Deep Tarbiyyah, and Expand

Tuesday, December 27, 2011

Cerpen : Perjalanan Tarbiah Part 1

Adam mundar mandir di dalam bilik tidurnya. Kejap ke hulu, kejap ke hilir. Mesej yang baru diterimanya benar-benar membuatkan Adam tersepit. Adam telah pun bersiap-siap untuk keluar bertemu Zainab. Namun langkahnya terhenti dengan kehadiran mesej itu.

"Assalammualaikum ikhwah-ikhwahku yang amat ana rindui, InsyaAllah usrah kita berjalan seperti biasa hari ni di tempat yang sama."

Kepala yang tidak gatal digaru, macam mana ni. Keluh Adam. Dia telah pun berjanji untuk menemani Zainab membeli belah di ibu kota. Akhirnya Adam membuat keputusan. Honda Accord hitam miliknya dihidupkan. Adam memecut ke jalan utama dan terus mencari arah ke lebuh raya. Dari bandar Nilai, Adam menempuh perjalanan selama dua jam ke destinasi pilihan. R&R Ayer Keroh.

Sejak dari pagi Zainab telahpun bersiap untuk keluar dengan Adam, dia mendandan rambutnya yang ikal mayang untuk ditunjukkan kepada Adam. Si buah hati. Zainab mengenakan pakaian yang agak seksi. Dia tahu, tubuhnya yang sempurna mampu mencairkan mana-mana lelaki. Zainab bangga bila tubuhnya menjadi tarikan.

"Isy, mana abang Adam ni?!" Ngomel Zainab bila Adam tetap tak muncul menjemputnya di rumah.

"Abang! Abang kat mana? Penat baby tunggu abang. Cepat la datang. Hari ni banyak sale, kalau lambat tak dapat borong banyak!"

"Minta maaf baby, abang ada urusan keluarga, abang tengah berkejar ke Ayer Keroh sekarang ni. Abang janji, lain kali kita keluar sama-sama k"

"Abangggggggggg! Kenapa dengan family abang sebenarnya? Tiap minggu ada urusan family, entah-entah abang ada perempuan simpanan!"

Adam tak membalas mesej Zainab. Dia dihimpit rasa bersalah. Antara sayangkan Zainab atau sayangkan ikhwah. Dia lebih cenderung untuk bersama ikhwah, sekurang-kurangnya ikhwah tak banyak songeh. Tapi dalam masa yang sama, dia tak mampu melepaskan Zainab. Sayangnya pada Zainab tetap ada. Adam nekad, minggu berikutnya, Adam ingin meluangkan masa bersama Zainab. Rindunya pada Zainab tak tertanggung, Biarlah tak pergi usrah sekali.

Adam memarkirkan keretanya di R&R Ayer Keroh. Lantas Adam mencari air minuman untuk melegakan tekak. Adam melihat sekeliling. Mencari kelibat seseorang. Akhirnya Adam bangun dan terus menuju ke surau. Wajah Adam berubah ceria sebaik sahaja masuk ke dalam surau. Ahmad, Abu Ubaidah, dan Khalid sudah sedia menanti. Mereka bangun mendapatkan Adam. Rindu untuk bersama ikhwah terubat.

"Mana Pak Rejab?" Soal Adam. 

"Pak Rejab bagitahu dia lewat sikit, nak uruskan bangkai kucing yang dilanggar oleh salah sorang pemandu tadi." Tutur Ahmad.

Tak lama kemudian, tibalah seorang lelaki separuh abad masuk ke dalam surau. Wajahnya penuh kedut, dikibas-kibaskan topi ke wajahnya. Dia kelihatan penat. Pak Rejab memberikan senyuman manis kepada anak-anak usrahnya. Pak Rejab merupakan seorang tukang cuci di R&R Ayer Keroh. Ahmad, Abu Ubaidah, Khalid dan Adam merupakan insan-insan terpilih yang berjaya didakwah fardhiah oleh Pak Rejab ketika bertugas di R&R Ayer Keroh. Merekalah agen-agen dakwah Pak Rejab. Penyambung warisan dakwah. Pak Rejab amat sayang kepada mereka. Merekalah saham akhirat Pak Rejab.

"Ikhwah-ikhwahku, antum buat tak mutabaah amal? Laksanakan tak tarbiah antum? Ana tanya bukan suka-suka, malah Rasulullah juga dulu tanya para sahabat. Ada ziarah orang tak? Ada buat qiamulail tak? Dan sebagainya." Ujar Pak Rejab.

"Alhamdulillah."

"Dah lama rasanya kita berusrah, ana nak antum tahu, tarbiah bukan takat datang usrah. Tarbiah tu maksudnya pembelajaran daripada pengalaman yang mendidik. Sebagai contoh, perjalanan jauh antum untuk berusrah di sini, terdapat pengalaman yang mendidik. Itulah tarbiah. Untuk dapatkan pengalaman mendidik tu, kita kenalah rancang. InsyaAllah minggu depan ana cuti, apa kata kita buat rehlah ataupun berkelah?"

Wajah menjadi ceria. Adam tunduk membisu.

"Pak Rejab, ana minta maaf, minggu depan seminggu ana full, dah rancang untuk keluar dengan kawan. Maaf, ana tak dapat ikut sekali." Luah Adam.

Diam.

Pak Rejab menarik nafas.

"Baiklah, semoga anta tunaikan hak anta sebagai kawan. Bagi yang lain, nanti ana bagitahu tempat yang sesuai untuk kita adakan rehlah."

Selama dua jam setengah mereka bersama berbincang pelbagai topik dalam usrah. Kini Adam dalam perjalanan balik ke Nilai. Ahmad ke Umbai, Abu Ubaidah ke Segamat, dan Khalid ke Segambut. Dari pelbagai destinasi mereka berkumpul setiap minggu. Berukhwah bersama. Pak Rejab berharap agar dakwah Islami mampu tersebar lebih meluas suatu hari nanti. Pak Rejab berazam untuk membina batu-bata Islam dalam diri mutarabbinya agar menjadi menara hidayah suatu hari nanti.

Bersambung.,,

1 Comment:

Fairuz Imtiyazi said...

Ana seronok membaca cerpen ini..ana akan tunggu sambungannya..:) MABRUK!