Deep Tarbiyyah, and Expand

Saturday, January 21, 2012

Tarbiah,,, Mengenal Erti Sebuah Perjalanan...

Bismillahirahmanirahim. Alhamdulillah. Genap sudah berjalan di atas jalan tarbiah selama dua tahun. Subhanallah, ternyata jalan tarbiah ini bukanlah jalan yang penuh dengan keseronokan. Bermula dengan peristiwa hitam. Pahit untuk ditelan. Bahkan sesekali masih menghantui diri. Tembok ego runtuh seruntuh-runtuhnya. Bila mana jahiliah mengharungi diri. Perit sangat waktu itu. Terkilan, sahabat yang beribu, sikit sahaja yang hulurkan tangan. Pimpin untuk bangkit kembali. Walaupun kehilangan sebilangan besar sahabat. Syukur diganti dengan beribu sahabat yang turut sama-sama berada di landasan tarbiah dan dakwah. Langkah pertama bermula di sebuah padang bola. Ya, sewaktu riadah yang penuh barakah. Daripada seorang, kenal seorang, kenal seorang, kenal seorang... Akhirnya kini dikelilingi rijal-rijal yang penuh agenda Islam di dada.

Sepanjang berjalan, tak dinafikan, banyak kali tersungkur. Banyak kali jatuh. Dan setiap kali itulah cuba untuk bangun. Tersungkur lagi. Bangun lagi. Sesungguhnya keperitan itu yang membawa kepada kebahagiaan. Pernah cuba untuk berlari, akhirnya jatuh tersungkur. Hakikatnya mendidik erti sabar dalam mujahadah. Tak perlu tergopoh-gopoh mencapai sesuatu.

Pernah cemburu melihat gambar ikhwah yang pergi mukhayam. Rupa-rupanya barulah tahu mereka telah sampai di peringkat yang tinggi. Pernah lari untuk pergi ke daurah. Rupa-rupanya barulah tahu ikut daurah kawasan lain. Pernah mujahadah berulang alik setiap minggu Segamat-Shah Alam kerana tiada ikhwah di Segamat. Rupa-rupanya barulah tahu ikhwah Melaka yang sentiasa merindui untuk berjumpa meskipun belum kenal.

Terkadang, rasa tertekan. Tiada biah soleh di universiti. Rasa itu terubat dengan murabbi yang tegar menempuh jalan berjam-jam untuk memberi tarbiah terbaik. Mewujudkan biah soleh. Merangsang untuk terus melakukan dakwah fardiah.

Sesungguhnya dakwah fardiah mempunyai perbezaan yang besar dengan dakwah jamaie. Paradigma yang dulunya selalu makan hati terhadap mereka yang bergerak secara jamaie melakukan dakwah, kini terubat. Dakwah fardhiah melatih diri menghadapi ranjau masyarakat. Melatih diri mencipta qaedah sulbah. Melatih diri berinteraksi dengan golongan yang pelbagai. Sungguh! Indahnya dakwah fardhiah!

Selama dua tahun menempuh jalan tarbiah pilihan hati. Banyak pula persoalan-persoalan luar yang timbul mengucar kacirkan tarbiah kendiri. Hingga terkadang diri rasa tertekan. Rasa hendak menangis semahu-mahunya. Rasa lemah. Rasa lelah. Mungkin itulah aplikasi teori tarbiah yang selalu dibincang dalam usrah dan halaqah.

Terima kasih ikhwah. Duka lama terubat juga akhirnya. Kini, terasa ada misi yang perlu dilaksanakan. Ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Dan perjalanan tarbiah dan dakwah ini takkan terhenti di sini. Akan terus melangkah, langkah demi langkah.

Moga terus thabat dalam perjuangan.

0 Comment: