tentu hala kerana menyedari anaknya telah lari dari rumah. “Bangsat! Matilah aku macam ni” 
Malik terus berjumpa Razak menceritakan apa yang telah berlaku. Razak tak berpuas hati dan Malik dibesalah semahunya. 

 “Kau nampak penukul ni? Ni sebab kau tipu aku cakap anak kau lari” Kepala lutut kanan Malik diketuk sekuat hati. 

“Ni pula sebab kau tak reti nak bayar hutang aku” Kepala lutut sebelah kiri pula dihentak sekuat-kuatnya. Menjerit Malik menahan kesakitan. 

Kini Malik terdampar lemah. Dia sudah tidak lagi mampu berdiri. Kepala lututnya pecah dipukul Razak dengan penukul. Dalam kesakitan, Malik dikejarkan ke hospital dengan bantuan orang ramai yang turut menyaksikan kejadian tersebut. 

Doktor Farhan yang ditugaskan merawat Malik bertungkus lumus memberikan rawatan terbaik untuk Malik. Malik hanya diam menahan sakit. “Encik Malik, saya minta maaf, encik terpaksa menjalani pembedahan untuk mengganti balik kepala lutut encik yang sudah pecah ini. Dan kos pembedahannya sangat mahal.” Malik tersentak dengan apa yang didengarnya sebentar tadi. Linangan air mata terus berderai di pipi. Itulah tangisan pertama Malik sejak sekian lama tidak menangis. Malik menangis semahu-mahunya. Doktor Farhan menenangkan Malik dengan memberi kata-kata rangsangan. 

“Semua ni mungkin teguran daripada Allah. Encik tak boleh berputus asa. Dia sentiasa ada untuk encik. Dia yang izinkan encik jadi macam ni, Dia juga yang akan beri izin pada encik untuk pulih seperti sedia kala. Cuma encik kena letakkan betul-betul pengharapan terhadapNya. Banyakkanlah berdoa.” 

Sesungguhnya Allah lah yang memegang hati manusia, dan Dia jugalah yang membolak balikkannya. Kini hati Malik disirami hidayah Allah. Malik menyesal atas perbuatannya dulu. Dia ingin kembali ke pangkal jalan. Serentak Malik teringatkan anak gadisnya yang hilang entah ke mana. Malik turut teringatkan arwah isterinya yang baru sahaja meninggal. “Dulu Asyikin dan Solehah selalu ingatkan saya, tapi saya tak nak dengar malah saya memarahi mereka. Sekarang isteri saya dah meninggal, anak saya lari entah ke mana. Semua silap saya. Doktor, terima kasih sedarkan saya tentang semua ni.” Doktor Farhan senyum meraikan Malik. “Sebenarnya Allah lah yang telah membuka pintu hati encik. Saya Cuma jalankan tugas saya sebagai seorang doktor yang merawat encik sahaja. Encik berehatlah dulu, tenangkan fikiran.” 

Malik memejamkan mata. Malik bermimpi berada di suatu jalan yang lurus. Dia tak tahu apa yang hendak dilakukan. Malik berlari ke penghujung jalan namun penghujungnya tidak kelihatan juga. Malik kepenatan, dia berehat sebentar dan teruskan lariannya ke penghujung jalan. Tiba-tiba Malik tersedar. Malik ingin sekali melakukan solat sunat tahajud. Dia menekan butang kecemasan untuk memanggil nurse yang bertugas untuk membantunya mengambil wuduk. Baru sahaja Malik ingin ke tandas untuk mengambil wuduk, azan Subuh berkumandang. Malik menangis teresak-esak. “Kenapa aku berhenti rehat tadi?! Cuba kalau aku terus berlari, tentu aku dah selesaikan solat sunat tahajud tadi!” Malik menghukum diri. Di sebabkan kejadian itu, Malik tidak pernah meninggalkan solat sunat tahajud. 

Malik sentiasa mencari kekuatan di sepertiga malam untuk kembali meraih cinta dari yang Esa. Malik juga tidak putus-putus berdoa untuk menemukannya semula dengan Solehah. Malik ingin meminta maaf kepada Solehah atas keterlanjurannya selama ini. Dia sedar dia tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ayah terhadap Solehah. Doktor Farhan juga selalu membantu Malik memulihkan semangatnya.
“Angah, di hospital tadi kan, ada seorang pesakit abang ni, pilu sangat suasananya. Dia dulu jahil sangat tentang agama, hinggakan suatu hari dia dipukul kerana kalah berjudi. Siapa sangka, kerana kejadian itu lah Allah memberi hidayah kepadaNya. Sekarang dia benar-benar dah bertaubat. Dia perlukan rawatan untuk pembedahan dia tapi dia tak ada waris. Anaknya lari dari rumah sebab dia pernah nak melacurkan anaknya demi membayar hutang judi yang tertunggak tapi anaknya lari entah ke mana.” 

Nurul terkejut dengan apa yang diluahkan abangnya. Terus Nurul menghubungi Solehah yang berada di Baitul an-Nisa’, rumah yang disewanya sebagai markas untuk segala gerakan dakwah bersama sahabat-sahabatnya. Tatkala Solehah mendengar apa yang diceritakan Nurul, dia terus sujud syukur. Akhirnya penantian Solehah selama ini tidak sia-sia. Allah telah mengabulkan doanya berkat kesabaran dan ketaatan Solehah sebagai anak terhadap ibu bapanya. Nurul telah membuat suatu perjumpaan tergempar bersama mad’u-mad’unya untuk membincangkan perihal kos rawatan yang diperlukan untuk rawatan ayah Solehah.

Akhirnya mereka bersepakat untuk mengutip sumbangan kepada mad’u masing-masing. Azura bertanyakan mad’u-mad’unya dalam halaqah tentang sumbangan. Ardini, Syazwin, Syafina nampaknya bersemangat untuk turut menghulurkan sumbangan. “Nanti ana cuba tanya abang ana, dengarnya kambing-kambing abang ana semuanya dijual untuk satu kenduri aqiqah.” Ucap Ardini. Ardini segera pergi ke rumah abangnya, Nazrin untuk berceritakan masalah yang menimpa keluarga Solehah. “Encik Malik tu ye, doktor Farhan ada cerita kat abang semalam. InsyaAllah duit hasil jualan kambing-kambing abang ni abang hulurkan sedikit untuk meringankan beban encik Malik.” 

Tepat selama 2 minggu, kutipan terkumpul mencecah puluhan ribu ringgit. Lebih dari cukup untuk menampung kos pembenadahan encik Malik. Solehah bercadang, baki dana terkumpul ingin diberi pada ayahnya untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. Malik masih lagi berharap bantuan akan muncul. Tahajudnya kepada Allah semakin menjadi-jadi. 

 “Assalammualaikum ayah. Maafkan akak sebab tinggalkan ayah.” Solehah memeluk ayahnya yang terlantar di katil hospital. Sahabat-sahabat Solehah turut berada ketika itu. Suasana sayu menghimpit jiwa. 

“Ayah minta maaf nak, ayah janji ayah berubah selepas ni” Raungan ayah jelas kedengaran. “Tak pa ayah, akak dah lama maafkan ayah. Ayah tetap ayah akak. Doktor Farhan dah cerita segala-galanya pada kami. Doktor Farhan abang kepada naqibah akak. Kami dah pun kumpulkan dana untuk bantu pembedahan ayah.” Lembut Solehah menutur bicara. 

Dan pada akhirnya, pembedahan selamat dilakukan. Ayah Solehah kini telah betul-betul berubah. Tahun berganti tahun, ayah Solehah telah membuka perniagaan kecil-kecilan menternak ikan keli. Solehah kini telah berkahwin dengan doktor Farhan dan telah mendapat anak kembar. Mereka kini hidup bahagia. Ayah Solehah telah pergi menghadap Illahi sewaktu dalam perjalanan untuk solat Subuh di masjid.

P/S: Nama watak tiada kena mengena antara yang hidup atau sudah meninggal dunia.
P/S2: Minta komen dan teguran untuk penambah baikan

1 Comment:

FA said...

Alhamdulillah, cerpen pendek yang penuh pengajaran. Buat si solehah yg begitu tabah, di harap setiap insan di luar sana yg mnghadapi situasi ini sentiasa tabah dan sentiasa mendekatkn diri kepada Pencipta kita. Mungkin di sini hanya cerpen mungkin jua di luar benar benar terjadi dalam diari kehidupan mereka. Sama-sama kita mendoakan untuk insan insan sebegini. Terima kasih ya atas cerpen yang mmbantu dan mmbakar semngt ini.