Pernahkah anda mengikuti usrah? Bila sahaja terdengar perkataan usrah, apakah perkara pertama yang terlintas di benak fikiran anda? Apa pula relevennya usrah dengan kehidupan sebagai seorang pelajar? Sejauh mana pula komitment anda mengikuti usrah?
Menurut kamus dewan bahasa, usrah bermaksud "perkumpulan yang melibatkan kegiatan agama, seperti perbincangan tentang sesuatu tajuk". Namun saya yakin anda semua mampu untuk mendefinisikan apa itu usrah mengikut kefahaman anda sendiri. Ada yang mengatakan ianya sebuah keluarga. Ada juga yang mengistilahkan usrah sebagai smart circle. Tak kurang juga yang menganggap usrah sebagai perkumpulan 'terrorist'. Rata-rata persepsi masyarakat sekarang melihat usrah sebagai tempat perbincangan para ustaz dan ustazah. Maka, 'mat-mat rempit dan minah-minah rocker' bukanlah golongan yang 'layak' untuk turut bersama duduk dalam halaqah menurut pandangan umum. Walau hakikatnya bukan begitu. Lebih menyedihkan, terdapat juga sesetengah pihak yang konsisten berada dalam usrah dan halaqah. Meletakkan syarat supaya menjadi 'sempurna' dahulu sebelum menyertai usrah dan halaqah.
"Nak ikut usrah kami, sila pakai tudung dulu. Kalau boleh labuh sampai buku lali."
"Nak ikut usrah kami, tukar seluar jeans dengan kain pelikat dulu."
Dan sebagainya...
Bukanlah saya perlekehkan pakaian yang dianjur syariat, tetapi lihatlah sekeliling anda. Hakikatnya masyarakat masih lagi terperangkap dalam persepsi minda yang mentafsirkan menutup aurat dengan sempurna dianggap 'baik', tidak sempurna dianggap 'jahat' walau sebenarnya yang menjadi penanda aras baiknya seseorang individu itu adalah nilai iman dan taqwa dalam diri.
Saya teringat kata-kata azimat murabbi saya dalam suatu sesi usrah. "Sehebat mana pun program-program yang kita anjurkan atau jawatan yang kita galas, tiada usrah, tiada tarbiah berterusan, tiada roh yang hidup. Maka semuanya hanyalah sia-sia. Tiada roh yang hadir. Hanya penat yang kita dapat."
Bila difikirkan kembali, ada kebenarannya di situ. Dalam usrah kita dididik untuk sentiasa berakhlak mulia, hormat menghormati, memupuk sifat berani, berfikiran jauh, dan sebagainya. Bila menganjurkan sesuatu program, sudah tentulah akan terzahirnya sifat-sifat mahmudah yang telah terdidik itu. Akhirnya program jadi bertenaga, penuh barakah, hadir bersama tarbiah yang menjadi indicator untuk lebih mematangkan diri.
Lihat sahaja 313 ahli Badar yang menjadi Qaedah Sulbah di awal perkembangan Islam. Berjaya menewaskan sepasukan tentera yang bilangannya 3 kali ganda. Bagaimana ahli Badar boleh begitu bersemangat menewaskan tentera kafir Qurarish kerana mereka mendapat bimbingan tarbiah langsung dari Rasulullah. Roh dalam diri mereka hidup.
Usrah Mendidik Bukan Mengajar
Di sekolah atau universiti, guru atau pensyarah akan masuk ke kelas, memberi tunjuk ajar dan membekalkan kerja rumah mahupun tugasan. Selepas tamat sesi pembelajaran, sang guru pun keluar. Tidak lagi memikirkan tentang anak-anak muridnya. Sang guru tidak akan menghubungi setiap orang pelajarnya di waktu malam untuk bertanyakan tentang kerja rumah. Tanggungjawab untuk belajar terletak di bahu setiap anak-anak murid. Jika nak lebih, berjumpalah dengan guru.
Namun di usrah, seorang murabbi atau murabbiah akan sentiasa memberi didikan kepada setiap mutarabbinya. Membekalkan wajibat amal, tasmi' hafazan, membetulkan tajwid. Malah didikan itu bukan sahaja terhad hanya dalam usrah, tetapi hampir setiap hari. Murabbi yang akan bertanyakan mutarabbinya tentang amalan-amalan yang mereka lakukan. Sama seperti Rasulullah yang selalu bertanyakan para sahabat tentang amalan-amalan mereka.
