Deep Tarbiyyah, and Expand

Saturday, November 12, 2011

Cerpen : Muhammad al-Fateh Qothin Part 4

Fateh berjalan perlahan menuju ke bilik air. Paip air dibuka, keluarlah air jatuh ke bumi. Dingin malam menyucuk hingga ke tulang. Fateh menyucikan dirinya dengan aliran wuduk. Air yang sejuk membeku dibiarkan menyengat segenap urat-urat saraf pada kulit di tubuhnya. Segar terasa. Selesai berwuduk, Fateh terus melangkah keluar dari bengkel usang, tempat dia dan sahabat-sahabatnya berteduh. Penat mengejutkan Iskandar dan Malik supaya turut bersamanya untuk solat Subuh berjemaah, namun hampa. Pokok ara dan lalang-lalang yang memagari bengkel usang menambahkan lagi suasana alam buana. Tidak tercemar dek kerakusan manusia dalam mengejar kemajuan dunia. Fateh lebih selesa berjalan kaki ke surau an-Nur. Baginya, dengan berjalan kaki, dia mempunyai lebih masa untuk berfikir.

Usai solat Subuh berjemaah, Imam Razak menyambung kuliah sirah tujuh minitnya. "Assalammualaikum buat semua jemaah yang hadir. Alhamdulillah hari ni ramai sikit yang hadir. Teruja saya melihat beberapa orang anak muda yang ada pada Subuh hari ini. Tak sia-sia Pak Abu ambil inisiatif buka warung sebelah masjid. Siap pasang TV Sony Bravia 52" tu. Kebetulan, malam tadi Manchester United lawan Chelsea. Maka tak hairanlah surau kita hari ini luar biasa kehadirannya. Harapnya, lepas ni cuba lah istiqamah untuk datang Subuh berjemaah setiap hari, bukan ikut musim bola. Bagus juga sebenarnya game bola ni, secara tak langsung mendidik anak muda untuk bangun di tengah malam. Mereka boleh buat qiamulail dan baca quran. Nah, ini juga salah satu bukti yang mereka terdidik untuk terus solat Subuh berjemaah di surau." Begitu bersemangat sekali Imam Razak menyuntik pasakan aqidah dalam diri belia remaja di hadapannya itu. Bukan senang nak dapat peluang berhadapan secara langsung dengan pemuda-pemuda itu. Jiwa remaja seperti mereka tidak patut dihukum kerana minat mereka menonton bola, tetapi perlu diselaraskan minat mereka seiring didikan yang diajar Islam.

"Baiklah, saya akan sambung kuliah saya tentang Mus'ab Ibn Umair, selepas beliau berkata sedemikian kepada ibunya, ibunya telah menghalau Mus'ab keluar rumah. Maka, hiduplah Mus'ab bersama Rasulullah dan para sahabat dalam keadaan dhaif. Lihatlah para jemaah sekalian, seorang yang hidup mewah bertukar kedana semata-mata ingin memperjuangkan Islam. Sanggupkah jika kehidupan kita berubah sedemikian rupa? Sanggupkah anda infakkan harta anda ke surau ini untuk dinaik tarafkan menjadi surau besar ataupun masjid? Lihatlah, begitu besar pengorbanan Mus'ab" Penuh berkias Imam Razak menyampaikan maklumat. Sememangnya Imam sepertinya yang juga seorang penceramah bebas sangat arif dalam menyampaikan sesuatu perkara itu dengan penuh berkias. Kelihatan pakcik-pakcik yang turut hadir mula menundukkan kepala. Memuhasabah diri. Di suatu sudut pula, terdengar juga dengkuran-dengkuran anak-anak muda yang sudahpun terjun ke alam fantasi ciptaan minda mereka sendiri.

"Setelah bertahun lamanya Mus'ab berada dalam madrasah Rasulullah, akhirnya beliau syahid di medan Uhud. Mus'ab juga merupakan duta pertama umat Islam yang pergi ke Yathrib untuk mengajar penduduk Yathrib mengenai Islam. Tiada satu pintu pun diketuknya melainkan Islam telah sampai kepada mereka. Saya minta maaf kerana terpaksa habiskan kuliah pada hari ini lebih awal, kalau ikut protokol hanya tujuh minit, tetapi kali ni lima minit. Hal ini kerana saya terpaksa bekejar ke hospital kerana isteri saya bila-bila masa sahaja akan melahirkan anak kami yang ke 21. Oleh itu, saya sudahi kuliah sirah pada hari ini dengan tasbih kafarah dan surah al-Asr. Assalammualaikum." Beberapa pasang mata bagai nak keluar dari soketnya melihatkan Imam Razak. Mereka mula bercita-cita menjadikan Imam Razak sebagai guru mereka dalam perancangan keluarga kelak. 

Dari kelangsungan, Fateh juga turut teruja dengan kehebatan Imam Razak yang bersungguh memperoleh ramai zuriat. Setahunya, zuriat Imam Razak semuanya menjadi. Ada yang menjadi doktor, peguam, pensyarah, jurutera, juruterbang, askar, ustaz, dan pelbagai lagi bidang ilmu yang ada. Tambah teruja, anak-anak Imam Razak kesemuanya merupakan hafiz dan hafizah. Ada yang sudah berkahwin, ada juga yang sudah bertunang, ada juga yang sudah mempunyai anak. Fateh mencongak-congak umur Imam Razak berdasarkan keluarga besar yang dimilikinya, Imam Razak kini sudahpun berpangkat atuk dan sedang menunggu detik naik pangkat menjadi moyang pula. Itupun masih mampu menimang cahaya mata. Fateh senyum sendiri melihatkan kebahagiaan yang dikecapi keluarga Imam Razak. Kesemua anak menantunya dikumpulkan serumah. Rumah teres sebanyak 10 buah yang kedudukannya bersebelah-sebelahan dimiliki Imam Razak bagi menempatkan keluarganya itu. 

"Assalammualaikum, jauh termenung, siap sengih menyengih lagi, makruh tau senyum sorang-sorang. Fateh kan?" Sapa Pak Ahmad yang sentiasa menunggu peluang untuk beramah mesra dengan Fateh.

"Waalaikumsalam, Pak Ahmad rupanya, tak adalah, saya teringatkan kata-kata Imam Razak tadi, isterinya nak sambut anak ke 21. Efficient dan effektif serta produktif." Fateh mengukir senyuman kepada Pak Ahmad. Dia berasa selesa dengan keramahan orang yang jauh lebih tua darinya yang sudi berborak dengan remaja seusianya.

Pak Ahmad berkerut mendengar respon dari Fateh lalu ketawa pecah. "Kena berguru dengan dia tu. Pakcik pun kalah dengan Imam Razak. Anak pakcik seorang sahaja. Hari ni tak ke mana-mana? Fateh tinggal di mana ya?" Pak Ahmad membuka topik perbualan. Tangannya berlari mengurut pelipis. Sesekali ditekan-tekannya dengan ibu jari.

"Ingat nak ke Tanjung Karang tengah hari nanti, saya ada ladang kat sana. Saja nak tengok hasil. Tinggal kat area-area ni je." Fateh memberi tahu perancangannya pada hari itu. Dia sendiri tidak pasti apakah benar dia ingin melihat ladangnya yang terletak di Tanjung Karang itu. Fateh menyelak rambutnya ke belakang. Rimas rasanya rambut terbuai-buai ditiup angin pagi hingga menutup mata. Pandangan kemudiannya dilempar ke arah sekumpulan pemuda yang duduk dalam sebuah lingkaran. Mungkin tengah membaca al-Mathurat fikirnya. 

"Alhamdulillah. Suka pakcik dengar muda-muda lagi dah ada ladang sendiri. Kebetulan, pakcik pun nak ke Tanjung Karang tengah hari nanti. Ada klien nak jumpa. Mak ayah kerja apa?" Sesekali Pak Ahmad meregangkan badannya. Penat duduk.

Lama Fateh diam termenung. Dari riak wajahnya, jelas menggambarkan episod silam yang mencengkam jiwa.

"Hmm, saya tak tahu siapa mak ayah saya sendiri. Dari kecil saya tak pernah jumpa mereka. Saya dibesarkan di sebuah pusat jagaan anak-anak yatim. Sehinggalah seorang wanita yang saya anggap macam mak saya sendiri ambil saya sebagai anak angkatnya. Dia curahkan sepenuh kasih sayangnya pada saya. Tetapi jiwa saya memberontak, walau hebat mana kasih sayang yang diberikannya, dia tetap tak boleh mengganti ibu saya yang sebenar. Sekarang, mak angkat saya dah meninggal dunia. Hiduplah saya sebatang kara dalam dunia ni." Bagai lama terpendam di lubuk hati, akhirnya dicurah juga. Seiring, air mata Fateh mula menitis.

Pak Ahmad yang turut terasa penderitaan yang dialami Fateh, memeluk bahu Fateh mententeramkannya. Pak Ahmad sedar, pertanyaannya sebentar tadi sedikit sebanyak telah menyebabkan emosi Fateh terganggu. "Pakcik minta maaf sebab tanya tadi."

Fateh menggagahkan juga dirinya mengukir senyuman buat Pak Ahmad. Sekadar meraikannya supaya tidak lagi berasa serba salah. "Pakcik, boleh tak kalau saya nak tumpang pakcik balik Tanjung Karang nanti? Saya tak ada transport."

Pucuk dicita, ulam mendatang. Dengan lapang hati Pak Ahmad memberi izin.

Bersambung...

0 Comment: