Deep Tarbiyyah, and Expand

Monday, November 14, 2011

Cerpen : Muhammad al-Fateh Qothin Part 5

Honda Civic biru kepunyaan Pak Ahmad melunjur laju di dada jalan menuju ke Tanjung Karang, Fateh duduk di sebelah Pak Ahmad membuang pandangan ke arah pokok kelapa yang tumbuh di tepi-tepi jalan. Mereka berhenti sebentar di pekan Jeram kerana hendak menunaikan solat fardu Zohor di Masjid Jamek berdekatan. Selepas itu, Pak Ahmad dan Fateh meneruskan perjalanannya sebaik sahaja selesai mendirikan solat secara berjemaah bersama. Pak Ahmad teringin benar melihat ladang Fateh.

Setibanya Pak Ahmad di pekan Kuala Selangor, Fateh mengikut Pak Ahmad berjumpa kliennya di sebuah restoran. Sejam berlalu, akhirnya urusan Pak Ahmad selesai. Kini dia mempunyai lebih masa untuk diluangkan bersama dengan Fateh. Hubungannya dengan Fateh yang terbina di surau An-Nur semakin subur. Pak Ahmad cukup gembira bila bersama dengan Fateh. Kematangan Fateh dalam melihat sesebuah perkara membuatkan Pak Ahmad selesa untuk berbicara perkara lebih matang dengan Fateh.

"Pak Ahmad nak tanya sikit boleh tak?" Pak Ahmad membuka bicara di dalam kereta. Kini mereka hampir tiba di Tanjung Karang. Fateh yang sedari tadi memberi tumpuan kepada monyet-monyet yang bertenggek di tiang-tiang lampu jalan mengalihkan pandangannya ke arah Pak Ahmad. Senyuman manis turut diberikan.

"Fateh dah ada teman wanita ke?"

Tersedak Fateh apabila soalan yang tak pernah diduga tiba-tiba menyapa telinganya. Riak wajah Fateh menunjukkan dia terkejut dengan soalan sedemikian.

"Tak terfikir pula soal tu pakcik." Fateh tertunduk malu. Perlahan dijawabnya tetapi sudah cukup jelas didengari Pak Abu. Pak Abu sengih sendiri melihat telatah Fateh.

Kereta Honda Civic kini tiba betul-betul di pintu gerbang ladang ternakan Fateh. Kelihatan papan tanda 'The Beng's Farm' kelihatan tersergam indah di atas pintu gerbang ladang Fateh. Ladang ternakan Fateh berukuran 10 ekar itu menempatkan pelbagai jenis haiwan ternakan. Di sudut ladang kelihatan reban ayam yang terdapat di dalamnya beribu-ribu ekor ayam. Pelbagai jenis ayam terdapat di reban milik Fateh. Dari ayam katik sehinggalah ke ayam gajah. Terdapat juga itik dan angsa serta burung puyuh bersebelahan reban ayam. Di satu penjuru pula terdapat kolam ikan keli yang di dalamnya terdapat berpuluh-puluh ribu ekor ikan keli. Di tengah ladang pula terdapat puluhan kambing, lembu dan kerbau sedang meragut lumpur.

Sekali imbas, ladang ternakan Fateh kelihatan seperti zoo. Zikir Subhanallah bergema di bibir Pak Ahmad. Dia begitu teruja melihat kemajuan ladang ternakan Fateh. Daripada sekecil-kecil binatang ternakan, kepadalah sebesar-besar haiwan. Nasib tiada unta yang mampu dibela dalam iklim khatulistiwa sepersi Malaysia.

"Pakcik tak sangka sebesar ni ladang Fateh. Fateh buat bisnes jual semua haiwan-haiwan ternakan ni ke?" Pak Ahmad bertanyakan Fateh. Wajah terperanjatnya masih tidak berubah.

"Ha a, saya buka ladang sebab suka-suka je sebenarnya. Tapi tiba-tiba rasa nak jadi usahawan. Selain ladang, saya ada ladang getah, ladang kelapa sawit, ladang lengkuas, ladang buah-buahan di Segamat. Ladang teh pun ada kat Fraser Hill. Tapi dah lama tak jenguk sebab jauh." Ceria Fateh memberitahu Pak Ahmad mengenai perniagaannya itu.

Mata Pak Ahmad yang sedia terbeliak bagaikan mahu tercabut setelah mendengar kemajuan perniagaan Fateh. Sungguh dia tak sangka. Apabila melihat Fateh, cara pemakiannya pun ala kadar. Selipar getah, seluar sukan dan t-shirt tanpa kolar. Betullah kebenaran pepatah English 'Dont judge book by its cover'. Jangan harapkan kereta, basikal pun Fateh tidak memilik. Namun rupa-rupanya Fateh mempunyai aset yang jauh lebih besar daripada itu.

"Pakcik rasa, dengan penampilan Fateh macam ni, mesti tak ada orang rompak Fateh. Lagi Fateh ada buat bisnes apa?" Pak Ahmad cuba mengorek rahsia Fateh.

Fateh tergelak mendengar komen Pak Ahmad. Kalaulah Pak Ahmad tahu dia seorang perompak. "Saya ada kilang kat Banting, kilang buat susu kambing, shampoo kambing, kilang proses ayam, itik, burung puyuh, lembu. Kilang sawit, kilang getah. Ala, kilang-kilang proses semua-semua tu la. Saya sendiri tak ingat berapa banyak kilang. Lepas dah proses, saya ada buat import eksport kat Klang. Orang luar suka makan makanan Malaysia." Fateh cuba mencongak berapa banyak kilang-kilang kepunyaannya. Sambil buat muka toya, Fateh tersengih sendiri.

"Subhanallah, banyaknya Fateh, mesti maju kan!" Pak Ahmad kini sudah mampu tersenyum. Malah senyumannya meleret hingga ke telinga.

"Entahlah, saya ambil orang kerja. Suruh diorang usahakan semua-semua ni. Saya tinggal nak tanda tangan mana yang patut je. Itu pun saya tak peduli sangat sebab saya buat ni sebenarnya suka-suka je. Jumlah aset saya melalui perniagaan ni pun saya tak tahu." Fateh membalas senyuman Pak Ahmad dengan sengih kelatnya.

Menjelang senja, Fateh dan Pak Ahmad mula berangkat pulang. Fateh telah menghadiahkan Pak Ahmad pelbagai hadiah berupa daging-daging hasil dari ladang ternakannya itu.

"Nah, saya bagi pakcik stok untuk sebulan. Kalau tak cukup pergi je ladang ni, cakap dengan pengurus ladang, Fateh bagi green light."

Iskandar sejak awal-awal pagi telah pergi beli belah di ibu kota. Pelbagai barangan telah dibeli Iskandar. Tabiat suka membazirnya tetap tak berubah.

Manakala Malik telah pun berurusan dengan orang tengah yang akan menyiapkan segala keperluan mereka untuk bersembunyi sementara waktu di luar negara.

Siang berganti malam, Iskandar dan Malik menghabiskan masa di kelab malam. Minuman beralkohol menjadi juadah. Mereka bersama-sama menghabiskan masa dan ringgit di kelab malam tanpa faedah. Keesokan harinya mereka bertiga akan ke Los Angeles untuk menghabiskan sebahagian 'cuti' mereka di sana. Malik telah memarahi Iskandar kerana menghabiskan sebahagian besar duit hasil rompakannya kerana masih banyak yang boleh digunakan untuk membeli belah di luar negara kelak.

Subuh telahpun berlalu pergi, Malik, Iskandar dan Fateh telahpun berada di KLIA semenjak pukul 4 pagi. Mereka akan memulakan penerbangan pada pukul 8 pagi. Pak Ahmad muram pada pagi itu kerana tidak melihat kelibat Fateh. Fikirnya Fateh tidak sihat. Hendak ziarah, tak tahu di mana Fateh berada. Hendak telefon, terlupa minta nombor telefon. Akhirnya doa sahaja yang dikirim.

Sebulan lamanya kelibat Fateh tidak kelihatan di surau An-Nur. Tanpa khabar berita Fateh menghilang. Sebulan itu juga dimanfaatkan Fateh, Malik, dan Iskandar bagi merancang siri rompakan mereka yang seterusnya.

"Mangsa kita seterusnya, Tan Sri Ahmad Razali Bin Hisham. Tinggal di Taman Bakau. Kali ni aku nak masuk rumah. Fateh, kau jaga kereta." Iskandar memberi taklimat dan arahan. Kini persiapan telah pun siap sedia. Hanya menunggu masa. Kes rompakan Dato' Ismail juga telahpun reda.

"Aku dapat maklumat bahawa Dato' Ismail rupa-rupanya merupakan pesaing yang sengit dengan Dato' Ishak dan Dato' Imran. Mangsa kita sebelum ni. Paling aku tak tahan, hubungan diorang memang dingin sejak azali. Cantik sangatlah semua jadi mangsa." Malik menambah celah memberi maklumat terbaru berkenaan kes-kes rompakan yang mereka lalui.

Fateh hanya diam mendengar dan bersedia menerima arahan. Dia sendiri malas untuk mencelah.

"Apa kata bengkel usang tu kita ubah suai jadi rumah. Sayang tak terjaga tempat tu." Akhirnya Fateh mengeluarkan pendapatnya yang sekian lama terpendam.

Malik dan Iskandar saling berpandangan kemudian ketawa berdekah-dekah. "Kau ni dah fikir sampai planet Pluto ke? Kita tengah cakap pasal rompakan, kau cakap pasal bengkel usang. Apa daa. Oh ya, cakap pasal rumah, aku dah beli rumah dah pun kat Taman Mawar." Malik memberi respon. Fateh hanya mengangguk.

Sebulan selepas itu, mereka pun pulang ke tanah air. Persiapan akhir telah pun dibuat. Kini, mereka telahpun bertukar markas daripada bengkel usang ke rumah banglo dua tingkat di Taman Mawar.

Malam Jumaat pada hari itu bulan penuh menampakkan serinya bagi orang yang berfikir. Ketiga-tiga mereka telah pun siap siaga untuk misi rompakan mereka pada kali ini.

"Mari kita lakukan!" Teriak Malik.

Bersambung...

Part 1
Part 2
Part 3
Part 4

0 Comment: