Malam itu kelam terasa. Awan tebal berarak perlahan menyelimut bumi. Cahaya purnama pudar ditelan pekat malam. Anjing-anjing liar mula berkeliaran mencari buruan dan habuan. Habis sampah digeledahnya demi mengisi perut yang kosong. Kadang-kadang kedengaran pertengkarannya dengan kucing-kucing liar. Kedai-kedai semuanya sudah tutup. Peniaga-peniaga pasar malam hari itu mula melepaskan lelah mencari tilam dan bantal. Waktu di mana penduduk Taman Sentosa hanyut dibuai mimpi. Sesekali terdengar rengekan anak kecil yang digigit nyamuk. Tidak kurang juga suara igauan si dara.
Malik memeriksa lampu suluh, guni, pisau, dan beberapa peralatan lain. Dia hendak memastikan segalanya berjalan lancar. Fateh sudah siap dengan pelan-pelan tindakan. Iskandar pula sedang memeriksa kereta Waja aeroback hitam ABC123nya. Takut kalau-kalau ada kebocoran pada minyak, radiator, break, dan lain-lain.
"Inilah masanya!" Teriak Malik kedengaran di bengkel usang balik Taman Sentosa. Bengkel usang yang telah lama ditinggalkan itu asalnya milik seorang mekanik yang telah meninggal dunia disebabkan tersepit mesin. Sejak dari itu, tiada siapa yang berani menjejakkan kaki ke bengkel itu. Ditambah lagi dengan kawasan persekitaran yang ditumbuhi lalang tumbuh mencacak. Tak cukup dengan itu, pohon ara yang tumbuh sejak sekian lama mencetuskan khabar angin bahawa anak-anak penduduk yang balik dari mengaji di surau telah terlihat hantu mekanik sedang berdating dengan pontianak di dahan pohon ara. Menyeramkan. Namun lain pula bagi tiga orang sahabat. Malik, Fateh dan Iskandar menjadikan bengkel usang itu sebagai markas operasi mereka. Pelbagai rancangan telah berjaya diatur dalam bengkel usang itu.
Jam di tangan menunjukkan pukul dua pagi. Barang-barang kelengkapan telah dimasukkan ke dalam kereta Wira aeroback Iskandar. Enjin dihidupkan, kereta dipacu ke Taman Sentosa. Tiada sesiapa berlegar di dada jalan menyebabkan kenderaan yang dinaiki mereka meluncur laju ke destinasi dituju.
Di simpang jalan 27/12A Jalan Sentosa, enjin dimatikan. Mereka menyarung topeng ke muka, Iskandar menunggu di dalam kereta sementara Malik dan Fateh keluar membawa peralatan terus menuju ke rumah Dato' Ismail yang terletak di hujung simpang. Seperti dirancang, Malik memotong wayar suis lampu kecemasan. Mereka telahpun siap siaga hal-hal yang berpotensi menggagalkan rancangan mereka. Pagar utama dipanjat, pintu dikopak. Akhirnya Malik dan Fateh berjaya menyelusup masuk ke dalam rumah Dato' Ismail.
"Kau cari apa-apa barang yang berharga. Duit, barang kemas, emas, dan apa-apa sahaja yang beri kita keuntungan!" Arah Malik kepada Fateh. Mereka menggeledah seluruh isi rumah. Dato' Ismail sekeluarga yang bercuti ke luar negara telah membuka peluang kepada mereka untuk menjalankan misi rompakan yang telahpun dirancang berbulan-bulan. Hatta percutian Dato' Ismail pun telah diaturkan sebaik mungkin oleh mereka yang berjaya merasuah agen pelancongan di luar negara. Mereka telah merancang dengan teliti segala kemungkinan untuk menjayakan rancangan mereka kali ini. Hasilnya, mereka bersenang lenang tanpa gentar di rumah Dato' Ismail. Kamera CCTV, laser keselamatan, segalanya telah dimanipulasikan dengan baik. Malik yang juga pakar komputer yang gemar menggodam dan mengakses rangkaian keselamatan setiap mangsanya. Ia menjadikan tugas rompakan mereka menjadi lebih mudah.
Tepat jam lima pagi, Malik dan Fateh mengumpulkan hasil rompakan mereka di ruang tamu sebelum dimasukkan ke dalam guni. Komputer riba, Camera DSLR, emas jongkong, jam tangan mewah, serta duit berjumlah jutaan ringgit berada dalam genggaman mereka. Harta Dato' Ismail kira-kira 25 juta ringgit berjaya dilarikan mereka. Iskandar yang menjaga pintu luar dari dalam kereta Wira aerobacknya setia dengan tugasnya mengawasi sahabat-sahabatnya yang sedang bekerja di dalam rumah Dato' Ismail. Jika terdapat rondaan polis atau sesiapa sahaja yang mencurigakan, dia akan memberi isyarat kepada Malik dan Fateh supaya cepat keluar dari rumah Dato' Ismail.
Setelah beberapa ketika, Malik memberi arahan kepada Iskandar supaya memacu kenderaan ke hadapan rumah Dato' Ismail. Misi mereka hampir berjaya. Setelah memunggah segala hasil rompakan ke dalam kereta. Malik menyelenggara kembali kabel-kabel yang telah disabotajnya. Hampir tiada kesan rompakan jika dilihat dari luar. Kereta dipandu melintas simpang empat berdekatan Taman Sentosa, menuju ke bengkel usang.
Tiba-tiba Fateh menepuk bahu Iskandar supaya berhentikan kereta yang dinaikinya. Mereka kini betul-betul berada di hadapan surau An-Nur. Sebuah surau kecil di taman perumahan itu.
"Kenapa kau suruh aku berhenti Fateh?" Iskandar bertanya. Malik turut membeliakkan matanya apabila Fateh menyuruh Iskandar berhenti. Mereka terpinga-pinga dengan tindakan Fateh.
"Dah nak masuk Subuh. Aku nak solat kat masjid." Jom lah kita solat dulu.
Malik dan Iskandar mengerling jam di dashboard kereta. 15 minit lagi azan Subuh akan berkumandang. "Kitorang drop kau kat sini, lepas Subuh pandailah kau balik sendiri. Aku dah mengantuk. Semalaman kita tak tidur." Malik yang sudahpun layu matanya menjawab permintaan Fateh. "Kita kan orang jahat. Mana solat! hahaha" Tawa Iskandar kedengaran memecah kesunyian. "Baiklah kalau macam tu. Aku turun dulu. Jumpa di bengkel nanti." Malas Fateh melayan, terus dia keluar dari kereta dan melangkah ke surau.
"Pelik betul Fateh tu. Tak habis-habis dengan solat jemaah dia. Tiap masa pula tu. Dia tak tahu ke kerja kita kerja jahat. Orang jahat tak payah solat." Rungut Iskandar di dalam kereta. Malik diam tidak bersuara. Iskandar menunggu respon dari Malik tetapi tidak kesampaian. Akhirnya, "kroookhhh kroookhh". Dilihatnya Malik rupanya sudah terlena. Penat agaknya.
Azan berkumandang di surau An-Nur. Sayup-sayup kedengaran memecah sunyi malam. Mengejut insan yang lena. Kemerduan suara bilal Hashim menimbulkan rasa rindu untuk datang bersolat jemaah di surau kecil itu bagi orang lembut hatinya. Selepas melakukan solat rawatib, Fateh ikut berjemaah bersama ahli penduduk yang lain. Kesemuanya berjumlah enam orang termasuk imam dan bilal. Hakikatnya, sembahyang berjemaah pun sukar dilaksanakan oleh penduduk Taman Sentosa, apatah lagi sembahyang Subuh berjemaah. Selesai solat Subuh, imam Razak menghidupkan majlis ilmu dengan menyampaikan kuliah sirah kepada jemaah yang hadir pada hari itu. Fateh juga tidak ketinggalan mendengar dengan penuh minat kuliah sirah yang disampaikan.
"Assalammualaikum saudara-saudaraku, walaupun tak ramai yang datang solat Subuh berjemaah pada hari ini, InsyaAllah kitalah insan-insan yang dipilih Allah untuk terus hadir ke rumahnya. Berdoalah suatu hari nanti Dia sudi menjemput kita ke mahligainya di Makkah sana. Doakan juga penduduk-penduduk di Taman Sentosa agar tergerak hati mereka untuk menghadiri solat di masjid atau surau berdekatan." Imam Razak memulakan kuliah sirahnya dengan berpesan-pesan pada jemaah yang hadir. Sejenak Fateh teringatkan Malik dan Iskandar yang masih belum lagi terbuka hatinya untuk turut berjemaah di surau bersamanya.
"Pada kuliah kali ni, InsyaAllah saya akan menceritakan perihal seorang sahabat Rasulullah, Mus'ab ibn 'Umair. Sebelum memeluk Islam, Mus'ab terkenal sebagai seorang yang lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. Malah dia selalu berlawan dengan kawan-kawannya untuk berpakaian sedemikian. Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Mus'ab menjadi kegilaan gadis di Makkah." Sesekali imam Razak membaca kitab di hadapannya.
Fateh teringatkan Iskandar yang hidupnya agak mewah, suka pakai pakaian yang berjenama dan mahal. Peribadinya hampir sama dengan Mus'ab fikir Fateh.
"Mus'ab merupakan anak yang paling disayangi ibunya berbanding adik beradiknya yang lain. Apa sahaja permintaannya tidak pernah ditolak. Oleh itu tidaklah hairan apabila ibunya begitu marah selepas mendapat tahu Mus'ab telah menganut Islam. Ibu dan ayahnya telah mengurung dan menyeksa Mus'ab selama beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam. Bagaimanapun tindakan itu tidak sedikit pun melemahkan keyakinannya. Pujukan dan ancaman ibunya tidak berkesan. Mereka sudah habis ikhtiar lalu membebaskannya buat sementara. Tindakan ibunya tidak sedikitpun menimbulkan rasa takut pada Mus'ab , sebaliknya dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya memeluk Islam kerana kasih pada ibunya. Mus'ab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya." Penuh penghayatan imam Razak bercerita pada jemaah yang ada.
"Pada suatu hari, Mus'ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesi. Dia pun bertanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus'ab meninggalkan Islamnya. Cuba bayangkan bagaaimana jika anda berada di tempat Mus'ab ketika itu, berhadapan dengan ibu yang hanya hampir tinggal nyawa ikan Apakah jawapan anda? Tergamakkah anda membiarkan terlantar begitu? Atau apakah ada jawapan lain yang lebih menggembirakan?" Soal imam Razak kepada para jemaah. Kelihatan ada jemaah yang tunduk membisu. Tidurlah tu, fikir imam Razak. Ada juga jemaah yang berkerut muka menjawab persoalan yang dilontar imam Razak. Kelihatan Fateh tunduk membisu. Fikirannya melayang ke suatu daerah yang lain. Imam Razak meneruskan kuliahnya.
"Mus'ab berkata kepada ibunya : 'Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali'" Jawapan yang diberikan imam Razak serta merta menarik Fateh ke alam nyata. Terkejut dibuatnya tatkala mendengar jawapan sedemikian. Timbul perasaan takjub akan peribadi para sahabat.
"Baiklah, untuk mengetahui kisah selanjutnya, insyaAllah saya akan sambung pada kuliah akan datang. Saya harap kuliah tujuh minit saya ni dapat dihayati dengan baik oleh anda semua. Sehingga bertemu lagi, Assalammualaikum." Tutur imam Razak yang menamatkan kuliah Subuhnya itu. Sudah menjadi prinsip imam Razak melakukan suatu amal yang sedikit tetapi berterusan. Baginya, tak guna menyampaikan kuliah berjam-jam tetapi tiada penghayatan. Biarlah sekejap tapi impaknya lama.
Para jemaah bersiap sedia untuk keluar meninggalkan surau An-Nur. Fateh masih lagi duduk memikirkan sesuatu. Pandangannya jauh menembusi raung cakerawala. Tiba-tiba bahunya disentuh. Fateh sekali lagi tersedar ke alam nyata. Seorang lelaki separuh abad berdiri di sebelahnya, menghulur salam. Salam bersambut, Fateh menghadiahkan senyuman tanda hormat.
"Pakcik selalu nampak kamu kat sini. Setiap waktu pula tu. Jarang ada anak muda seperti kamu yang tak pernah tinggal solat berjemaah di surau ni. Siapa nama kamu?" Ramah lelaki separuh abad itu memulakan bicaranya. Hajat di hati, ingin dibina jambatan ukhwah bersama Fateh kerana pada pandangannya, Fateh seorang pemuda yang unik kerana sentiasa hadir solat berjemaah setiap waktu dan ghaib selepas habis solat. Dia yang telah lama perhatikan gerak geri Fateh, tidak ingin melepaskan peluang berkenal-kenalan bersama pemuda itu.
Fateh hanya tersenyum mendengar butir bicara lelaki itu. "Muhammad al-Fateh Qothin bin Abu Ubaidah. Pakcik pula?"
"Panggil sahaja pak Ahmad. Duduk di Taman Bakau." Fateh menganalisa maklumat. Kedudukan Taman Bakau bersebelahan Taman Sentosa. Dekat sahaja dengan bengkel usang. Dia mengangguk tanda dapat mencerna maklumat. "Hmm, saya balik dulu la pakcik, macam dah lewat je. Assalammualaikum." Fateh terus menuju ke perkarangan surau dan hilang sekelip mata.
Pak Ahmad menggaru-garu kepala melihat telatah Fateh yang tiba-tiba ghaib dari pandangan. Macam Son Goku ketika melawan makhluk asing dari planet Saiya pula yang sekejap hilang sekejap muncul. "Muhammad al-Fateh Qothin..." Ulang Pak Ahmad.
Bersambung.....
1 Comment:
cepat la sambung... xsabar nk bce lgi..huhuuuu
Post a Comment