Masjid Ubudiah kelihatan tersergam indah. Seni bina masjid yang diinspirasikan oleh seni bina Islam memberi suatu keunikan pada masjid yang sangat aktif dalam pengimarahan masjid. Dengan corak-corak berkonsep Islam yang menghiasa seluruh kawasan masjid telah menjadi salah satu daya penarik terhadap penduduk sekitar untuk terus mengunjungi Masjid Ubudiah. Sistem binaan yang dicedok daripada konsep arkitek Islam, Sinan telah memberikan suatu keistimewaan pada masjid ini. Imam tidak perlu menggunakan pembesar suara untuk mengimami solat jemaah kerana rekaan bentuk yang menjadikan suara imam bergema dan boleh didengari oleh seluruh kawasan masjid. Itulah teras yang menjadikan Masjid Ubudiah sangat unik.
Selain itu, Masjid Ubudiah juga turut menyediakan bilik-bilik seminar untuk sesiapa sahaja yang ingin mengadakan program-program berbentuk tarbiah dan kemasyarakatan. Dengan sistem pencahayaan yang menggunakan cahaya matahari telah menjadikan masjid ini tidak perlu menggunakan kuasa elektrik. Secara tak langsung menjimatkan kos pembiayaan. Begitu juga dengan lorong-lorong angin yang sering bertiup masuk ke dalam masjid menjadikan suasana masjid begitu sejuk dan tenteram. Segala-galanya berkonsepkan ciri masjid-masjid Islam yang terdapat di Turki.
Pertama kali Fateh mengenakan baju melayu ungunya yang hanya dipakai sekali setahun. Sewaktu solat hari raya. Hati Fateh penuh berdebar sewaktu melangkahkan kaki ke Masjid Ubudiah. Fateh telah mengajak Iskandar untuk menemaninya pada kali ini. Iskandar tidak keberatan untuk turut hadir bersama Fateh.
"Malik, aku dah berterus terang pada Tan Sri Ahmad Razali dan mangsa-mangsa kita yang lain tentang perbuatan keji kita." Fateh memberi tahu Malik selepas pulang dari TGI Friday's.
Malik dan Iskandar masing-masing terbeliak biji mata. Iskandar mengetuk-ngetuk kepalanya tak percaya apa yang baru sahaja didengarinya. Malik pula merah padam mukanya. Menahan amarah.
"Bodoh! Kau nak meringkuk dalam penjara ke apa?!" Tempik Malik. Marahnya sudah memuncak. Dia mencekik leher Fateh dengan tangan kiri dan tangan kanan pula menunjukkan penumbuk yang sudah bersedia untuk dilepaskan. Kemas dalam genggaman. Iskandar yang terkebil-kebil berusaha meleraikan kekocahan yang berlaku. Malik melepaskan Fateh.
"Asal kau buat macam ni Fateh? Ni namanya nak bunuh kita semua!" Iskandar cuba bertindak rasional. Dia masih tak percaya bahawa Fateh akan bertindak begitu berani menyerah diri kepada mangsa-mangsa mereka.
"Kau orang tak sedar-sedar lagi ke? Apa yang kita buat semua ni salah! Salah di sisi undang-undang, salah di sisi agama! Aku buat sebab aku sayangkan kau orang. Aku dah pulangkan balik hak-hak mereka. Mereka dah pun maafkan kita semua. Berhentilah jadi perompak. Jom kita bina hidup baru. Hidup berlandas syariat." Fateh cuba memujuk rakan-rakannya supaya kembali ke pangkal jalan. Fateh tidak putus berdoa di dalam hati supaya hati rakan-rakannya lembut dan bersedia menerima kebenaran.
Malik dan Iskandar terdiam seketika. Malik terus masuk ke biliknya dan keluar dengan membawa beg. "Aku tetap dengan diri aku. Baik aku keluar dari rumah ni. Mulai hari ni, kita berpecah. Aku ikut jalan aku, kau ikut jalan kau," Tegas Malik. Seketika dia memandang Fateh dan Iskandar. Iskandar hanya diam terkebil-kebil.
"Fateh, aku nak belajar mentera yang kau selalu baca. Aku ikut kau." Perlahan Iskandar menutur kata namun sudah cukup didengari Fateh dan Malik. Malik mendengus dan terus keluar dari rumah itu.
"Kita nak pergi mana ni Fateh? Belajar mentera ke?" Iskandar bertanya kepada Fateh sebaik sahaja tiba di perkarangan Masjid Ubudiah. Azan solat Isyak baru sahaja berkumandang.
"Aku pun tak tahu, Tan Sri Ahmad Razali hanya suruh datang sahaja. Jom kita solat Isyak dulu." Fateh terus melangkah ke tempat mengambil wuduk. Air jernih dari paip dialirkan ke seluruh anggotanya.
"Err, aku tak reti solat." Tutur Iskandar berbisik. Hampir tersadung kaki Fateh. Fateh berfikir sejenak.
"Kau ikut je semua orang, sebut 'Subhanallah' banyak kali dalam hati pada setiap pergerakan." Fateh mengajar Iskandar. Hendak suruh baca al-Fatihah, Iskandar sendiri tak tahu. Zikir 'Subhanallah' menjadi pilihan.
Sebaik sahaja menunaikan solat Isyak, Fateh mencari-cari kelibat Pak Ahmad. Namun kelibatnya tidak kelihatan. Fateh mengambil masa itu untuk mengajar Iskandar membaca al-Quran. Iskandar mati kutu untuk mengalunkan ayat-ayat al-Quran. Lantas Fateh memberi tafsir al-Quran kepada Iskandar. Dengan penuh beminat Iskandar membaca tafsir pemberian Fateh. "Tebalnya mentera yang kau selalu baca! Ini maksud mentera tu lah kan?" Soal Iskandar. Fateh hanya tersenyum melihat gelagat Iskandar.
Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.
Ia menciptakan manusia dari darah beku.
Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah.
Yang mengajar manusia dengan pena dan tulisan.
Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahui.
Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas.
Meremang bulu roma Iskandar saat membaca tafsir al-Quran. "Fateh, siapa yang tulis mentera ni? Rasa macam ada depan mata aku tengah cakap dengan aku lah. Hebat!"
"Kalau rasa hebat cakap macam yang kau ucap dalam solat tadi." Senyum Fateh semakin melebar. Iskandar mengingat balik apa yang dibacanya dalam solat tadi. Jari dipetik. "Subhanallah!" Fateh mengangguk kepala.
"Nak tau siapa yang tulis semua ni? Cuba cari surah al-Baqarah ayat 186. Dia dah jawab awal-awal dah." Fateh menjawab dengan arahan supaya Iskandar mencari sendiri. Fateh sendiri baru sahaja terbaca ayat itu selepas Subuh pagi tadi. Iskandar terus mencari surah al-Baqarah untuk mengetahui siapakah yang telah menulis semua kalam-kalam indah itu.
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka itu beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." Iskandar membaca dengan penuh penghayatan. Kelihatan manik jernih bertakung di benak matanya. Inilah pertama kali dia menumpahkan air mata sejak sekian lama tidak menangis.
"Fateh, aku rasa hati aku lapang sangat! Aku nak jumpa Dia!" Ucap Iskandar. Air matanya telah beranak sungai di pipi.
"Assalammualaikum." Satu suara menyapa.
Fateh menjawab salam, Pak Ahmad telahpun berdiri di belakangnya dengan muka berseri. "Ini mesti Iskandar. Fateh selalu bercerita tentang Iskandar." Sapa Pak Ahmad. Iskandar mengelap air matanya. Sedikit wajah risau kelihatan di wajahnya. Takut. Fateh yang sedari cepat-cepat menghapuskan rasa takut temannya itu. "Inilah Iskandar yang Fateh selalu cerita tu." Sambil menepuk-nepuk bahu Iskandar.
"Ayuh kita naik ke dewan kuliah. Daurah dah nak mula."
Daurah... Fateh dan Iskandar saling berpandangan. Apa itu?
Mereka hanya menuruti Pak Ahmad naik ke tingkat atas masjid.
Seketika beberapa orang anak muda menuju ke arah mereka. Pak Ahmad bersalam sambil berpelukan. Pipi turut dilaga. Pak Ahmad yang berstatus Tan Sri dengan kedut-kedut tua di pipi sanggup menurunkan statusnya demi berkasih sayang. Mereka kelihatan mesra. Fateh dan Iskandar masing-masing terjatuh rahang melihat suasana yang cukup berbeza itu. Bagai suatu dimensi baru. Mereka turut terdengar perbualan Pak Ahmad dengan anak-anak muda itu. Tiada yang difahami oleh mereka.
Ana
Anta
Kaifa haluka
Bikhair
Apa itu? Fateh dan Iskandar runsing memikirkan. Anak-anak muda itu mula mendapatkan Fateh dan Iskandar.
"Assalammualaikum wahai ikhwahku, nama ana Qamarul Nazrin ibnu Harun. Salam Ukhwah." Dengan senyuman manis, Qamarul memeluk erat Fateh dan Iskandar. Pipi dilaga. Muka Fateh merona merah. Malu. Segan. Rendah diri. Semua bercampur dalam satu perasaan. Iskandar juga begitu.
"Muhammad Al-Fateh Abu Ubaidah." Sepatah Fateh menjawab.
Amirul, Azim, Amar, Abu, dan Amir masing-masing memperkenalkan diri mereka kepada Fateh dan Iskandar. Fateh dan Iskandar masing-masing terasa kekok dan pelik dengan perbuatan spontan yang dilakukan terhadapnya. Hati mereka terasa benar-benar lapang. Tiada kata-kata kasar apabila bersembang dengan anak-anak muda di hadapannya itu. Mereka benar-benar teruja untuk lebih mengenali sahabat-sahabat baru mereka itu.
"Baiklah, kita mulakan daurah Ghulam Dakwah kita dengan ummul kitab al-Fatihah." Amir memulakan bicara pembuka majlis. Bacaan al-Fatihah bergema di bibir syabab-syabab yang hadir. "Alhamdulillah, Allah hadirkan saudara baru kita, Fateh dan Iskandar pada hari ini. Moga mereka bakal menjadi kader-kader dakwah yang akan terus menegakkan panji-panji Islam walau di mana mereka berada." Lafaz 'InsyaAllah' bergema. Fateh dan Iskandar terasa bagai dirinya dihargai.
"Ikhwah sekalian, sebelum ana memulakan pengisian, izinkan ana kongsikan satu cerita yang dapat diambil iktibar bersama. Terdapat seorang petani yang sangat malas untuk solat, namun dia sering sahaja duduk di masjid. Semua orang sudah penat menasihatinya namun dia tetap dengan tabiatnya suka melepak di masjid. Sehinggalah seorang sheikh dari Arab datang. Para jemaah meminta Sheikh menasihati petani itu. Sheikh pun pergi ke arah petani tersebut. 'Kalau kau nak suruh aku solat, baik jangan buang masa. Aku tak nak solat.' Ucap petani tersebut tanpa sempat Sheikh berkata-kata. Akhirnya Sheikh tu pun beritahu yang dia bukan nak suruh solat tapi nak berkenal-kenalan. Mereka berkenal-kenalan selama setahun. Petani itu cukup sayang pada Sheikh. Suatu hari, Sheikh memberitahu yang dia hendak pulang ke Arab kerana merindui keluarganya di sana. Petani itu cukup sedih dan merayu supaya jangan pergi namun ditolak perlahan oleh Sheikh. Sebelum Sheikh pergi, dia meminta satu permintaan kepada petani itu. Sheikh meminta petani tersebut supaya jangan tinggalkan solat Zohor secara berjemaah. Solat Zohor sahaja. Petani yang sayangkan Sheikh pun berazam untuk tidak lagi meninggalkan solat Zohor. Akhirnya dia istiqamah untuk solat Zohor. Tahun berikutnya, Sheikh kembali ke tempat petani itu. Mereka menghabiskan masa setahun. Selepas itu Sheikh hendak balik ke Arab. Petani itu cukup sedih dan Sheikh meminta satu lagi permintaan. Tidak tinggalkan solat Asar. Maka Petani itu pun berazam untuk tidak tinggalkan solat Asar. Tahun berganti tahun, permintaan demi permintaan Sheikh kemukakan hinggalah cukup lima waktu. Akhirnya petani tersebut tak lagi meninggalkan solat lima waktu sehari semalam. Kesimpulannya wahai ikhwah yang ana kasihi, untuk melakukan suatu perubahan, memerlukan masa, bukan boleh terus berubah sekelip mata. Oleh itu, marilah kita terus istiqamah dalam melakukan amal soleh."
Fateh dan Iskandar cukup takjub mendengar kisah yang diceritakan Amir. Sepanjang daurah pada malam itu, Fateh dan Iskandar memberi tumpuan sepenuhnya. Mereka tidak menyangka sama sekali wujudnya golongan yang masih berkasih sayang antara satu sama lain. Daurah Ghulam Dakwah mengisahkan seorang ahli sihir yang tua yang hendak menurunkan ilmunya. Dia hendak mencari anak muda untuk menjadi anak muridnya. Hinggalah terjumpa seorang budak yang ingin belajar. Setiap kali budak tersebut ingin mempelajari ilmu sihir, dia akan melalui pondok seorang ahli ibadat. Setelah lama dia belajar, dia mendapati seekor binatang besar mengganggu perjalanannya. Budak itu mengambil seketul batu dan berkata, sekiranya ajaran ahli ibadah adalah ajaran yang betul, matilah binatang ini. Akhirnya budak itu membaling batu ke arah binatang tersebut dan binatang tersebut mati. Maka jelaslah bahawa ajaran ahli ibadah adalah benar. Hingga suatu hari, apabila raja mengetahui yang budak itu belajar ilmu agama, dia cukup marah dan mengarahkan budak itu dibawa ke gunung dan laut untuk dibunuh tetapi tidak berjaya. Akhirnya budak itu menyuruh raja menghimpunkan seluruh rakyat dan mengikatnya di tiang. Budak itu menyuruh raja memanah matanya sambil menyebut 'la ilahailallah'. Raja berbuat demikian dan akhirnya budak itu mati. Dengan kematian budak itu, maka seluruh rakyat akhirnya masuk Islam. Raja mengamuk dan membuat parit besar yang di dalamnya terdapat api. Raja mengarahkan sesiapa yang tidak mahu kembali ke agama asal, terjun ke dalam parit. Oleh kerana iman yang dalam, satu per satu rakyat terjun ke dalam parit tersebut. Demi aqidah.
"InsyaAllah hujung minggu ni kami ada buat liqo', datang lah sekali. Macam-macam antum boleh dapat kat sana." Qamarul mengajak Fateh dan Iskandar menyertai halaqah mahabbah mereka.
Bermula dari situlah Fateh dan Iskandar memilih jalan tarbiah yang didasari oleh iman. Sedikit-sedikit tentang Islam mereka belajar. Iskandar juga kini telah mahir membaca al-Quran, malah dia antara yang termerdu sekali suaranya. Iskandar tidak lagi membeli baju yang mahal-mahal. Kini dia tahu yang dia lebih memerlukan duitnya untuk agama. Untuk disumbangkan ke rakyat Palestin yang lebih memerlukan. Iskandar menjadi salah seorang ikhwah yang paling tawaduk.
Mutabaah amal yang diberi kepada Fateh dan Iskandar lengkap semuanya. Mereka benar-benar ingin menjadi salah seorang pejuang Islam dalam negara. Kini misi mereka hendak melengkapkan peribadi muslim yang menjadi kayu ukur agendanya itu.
Suatu hari, Fateh berjumpa Qamarul. "Akhi, ana ada sesuatu nak bertanya pada anta. Hmm soal hati dan perasaan." Luah Fateh kepada Qamarul memandangkan hanya Qamarul seorang yang sudah berkahwin dalam ramai-ramai geng halaqahnya selain Pak Ahmad yang menjadi murabbi. Fateh lebih selesa berbicara dengan ikhwah seusianya. Selalunya pemikiran hampir sama. Qamarul tersenyum melihat gelagat Fateh. "Teruskan ya akhi..."
Bersambung...
0 Comment:
Post a Comment