Detik yang ditunggu kini tiba. Abu Ubaidah kelihatan tenang melafazkan kalimah keramat itu. Kini perjuangan dakwah Abu Ubaidah semakin kuat dengan kehadiran sayap kiri di sisinya. Abu Ubaidah berazam untuk membina baitul Muslim yang sakinah, mawadah, dan warahmah bersama insan istimewa yang baru dinikahinya itu. Selesai akad, Abu Ubaidah mendapatkan isterinya. Siti Aisyah, anak kepada Tan Sri Ahmad Razali, sahabat baik Pak Rejab. Abu Ubaidah menyarungkan cincin di jari Aisyah, Aisyah menyambut tangan Abu Ubaidah lantas mengucupnya. Damai terasa.
Calon pilihan Pak Rejab ternyata menepati ciri-ciri yang diidamkan Abu Ubaidah. Solehah. Teringat Abu Ubaidah sewaktu sesi muhasabah bersama Pak Rejab. Pak Rejab membaca satu hadis yang bermaksud, 'Dunia ini adalah harta, dan harta yang paling bernilai ialah wanita solehah.' Abu Ubaidah begitu terharu kerana memiliki harta yang paling bernilai itu. Dengan kehadiran Aisyah di sisinya, secara tak langsung telah mendidik Abu Ubaidah untuk lebih bersifat matang dalam membuat keputusan.
Adam, Ahmad dan Khalid turut berasa gembira dengan kebahagiaan Abu Ubaidah.
"Alhamdulillah, kita panjatkan kesyukuran buat ikhwah yang kita kasihi, Abu Ubaidah di atas pernikahannya dengan seorang gadis yang cukup solehah. Sesuai dengan namanya yang sinonim dengan isteri Rasulullah SAW, Aisyah Humaira', moga zawjah anta dapat menjadi laksana srikandi Aisyah dalam melayari bahtera rumah tangga bersama anta. Ingatlah pesanan ini, 'syaitan suka dengan rumah tangga yang berantakan, mereka akan cuba sedaya upaya untuk memecah belahkan rumah tangga seorang Muslim. Jangan biarkan syaitan ketawa melihat rumah tangga antum'. Sesungguhnya banyak ujian bakal antum hadapi selepas ini, ujian ini juga sebagai tanda komitmenkah antum suami isteri pada jalan dakwah dan tarbiah. Jadi, cekalkan hati bila ujian menduga, lalui dengan penuh kewarasan bersama-sama. InsyaAllah kami semua akan mendoakan keluarga antum menjadi contoh pada masyarakat." Ujar Pak Rejab
Abu Ubaidah hanya mengangguk terharu. Kelihatan air mata jernih bertakung di mata. Mungkin terlalu terharu. "InsyaAllah, jazakallah atas peringatan demi peringatan. Ana akan cuba sedaya upaya membina baitul Muslim seperti yang diidamkan oleh setiap orang Muslim."
"Pak Rejab, dakwah Abu Ubaidah kini dah semakin kuat dengan kehadiran sang bidadari, ana ada satu masalah sebenarnya. Boleh tak Pak Rejab tolong dakwahkan kawan-kawan ana. Ana teringin juga nak lihat biah soleh di tempat ana. Mungkin bila Pak Rejab dah dakwah mereka, mereka faham tarbiah dan akhirnya jadi kekuatan untuk ana juga." Pinta Khalid.
Pak Rejab hanya tersenyum.
"Ana ada cerita yang nak kongsi dengan antum. Nak dijadikan cerita, ada seorang yang mengambil seorang pembantu yang ditugaskan untuk menjaga rumah. Si fulan ni tinggalkan anaknya yang masih kecil bersama pembantu rumah tersebut. Satu hari, anak kecil ni bermain-main di tepi kolam milik tuan rumah tersebut, tiba-tiba dia tergelincir masuk ke dalam kolam. Dia menjerit-jerit kelemasan. Pembantu rumah itu hanya memerhati sahaja. Bila tuan rumah balik, dia terkejut melihat anaknya mati kelemasan di dalam kolam. Lalu pembantu rumah dipanggil. Dia bertanya pembantu rumah tersebut, kenapa tak selamatkan anak dia. Dan pembantu rumah itu dengan selamba berkata, 'tuan bayar gaji untuk saya jaga rumah, bukan jaga anak tuan'. Ikhwah-ikhwahku, apakah perasaan antum bila antum menjadi tuan rumah tersebut? Mesti rasa marah kan? Begitu jugalah dalam hidup kita, Allah beri macam-macam nikmat pada kita, bukan sekadar suruh kita solat, puasa, bayar zakat, dan pergi haji. Tapi tak buat perkara-perkara lain. Hakikatnya, Allah tuan kepada kita. Dibayarnya 'gaji' berupa nikmat dunia, dan selebihnya di akhirat untuk kita jaga segala keperluan yang ada, bukan mengambil secara juzu'i. Oleh itu, Khalid, tugas dakwah di tempat anta, itu tugasan anta, bukan tugasan ana. Saham akhirat untuk anta, bukan untuk ana. InsyaAllah sekali sekala boleh lah ana bantu mana yang patut, tapi anta yang seharusnya memainkan peranan sebagai menara hidayah kepada mereka. Mulalah dengan dakwah fardhiah, buat secara kecil-kecilan. Ajak main bola atau pergi makan dulu. Tawan hati mereka supaya terikat dengan peribadi anta. InsyaAllah lama-kelamaan mereka sendiri akan bersedia untuk turut serta dalam amal dakwah ini."
Khalid tertunduk diam. "Ana minta maaf Pak Rejab, syukran sebab dah bagi ana motivasi untuk ana teruskan perjuangan ana dalam amal dakwah ini."
Suatu hari, Pak Rejab mendapat demam panas. Setelah diperiksa doktor, Pak Rejab menghidap denggi berdarah. Kini Pak Rejab hanya terlantar di hospital. Badannya semakin lemah. Tiada siapa yang menziarahi Pak Rejab selain Adam, Ahmad, Abu Ubaidah, dan Khalid. Mereka sahajalah harta yang Pak Rejab ada. Pak Rejab hidup sebatang kara selepas kematian isteri dan anak-anaknya dalam sebuah kemalangan di R&R Ayer Keroh. Sejak itu Pak Rejab berhenti dari menjadi seorang pensyarah di sebuah universiti dan berkhidmat sebagai tukang cuci di R&R Ayer Keroh itu. Seketika kemudian, Pak Rejab pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Suasana pilu itu begitu menghiris-hiris perasaan mad'unya.
Mereka buntu ke mana hala tuju dakwah mereka selepas itu kerana selama ini Pak Rejab yang menjadi jantung hati fikrah mereka.
"Ikhwah-ikhwahku, macam mana sekarang ni? Kita baru sahaja kehilangan mas'ul. Ana risau perjalanan tarbiah kita." Gusar dalam dada terluah juga.
"Kita usrah dengan Pak Rejab dah lama, ana percaya, kita mampu untuk kembangkan pula dakwah kita di tempat masing-masing. Semoga dengan usaha dakwah kita, sayap dakwah semakin terbuka luas. Jangan terlalu bersedih. Kita perlu teruskan hidup. Teruskan rantai perjuangan Pak Rejab. Sang murabbi yang banyak jasanya dalam membentuk peribadi kita semua." Ujar Ahmad.
"Assalammualaikum, satu suara menyapa."
"Waalaikumsalam wbt."
"Ana Qhoirul Azam, sahabat baik arwah, sebelum arwah pergi, dia ada meninggalkan pesan pada ana supaya menjaga anak-anak usrahnya sebagai ganti. InsyaAllah ana akan cuba sedaya upaya untuk bimbing antum dalam usaha menyebarkan dakwah antum. Mari kita berukhwah!" Seorang pemuda segak berdiri di hadapan mereka.
Perjalanan tarbiah inilah yang menjadikan jiwa-jiwa pemuda hidup. Hidup dengan yakin dan bangga terhadap kekuasaan Allah SWT.
Perjalanan tarbiah inilah yang mendidik jiwa-jiwa pemuda untuk terus merasai kesusahan dunia demi kesenangan di akhirat.
Perjalanan tarbiah inilah yang menjadi saksi jiwa-jiwa pemuda yang lantang gerak kerja dakwah mereka demi menjulang Islam di dunia.
Sesungguhnya perjalanan tarbiah inilah suatu jalan agung yang penuh berduri, namun terasa nikmat bila sampai ke destinasinya. Deduri inilah yang mengajar erti taqwa. Wallahua'lam
TAMAT
0 Comment:
Post a Comment