Deep Tarbiyyah, and Expand

Wednesday, December 28, 2011

Cerpen : Perjalanan Tarbiah Part 2

Buat pertama kalinya Ahmad, Abu Ubaidah dan Khalid melihat Pak Rejab tidak mengenakan uniform unit kebersihan. Selama ini usrah mereka berlangsung selepas Pak Rejab selesai menjalankan tugasnya sebagai tukang cuci. 

"Pak Rejab macam orang muda lah dengan pakaian riadah macam ni!" Usik Abu Ubaidah ketika membantu Pak Rejab dan Ahmad memasang peralatan memasak di pantai Port Dickson. Sementara Khalid sedang mengambil ayam-ayam yang telah diperam di kereta. Setelah seminggu merancang, akhirnya rehlah di pantai Port Dickson berjaya diadakan. Masing-masing bersemangat.

"Biar veteran pada zahirnya tapi jiwa tetap muda remaja" Balas Pak Rejab. Ketawa pecah. 

Dalam perjalanan balik dari usrah bersama Pak Rejab dan ikhwah yang lain, Adam ligat memikirkan cara memenangi kembali hati Zainab yang merajuk terhadapnya. Adam teringat ajakan Pak Rejab untuk berkelah.

'Apa kata aku ajak Zainab berkelah.' Detik Adam. 

"Baby! Abang minta maaf sangat-sangat, baby sorang je la buah hati abang. Macam ni, abang dah rancang nak ajak baby pergi picnic hujung minggu depan. Kita pergi pantai nak?"

Mesej dihantar.

"Baby tau abang sayang baby sorang je, sebab tu baby setia pada abang. Wah! Seronoknya pergi pantai. Tapi janji tau! Sayang abang sangat-sangat. Muah muah muuuuuuuaaaaaaaaaaaahhhhh!"

"Kita bakar dulu ayam ni, lepas tu ana bagi taujih sikit. Ok?"

"OK!"

Abu Ubaidah ligat mengipas bara di atas pemanggang. Ayam bakar hampir siap. Khalid sudah pun menyusun pinggan dan gelas. Pak Rejab membersihkan sekitar kawasan perkelahan mereka. Sakit mata memandang sampah-sampah yang berselerak tidak dikutip. Ahmad pula sedang duduk di tikar membaca al-Quran.

Selepas makanan terhidang, Pak Rejab memulakan pengisiannya.

"Assalammualaikum, Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang telah pilih kita semua untuk berukhwah pada hari ini. Walaupun kekurangan seorang ahli usrah kita, tapi tak apa, kita doakan dia dapat melebarkan sayap dakwahnya terhadap rakan-rakannya. Baiklah, hari ini ana nak kongsikan pada antum kisah tentang salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Talhah bin Ubaidillah. Nama gelaran yang diberi oleh Rasulullah kepada Talhah ialah 'Syahid yang berjalan'. Hal ini kerana Talhah yang habis-habisan melindungi Rasulullah di medan Uhud. Hingga ada yang mengatakan dia ditetak berpuluh-puluh kali. Itulah serba ringkas kisah Talhah bin Ubaidillah. Apa yang ana nak sampaikan di sini, kita sebagai seorang daie, haruslah ambil iktibar dari kisah para sahabat. Merekalah wira-wira kita. Hayati dan cuba amalkan peribadi mereka. Dalam konteks peribadi Talhah bin Ubaidillah, sebagaimana beliau mempertahankan Rasulullah habis-habisan, kita juga perlulah pertahankan aqidah kita habis-habisan. Jikalau kita lihat dunia kita hari ini, banyak ideologi-ideologi barat yang menyerang jati diri kita sebagai seorang Islam. Pelbagai gerakan-gerakan yang nak pesongkan aqidah umat Islam. Sebagai contoh, gerakan kristianisasi, seksualiti bebas, gerakan freemanson, liberalisme, dan sebagainya. Ibaratkan diri kita umpama Talhah bin Ubaidillah yang bermati-matian melindungi kekasihnya Rasulullah SAW. Kita kenalah bermati-matian melindungi iman dan aqidah kita supaya hidup kita penuh dengan jati diri Islam." Pak Rejab cukup menjiwai kata-katanya itu. Ikhwah-ikhwah serius memberi perhatian. Sesekali pen berlari di dada kertas. Mencatat bait mutiara dari Pak Rejab.

"Ana ada satu soalan, Pak Rejab nampak sangat berilmu, tapi kenapa tak jadi pensyarah, kenapa jadi tukang cuci?" Soal Ahmad. Pak Rejab tersenyum mendengar soalan Ahmad. Abu Ubaidah mencuit peha Ahmad. Abu Ubaidah tak selesa mendengar soalan Ahmad yang nampak seperti memperkecilkan pekerjaan Pak Rejab. Pak Rejam tergelak melihat telatah Abu Ubaidah.

"Ana bekerja sebagai pensyarah la ni. Pensyarah kehidupan. Ana belajar macam-macam perkara bila buat kerja ni. Dan dalam masa yang sama, ana mengajar semua orang tentang kebersihan. Pelajar ana terdiri daripada pengunjung-pengunjung R&R." Jawab Pak Rejab.

Ahmad mengangguk faham. Hormatnya terhadap Pak Rejab makin tinggi.

Pantai Port Dickson kelihatan nyaman sekali. Awan redup. Ombak tenang. Memancarkan suasana yang menenangkan. Zainab begitu gembira berada di sisi Adam. Mereka berjalan di gigi air. Zainab dan Adam berjalan berdua sambil berpegangan tangan. 

"Kitalah pasangan paling romantik! kan abang Adam?" Ujar Zainab. 

Adam hanya tersenyum. Bahagia.

Khalid yang sedang membuang pandangan ke arah pantai tiba-tiba ternampak Adam dan Zainab.

"Adam!" Khalid kaget. Darah mudanya mendidih melihat Adam berpegangan tangan dengan seorang perempuan. Pak Rejab, Ahmad dan Abu Ubaidah tersentak. Pandangan mata mereka tepat ke arah Adam yang sedang bergurau senda dengan Zainab. Adam tak perasan kehadiran mereka.

Khalid bangun ingin mendapatkan Adam. 
"Munafik! Hipokrit! Tak guna pergi usrah kalau perangai macam ni!" Khalid tak dapat mengawal amarahnya. Namun langkahnya terhenti. Pak Rejab lebih tangkas menyambar tangannya. Dia tahu apa yang bakal terjadi sekiranya membiarkan Khalid mengikut amarahnya.

Bersambung...

0 Comment: