SMT Shah Alam terima 272 pelajar YHHS, Jepun perkasakan hubungan pengantarabangsaan
PERBEZAAN bahasa dan budaya tidak menghalang pelajar Sekolah Menengah Teknik (SMT) Shah Alam menyambut kunjungan 272 pelajar Yokohama-Hiranuma High School (YHHS), Jepun yang melawat ke sekolah itu, baru-baru ini.
Selain pelajar, rombongan turut diiringi 10 guru diketuai Naib Pengetuanya, Yamada Hiroshi bagi menguruskan aktiviti kebudayaan dari negara matahari terbit itu.
Yamada, berkata lawatan bertujuan membantu kedua negara bertukar budaya menerusi kesenian warisan kepada peserta.
“Kami menunjukkan budaya dan pembelajaran Jepun termasuk seni kaligrafi, origami, penyediaan teh serta kelas bahasa yang dilakukan pelajar sendiri.
“Program ini sangat menarik, selain dapat melahirkan modal insan serba boleh sejajar pengurusan sekolah yang menekankan kriteria tertentu seperti kualiti tinggi, kebijaksanaan, kebudayaan dan cara hidup sihat di sekolah.
“Diharapkan program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya kepada Berita Harian di Shah Alam, baru-baru ini.
Sementara itu, rata-rata pelajar yang ditemui berpendapat program itu memberikan kesan positif termasuk menambah keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi terutama bahasa Jepun.
Noradila Mohd Adnan, berkata aktiviti seperti istiadat perkahwinan Melayu, permainan congkak, tarian tradisional dan pameran songket berjaya menonjolkan budaya Melayu kepada rombongan Jepun.
“Ini adalah kali pertama saya berjumpa orang Jepun dan ia adalah pengalaman berharga serta menyeronokkan terutama ketika mengajar mereka cara menganyam ketupat.
Bagi Pelajar YHHS, Hitomi Ishibashi,17, berkata pelajar SMT Shah Alam pantas mempelajari tulisan kaligrafi yang diajarnya.
Rakannya, Mayuko Saiko,16, pula berkata aktiviti dijalankan memberikan peluangnya mengenali bahasa, budaya Malaysia serta mendapat rakan baru.
Pengetua SMT Shah Alam, Fuzyah Abdullah, berkata program itu diadakan bertujuan memperkasakan hubungan antarabangsa dengan sekolah luar negara.
“Penganjuran ini adalah bagi menyahut strategi kementerian berkaitan pengantarabangsaan. Sebelum ini kami pernah menerima kunjungan sekolah dari Amerika Syarikat, Kemboja, Bangladesh dan Indonesia,” katanya.
