Rahang Iskandar jatuh. Mulutnya terlopong. Bulat matanya melihat keadaan Malik. Kelihatan Malik yang sedang berdiri tegak di atas kerusi tempat pembaringannya dengan tangan yang sedang bercekak di pinggang. Mukanya nampak tegang dengan mata terpejam. Iskandar yang masih tergamam melihat keadaan Malik berjalan perlahan mendapatkannya.
"Kau apasal Malik?" Sepatah baris soalan keluar dari mulut Iskandar bertanyakan keadaan Malik. Risau Iskandar melihat keadaan Malik kali ini.
"Akulah Lipasman! Penyelamat bumi! Kekuatan, ketangkasan, kecekapan, gagah menumpaskan penjenayah! Hahaha!" Malik bersuara lantang. Keadaannya seperti seorang adiwira yang sedang berhadapan dengan musuh di lorong gelap. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Iskandar yang sedari tadi masih tergamam bertambah-tambah gamamnya. Melihatkan keadaan Malik yang mengigau bukanlah sesuatu yang memeranjatkan Iskandar kerana dia sudahpun lali dengan tabiat Malik yang sering mengigau sewaktu tidur. Cuma igauannya kali ini kelihatan berbeza.
"Kau ni Malik, ada hati mengigau jadi superhero. Tak sedar ke diri tu penjenayah?" Iskandar terus dengan bebelannya yang tidak pernah berhenti.
Lantang suara Malik secara tak langsung mengejutkan Fateh dari tidurnya. Perlahan Fateh turun ke bawah dengan mata separuh terpejam. Mengantuknya masih bersisa.
"Is, asal Malik tu? Riuh je aku dengar sampai ke atas" Sapaan Fateh memeranjatkan Iskandar.
"Opocot! Hoi aku ingat jembalang pokok ara tadi! Leklok la sikit tegur tu." Menjadi-jadi bebelan Iskandar.
Fateh menggaru kepalanya yang tidak gatal. "Apa tak elok ke aku tegur tadi? Haa Malik tu kenapa?" Fateh memuncungkan bibirnya ke arah Malik yang kelihatan sedang melakukan aksi sedang bertumbuk dengan makhluk asing.
"Entah mamat tu, mengigau lagi. Ada hati nak jadi superhero." Malas Iskandar menjawab.
Fateh pergi menuju ke arah Malik yang telah pun mengangkat ke dua tangannya ke atas sambil menjerit "Hahaha! Kau dah kalah Kapten Shark! Jangan kacau bumi lagi!"
Fateh yang tersenyum melihat gelagat Malik yang hebat mengigau seperti dalam cerita komik mula tersengih nakal.
"Tolong! Tolong! Saya kena rompak!" Fateh mengecilkan suaranya mengajuk suara seorang perempuan.
"Jangan risau Lipasman sedia membantu!" Malik menyahut seruan dan terus membuat gerakan seperti sedang bertumbuk dengan sang perompak.
Iskandar yang kelat mukanya memerhati mula tertawa melihat gelagat Fateh yang menyakat Malik. Iskandar ke belakang bengkel mengambil cawan berisi air dan dibawanya ke arah Malik yang semakin hebat igauannya.
"Rasakan semburan hydro ni!" Jerit Iskandar sambil mencurah air di cawan tepat ke muka Malik yang sedang mengigau itu. Serta merta Malik terjaga dari tidur dan terus meradang disebabkan mukanya basah disembuh air.
Ketawa pecah. Melihat gelagat Malik yang kelam kabut bagai kucing hilang anak.
Merah padam muka Malik yang disakat sebaik sahaja bangun dari tidur. Bertambah kelat wajahnya yang dah sememangnya kelat itu. Malik merengus. Tanda protes dirinya tidak gemar disakat begitu.
"Dah dah! Kau orang pun sama! Sorang kuat dengkur sampai kalah bom atom, sorang kuat membebel sampai dalam tidur pun nak bebel. Cantik sangat lah tu. Membebel dalam tidur sambil ada background music"
Ketawa pecah.
"Yang sorang lagi jadi pelakon tambahan." Iskandar menyambung sambil menekan perut tahan tawa yang makin menjadi-jadi.
Malik malas melayan Iskandar dan Fateh terus menuju ke meja di tengah bengkel. Mengambil kunci kereta Wira aeroback Iskandar. Punat alarm ditekan. Malik mengambil beg rompakan dan membawa ke tempat mereka berkumpul.
"Inilah masanya!" Iskandar mengajuk Malik sewaktu hendak melakukan rompakan malam tadi.
Beg rompakan dipunggah isinya. Laptop, barang kemas, jam tangan mewah, not-not duit semua berterabur.
"Kalau ikut jadual, Dato' Ismail akan pulang ke Malaysia empat hari lagi. Sekarang kita bahagi hasil rompakan ni lepas tu kita blah dari Malaysia." Tegas Malik memberi taklimat ringkas sebelum memulakan operasi membahagi-bahagi hasil rompakan.
"Sorang dapat 6.25 juta. Baki dia kita buat pusing modal. Bulan depan ada projek baru. Aku dah target seorang ni." Iskandar selaku tukang pengatur rancangan menambah kata.
"Ok cantik! Lepas ni kita keluar negara, buat preparation untuk projek seterusnya." Cadang Fateh. Lalu barang-barang hasil rompakan dibahagi-bahagi Malik kepada Iskandar dan Fateh.
"Lepas ni aku nak pergi Pavilion. Nak cari baju lawa-lawa. Dah bau kepam dah baju aku semua tu." Tanpa dipinta Iskandar meluahkan apa yang dihajatnya sekian lama.
"Biar aku jumpa orang tengah yang akan uruskan hal-hal kita untuk keluar negara nanti." Tutur Malik kepada Iskandar dan Fateh.
Malik dan Iskandar melihat Fateh yang hanya memberi ruang kepada Iskandandar dan Malik berbicara. Dia lebih senang dengann berdiam diri. "Haa kau nak buat apa pula dengan duit banyak-banyak tu Fateh?"
"Entah." Jawab Fateh. Fateh mula termenung jauh menembusi buana. Menung berfikir. Sesuatu yang sedang difikirkannya.
Bersambung...
0 Comment:
Post a Comment