Inilah perbezaan ketara yang barangkali ramai terlepas pandang. Hingga ada yang menjadikan usrah sama sahaja seperti kelas-kelas subjek agama di sekolah. Dalam usrah, duduk berbincang, habis usrah. Tamat. Jumpa kembali minggu hadapan. Duduk berbincang, habis usrah. Tamat. Dan berulang-ulang kali. Tiada pembinaan amal. Akhirnya, dakwah tak berkembang, tarbiah tak berjalan. Sedangkan fungsi usrah itu sendiri ingin melahirkan seorang individu yang mantap peribadi Muslim dalam dirinya.
Uwais Al-Qorni
Ingin saya bawakan kisah Uwais Al-Qorni yang dapat kita ambil iktibar dan pengajaran dalam merealisasikan usaha dakwah melalui usrah.
Diceritakan Uwais Al-Qorni seorang pemuda biasa yang mengembala kambing. Apabila Islam telah sampai kepadanya, beliau teringin benar untuk bertemu dengan Rasulullah kerana beliau ingin tercatat sebagai salah seorang sahabat Rasulullah. Terdapat 3 syarat untuk menjadi sahabat Rasulullah. Pertama, beriman kepada Allah dan RasulNya. Kedua, pernah bertemu dengan Rasulullah. Dan ketiga, mati dalam keadaan beriman. Untuk bertemu dengan Rasulullah SAW, Uwais Al-Qorni terpaksa menempuh perjalanan sejauh 400KM. Walaubagaimanapun beliau tidak mampu berbuat demikian kerana memikirkan ibunya yang buta dan sakit. Suatu hari beliau meminta izin ibunya untuk pergi mencari Rasulullah SAW. Ibunya membenarkan dan berpesan supaya segera pulang. Lalu Uwais Al-Qorni pun menempuh perjalanan sejauh 400KM semata-mata untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Setibanya di depan pintu Rasulullah, Uwais Al-Qorni memberi salam namun yang membuka pintu merupakan Saidatina Aisyah. Saidatina Aisyah memberitahu bawaha Rasulullah sedang berperang. Dengan perasaan hampa, Uwais Al-Qorni terkenangkan pesan ibunya supaya segera pulang. Lalu Uwais Al-Qorni pun pulang ke kampung halaman. Sebaik sahaja tamat peperangan, Rasulullah bertanyakan Saidatina Aisyah mengenai perihal Uwais Al-Qorni. Maka Baginda pun bersabda bahawa Uwais Al-Qorni bukan orang yang terkenal di bumi tetapi terkenal dalam kalangan malaikat. Hinggakan apabila Uwais Al-Qorni meninggal dunia, liang lahadnya sudah siap digali. Sudah siap dimandikan, dan sudah siap dikafankan. Sesungguhnya malaikat berebut-rebut untuk menguruskan mayat beliau.
Pengajaran yang boleh kita ambil di sini, Uwais Al-Qorni meletakkan rasa cinta yang begitu tinggi kepada Baginda. Hingga sanggup bekorban masa untuk merentas padang pasir semata-mata untuk bertemu dengan Rasulullah. Apalah sangat kiranya kita mengorbankan sedikit masa untuk duduk berusrah demi menghayati dan mempelajari sunnah Rasulullah. Uwais Al-Qorni juga meletakkan komitmen yang tinggi terhadap Islam. Hal ini yang telah membuatkan beliau sanggup merentas padang pasir.Begitu jugalah dengan kita semua. Usrahlah tempat untuk kita membina peribadi Muslim. Oleh itu, letakkanlah komitmen yang tinggi untuk menghadiri usrah setiap minggu. Bukan ikut rasa. Walaupun sibuk macam mana sekalipun, carilah ruang dan waktu untuk bersama-sama duduk dalam satu halaqah. Uwais Al-Qorni juga tidak bertangguh apabila teringat pesan ibunya untuk segera pulang. Maka, sebagai seorang daie, janganlah suka bertangguh. Laksanakanlah amalan-amalan yang ingin kita bina dengan rasa bersemangat.
Moga-moga penulisan kali ini sedikit sebanyak membantu anda untuk terus aktif menjalankan usrah sebagai jantung dakwah. Wallahualam.



.jpg)