Deep Tarbiyyah, and Expand

Monday, August 29, 2011

Eid 1432

Bismillah
Mesej raya bertubi-tubi masuk, letih nak reply satu-satu, reply kat sini je lah.

-Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin-

Suka pesanan-pesanan yang dapat dari para murabbi dan murabbiah

Abang Ibrahim -
*Lisan kadang-kadang tak terjaga.
*Janji kadang-kadang tak tertunai.
*Hati kadang-kadang berprasangka.
*Sikap kadang-kadang menyakitkan.

Hidup ini menjadi indah jika masih ada rasa maaf.
Dalam menyambut Aidilfitri, mari kita bersihkan hati.
Mohon maaf zahir dan batin.

Cikgu Alif (naqib) -
Sehening air wudhu,
sesuci al-Quran,
Semerdu alunan dzikir,
Seindah solat 5 waktu,
Setenang hati yang tiada rasa benci dan dendam,
Jika tangan tak sempat berjabat,
Jika wajah tak sempat bertatap,
Syawal yang dinanti, sama-samalah buka pintu kemaafan.
Selamat hari lebaran.

Cikgu Aisyah -
Rasulullah SAW pernah berkata amalan yang menjamin keselamatan seseorang yang melintas di atas titian sirat untuk sampai ke syurga ialah banyak bersedekah dan melazim diri hadir ke masjid. Amalan yang menghalan atau mengganggu kelancaran perjalanan di atas titian sirat adalah membuat tuduhan dusta memburukkan seorang Mukmin hingga Allah menghentikan langkahnya atas sirat sehingga ia bersedia melepaskan tuduhan itu. Semoga amalan kita terutama di bulan puasa yang penuh rahmat itu menyelamatkan kita daripada api neraka dan kita memperoleh rahmat dan keredhaanNya. Selamat hari raya.
(tak pernah lekang dengan nasihat =D)

Abang Awe -
Ya Allah,
Muliakan dan sayangilah saudaraku ini.
Bahagiakan keluarganya,
Berkatilah rezekinya,
Kuatkan imannya.
Selamat Hari Raya.
Maaf zahir dan batin.

Dan juga yang lain-lain. Syukran jazilan. Maaf kalau tak sempat balas.
Semoga amalan yang telah dibina di bulan Ramadhan dapat terus istiqamah pada hari-hari mendatang. Selamat Hari Raya. -Qamarul Nazrin Harun

Friday, August 26, 2011

Iktikaf Perdana


Bismillah

Lepas habis test IMD206 hari tu, ana bersama rakan sekelas melepaskan 'lelah' belajar di sebuah cafe di sekitar UiTM, tak pernah pun sebelum ni 'lepak' malam-malam buang masa. Bila je sampai sana, derau darah mula terasa. Bukan kerana sejuk malam yang menyengat, tetapi bila melihatkan keadaan di cafe yang penuh dengan mahasiswa-mahasiswi yang pada ana terlalu bebas. Bebas dalam berbuat apa sahaja! Bebas membuka aurat. Bebas bertepuk tampar sesama ajnabi. Bebas berdua-duaan melayari 'bahtera cinta nafsu'. Subhanallah. Berat lagi tanggungjawab yang perlu dipikul rupanya. Dengan kelahiran ikhwah yang bagai cendawan tumbuh selepas hujan pun ana rasa tak mampu lagi untuk berhadapan dengan situasi semasa.

Sesungguhnya tentera Islam tidak diajar ilmu peperangan di zaman Rasulullah. Mereka hanya disiapkan dengan iman dan takwa. Impaknya, kerajaan Rom dan Parsi tunduk kepada penguasaan Islam. Tak mustahil sejumlah bilangan yang sedikit dan lemah pada zahirnya, mampu mewujudkan gelombang kuasa yang kuat andai dipandang dari sudut yang lain.

Biasalah, hujung-hujung semester, bebanan pelajaran berlipat kali ganda. Memerlukan komitmen yang tinggi. Dan pada akhirnya, konsentrasi mula terganggu. Tubuh menjadi letih, tak cukup tidur, hubungan dengan sahabat handai renggang seketika, dan yang paling ana sesali komitmen pada tarbiyyah juga turut terhalang. Hilangnya tarbiyyah dalam hidup walaupun seketika cuma sudah cukup memberi kesan yang sangat mendalam. Iman bagaikan terpenjara. Lemah tak berdaya. Bila kerja dakwah mula terhenti, sifat malas mula mengambil tempat. Sungguh! Bagai ibu hilang anak. Hilang punca...

Alhamdulillah, cuti hari raya, walaupun tak lama tapi cukup untuk memberi diri ruang dan peluang untuk mencari cinta dan permata.

Hari Jumaat 26 Ramadhan 1432, tiba-tiba hati tergerak untuk bersolat Jumaat di Masjid Negeri Shah Alam. Alhamdulillah Allah pilih untuk turut hadir bersolat di sana. Pengumuman dibuat mengatakan ada iktikaf perdana peringkat negeri di masjid pada keesokan harinya. Selepas iftar di rumah, hajat di hati ingin solat Isyak berjemaah di Masjid Negeri seterusnya solat terawih dan iktikaf. Tapi ujian pula berlaku, sesampai di perkarangan masjid, ana mengambil masa selama lebih kurang 45 minit untuk mencari parking! Ya Allah. Betapa penuhnya kereta. Menunjukkan pengimarahan masjid yang hebat sedang berlaku! Hanya sempat menyambung solat terawih pada rakaat ke enam.

Akibat terlampau ramai hadirin, ana sendiri rasa terkial-kial dan sesak untuk berjalan. Apatah lagi belum seorang pun yang ana kenal berada di situ ketika itu. Selepas terawih, tenaga semakin susut. Sedang survey tempat untuk tidur, tiba-tiba terlihat seorang pemuda datang ke arah ana. Dengan senyuman ukhwah. Rasa penat bertukar menjadi segar. Subhanallah! Ikhwah yang disayangi dan dirindui, Mustafa, ikhwah dari Jordan yang balik bercuti. Lepas rindu akhirnya. =D Selepas itu muncul seorang demi seorang ikhwah yang turut hadir bersama untuk iktikaf pada hari ini. Alhamdulillah. Seronok dapat kembali berada dalam biah soleh setelah sekian lama berhadapan biah jahiliah dalam usaha mentransformasikannya. Tuhan sahaja yang tahu betapa mencabarnya hingga terkadang diri turut ditarik gelombang sekularisme yang ada.




Sempat menghabiskan 1 juzuk sebelum tidur. Alhamdulillah. Pada pukul 3 pagi, acara qiamulail perdana bermula. Maha Suci Allah! Pengalaman yang paling menakjubkan yang ana lalui sepanjang hidup! Kira-kira 3000 orang hadir pada malam yang bersejarah ini untuk turut mengimarahkan masjid. Bergema seluruh masjid dengan tasbih!

Subhanallah

Alhamdulillah

Allahuakbar

Dah lama sangat tak buat solat sunat tasbih. Kali ni sangat lain. Sangat-sangat lain! Roh itu hidup. Iman terasa segar sesegar segarnya. Selepas solat sunat tasbih, solat sunat taubat menyusul pula dan diiringi solat sunat hajat. Ya Allah, tak terucap betapa istimewanya malam itu. Syukur Allah hiburkan ana dengan keindahan Islam seperti ini. Zikrullah bergema di bibir-bibir. Bersulam pula dengan bacaan al-Quran yang sangat menyentuh jiwa. Terima kasih Allah kerana pilih ana untuk turut merasai pengalaman seumpama ini. 27 Ramadhan 1432, tarikh ganjil berlakunya lailatur qadar. Samada jadi atau tidak lailatur qadar pada 27 ini, bagi ana, inilah lailatur qadar yang selama ni diburu dicari.

Cinta terindah itu ketemu juga akhirnya. InsyaAllah cukup untuk dijadikan bekalan dalam menggerakkan kembali jentera dakwah dan tarbiyyah. Mudah-mudahan.

Mus'ab Umair | 27 Ramadhan 1432

Thursday, August 25, 2011

Syukur Untuk Segalanya

Bismillahirahmanirahim

Seorang manusia tidak akan pernah terlepas dari sifat lupa kerana itu sememangnya fitrah seorang manusia yang selalu lupa banyak perkara. Dalam hal ini, hadir sekali lupa akan syariat yang telah ditetapkan untuknya. Oleh hal yang demikian, manusia lazimnya akan berbuat silap dan salah.

Berhubung dengan perkara ini, Allah SWT telah pun menetapkan kepada sekalian manusia untuk sentiasa mensyukuri nikmat yang telah diberikan. Tetapi adakah manusia bersyukur? Kita seringkali menginginkan sesuatu perkara, namun apabila ianya telah berada di depan mata, adakah kita menghargai atau mensyukurinya? Sebagai contoh si fulan yang teringin naik haji, sesudah berada di Makkah sibuk pula merantau sebab nak cari daging golek, akhirnya selepas kembali ke tanah air mula berkata 'aku rindu nak pergi Makkah'. Dalam konteks kehidupan sebagai seorang pemuda Muslim pula, sebelum tibanya bulan Ramadhan, ternanti-nanti dengan penuh pengharapan, namun apabila tiba bulan Ramadhan, tidak pula merebut segala peluang untuk beribadah di bulan mulia. Apakah itu tandanya seseorang itu bersyukur?

Indahnya Islam. Allah yang menciptakan kita semua, Dia jugalah yang Maha Mengetahui akan keadaan hamba-hambaNya yang selalu lupa. Oleh itu, solat fardu telah ditetapkan sebagai ibadah wajib bagi diri setiap orang Muslim. Melalui solatlah seorang itu bersyukur terhadap segala nikmat pemberian Allah. Buktinya, dalam surah al-Fatihah ayat ke dua. Membaca al-Fatihah sendiri sudah menjadi syarat sah solat. Tidakkah kita menjadi hamba yang bersyukur?

Namun, persoalan yang tercetus di sini, apakah dengan membaca al-Fatihah atau mengucapkan perkataan 'Syukur Alhamdulillah', sudah dikira sebagai seorang yang bersyukur? Jawapnya sama sekali tidak. Lihatlah ketua segala munafik, Abdullah bin Ubay yang tak pernah terlepas untuk mengangkat takbir ketika solat bersama Rasulullah, namun hatinya tetap tidak beriman. Kasihan Saidatina Aisyah difitnahnya.

Sesungguhnya syarat bersyukur terbahagi kepada tiga, melalui lisan, melalui hati, dan melalui perbuatan. Abdullah bin Ubay sudahpun mengucapkan syukur secara lisan. Tetapi apakah hati membenarkannya?

Jadi, untuk menjadi seorang individu Muslim yang sentiasa bersyukur di atas segala nikmat pemberian, dia hendaklah mengakui erti syukur melalui lisan, membenarkan dengan hati, dan mengamalkan dengan perbuatan.

Berhubung kait dengan perjalanan dakwah dan tarbiyyah, seseorang individu itu hendaklah sentiasa mensyukuri nikmat setiap apa yang terjadi. Seperti yang sedia maklum, melalui jalan dakwah dan tarbiyyah ini bukanlah suatu jalan yang mudah. Banyak cabarannya dalam memilih untuk melalui jalan ini. Maka, sifat syukur itu sendiri sudah boleh menjadi motivasi terbaik untuk terus thabat dalam perjuangan.



Wallahua'lam

Tuesday, August 23, 2011

Bila

Bila fikiran celaru, akal tak mampu berfikir waras.

Bila jasad terasa lelah, tubuh tak mampu bekerja dengan sempurna.

Bila mujahadah terasa payah, diri seringkali dilambai jahiliah.

Bila iman rasa terpenjara, nafsu mula menguasai jiwa.

Bila mimpi kabur di mata, rasa pilu menyengat sukma.

Bila ukhwah terputus talinya, rasa sedih mengamit rasa.

Bila atma pernah tercalit noda, rasa dosa menghantui sanubari.

Bila resah sesak di dada, rasa gelisah memburu peribadi.

Bila dasar hati terasa gersang, lopak samudera kering senantiasa.

Bila zikrullah pudar di bibir, terbit rasa rindu pada kalamullah.

Bila lidah setajam pedang, tajam lagi fikrah yang dibawa.

Bila islah dirasuk lemah, sabar bisa jadi penawar.

Bila mata kian terpejam, segala memori bertandang di minda.

Bila kelam jalan di hadapan, tarbiyyah bagai dicucuk duri.

Entah kapan kemenangan tiba, jadi rahsia Yang Maha Esa.

Bangunlah tika terjatuh.

Bangkitlah tika rebah.

Berjalanlah tika penat berlari.

Asal perjalanan tetap diteruskan.

Setiap yang terjadi bersulam hikmah.

Hikmah yang menjadi himmah di sekolah kehidupan, berguru pengalaman.

[29 : 69]

-Mus'ab 'Umair
23 Ramadhan 1432

Thursday, August 18, 2011

Pilihan

Pada masa ini, anda diberi dua pilihan:

Terus berasa lemah menerima semua herdikan

Atau

Teruskan perjuangan walau apa yang berlaku

Saya pilih untuk terus kuat dalam perjuangan.

Tuesday, August 16, 2011

Pendakwah Bukan Penghukum

Ramai orang bila nampak kemungkaran depan mata terus 'hentam'

Tapi

Berapa ramai orang bila nampak kemungkaran depan mata terus ambil ia sebagai peluang untuk dakwah?

Contoh :

Pemimpin menyalah gunakan duit rakyat untuk kepentingan peribadi
Sudah terang lagi bersuluh
Akhirnya pemimpin kena hentam semahu-mahunya
Alahai~

Persoalan yang berlaku di sini,
Daripada ramai-ramai yang meng'hentam' pemimpin tersebut,
Berapa ramai yang ingin mengambil pemimpin tersebut sebagai mad'u untuk tunjukkan beliau ke jalan yang betul?

Persoalan susulan,
Dalam yang berhati mulia mengambil mereka sebagai modal dakwah,
Berapa ramai pula yang 'hentam' orang-orang yang telah berlapang dada mengambil pemimpin yang corrupt akhlak sebagai mad'unya itu?

Sekadar melahirkan rasa kesal terhadap situasi di atas. Beberapa hari lalu, di pertengahan solat terawih, telah diadakan tazkirah ringkas. Isi menarik. Mantap. Tapi sayang, ayat yang menarik telah diolah untuk menghentam pemimpin-pemimpin sekarang. Habis semua keluar. Biometrik, tanah ekar, serbuan gereja dan sebagainya. Bagi qariah yang tidak mengikuti isu semasa mungkin akan terima bulat-bulat hentaman demi hentaman itu. Akibatnya, menggalakkan masyarakat untuk terus menghukum mereka yang corrupt akhlak. Salahkah jika isi ceramah diolah supaya menggalakkan para jemaah untuk mengambil peluang supaya mendidik pemimpin yang dimaksudkan supaya tidak lagi menyalahgunakan kuasa yang ada.

Pemimpin punya kuasa lebih kuat dari rakyat yang membuatkan rakyat tidak mampu bersuara. Mengapa tidak rakyat mengislah diri masing-masing supaya menjadi suatu 'kekuatan akhlak' dalam diri masyarakat yang mampu mempengaruhi pemimpin?

Saya bukanlah ingin mempersoalkan berkenaan isu politik masa kini. Betapa besarnya kuasa politik masa kini sehinggakan tiada lagi yang lebih besar kuasanya selain politik. Segala-galanya bermula dengan politik! Ingin mengubah ummah perlukan politik. Ingin mengubah bangsa bermula dengan politik. Ingin mendaulatkan Islam mesti melalui politik. Sebagai seorang mahasiswa yang kurang arif tentang dunia politik, saya beranggapan terdapat satu kuasa yang lebih hebat dari politik. Iaitu kuasa tarbiyyah.

Tarbiyyah mengubah peribadi.

Seorang yang jahat sekalipun mampu menjadi orang baik selepas mendapat sentuhan tarbiyyah. Hebat bukan?

Buktinya, lihatlah kisah pengIslaman Saidina Umar al-Khattab. Hati sekeras batu terus berubah selembut air.
Ajaib bukan?

Secara jujurnya, saya juga telah melihat dengan mata kepala saya sendiri keajaiban yang berlaku dek terkena sentuhan tarbiyyah.
Moga kedua-dua mata menjadi saksi berubahnya mereka disebabkan oleh kuasa tarbiyyah.

Ayat ke 69 dalam surah al-Ankabut yang bermaksud:
"Dan orang yang berjuang untuk (mencari redha) Kami, benar-benar akan Kami pimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya." Cukup memberi kesan yang mendalam. Tidakkah beruntung seseorang itu jika cuba mencari redha Allah dengan memimpin mereka yang melakukan kemungkaran untuk kembali kepada Allah? Tidakkah mereka terfikir yang bantuan Allah akan sentiasa bersama orang-orang yang berjuang untuk mencari redha Allah?


Monday, August 15, 2011

Kini Kembali

Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk) ?

Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam) -

Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?

Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),

Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).

[94 : 1-8]

Saturday, August 13, 2011

Didiklah Jiwamu Dengan Al-Quran

Sewaktu para sahabat diarah berhijrah ke Habsyah untuk mendapat perlindungan di sana. Maka terputuslah didikan langsung dari Rasulullah SAW. Hingga umat Islam menjadi kuat di Madinah, pelbagai ayat al-Quran telah turun. Namun, bagaimana pula keadaan para sahabat di Habsyah yang tidak tahu menahu tentang perkembangan Islam sehinggalah utusan Rasulullah sampai memberi khabar berita kepada mereka. Persoalan yang berlaku di sini, bagaimanakah mereka boleh konsisten untuk terus beramal dengan ajaran Rasulullah?

Inilah buktinya keunikan generasi al-Quran yang pertama, walaupun terlewat untuk mengemaskini informasi terhadap ajaran Baginda memandangkan belum lagi tercipta alat telekomunikasi, namun keimanan mereka tetap teguh.

Zaman sekarang, kita semua dah begitu jauh dengan Rasulullah, ayat-ayat al-Quran juga mudah untuk kita perolehi, samada melalui medium pembacaan melalui naskah ataupun elektronik. Persoalan seterusnya, mampukah kita mencontohi sahabat yang berhijrah di Habsyah yang tetap beriman dengan ajaran Baginda walaupun jauh di mata?

Pelbagai konspirasi demi konspirasi untuk menjatuhkan umat Islam. Misalnya, cuba antum pergi ke url blog ana atau siapa-siapa, www.qamqam.blogspot.com, dan buangkan huruf 's'. Antum akan lihat sendiri konspirasi dalam penyebaran maklumat yang begitu pesat untuk menjatuhkan Islam. Wujud persoalan di sini, adakah kita sebagai umat Islam nak memandang dan menyumpah seranah begitu sahaja tanpa sebarang tindakan?

Dasawarsa, negara menyaksikan berduyun-duyun orang keluar daripada Islam, senyum padari hingga ke gigi menyaksikan masyarakat melayu Islam yang menyatakan kemurtadan mereka. Hingga ke hari ini isu murtad hebat diperdebatkan hingga ke percaturan politik. Di Eropah sahaja, setiap hari berduyun-duyun orang masuk Islam, tetapi di Malaysia? Berduyun-duyun orang keluar Islam? Inikah negara Islam contoh yang diwar-warkan? Apakah dengan adanya qari dan qariah terbaik dunia telah cukup untuk menjadikan negara Islam contoh?

Hakikatnya, ketandusan akhlak Islamiah masih lagi berlaku di negara sendiri. Ke mana pergi masyarakat berhikmah? Kembalilah pada solusi terbaik. Dengan menjadikan al-Quran sebagai wadah. Didiklah diri dengan al-Quran.

Walaupun sibuk mengejar kemewahan dunia, janganlah dilupa akan al-Quran. Barangsiapa yang melihat ketinggian selain al-Quran, nescaya dia telah merendah-rendahkan keagungan Allah. Carilah kekuatan dalam memahami setiap butir bicara al-Quran kerana di situ wujud solusi di setiap permasalahan yang berlaku.

Dalam usaha membudayakan pembacaan al-Quran di kalangan masyarakat pula, tak salah rasanya jika diedarkan al-Quran secara percuma. Letak beberapa naskah al-Quran di hotel-hotel ternama, jadikan sebagai hadiah, letakkan di perpustakaan, dan tempat-tempat awam. Tak mustahil gejala keruntuhan akhlak dalam kalangan masyarakat khususnya remaja dapat diatasi.

Thursday, August 11, 2011

Nikmat Ramadhan

Subhanallah
Subhanallah
Subhanallah

Tak terkata rasa gembira yang bertaut di hati sekarang ni. Baru semalam dilanda murung. Setelah memalukan diri sebab salah baca hadis, disogok lagi dengan ujian yang pelbagai dalam masa sehari. Cukup membuatkan diri rasa nak berputus asa di jalan dakwah. Rasa tak mampu. Lelah. Penat. Keringat yang keluar tak terkira banyaknya.

Hari ni diuji lagi dengan jadual kelas yang luar biasa padatnya. Mula kelas pada pukul 8 pagi dan tamat pada 6.30 petang. Kelas tanpa henti!
Sudah pasti keinginan nak pergi terawih turut teruji. Alhamdulillah, tubuh masih mampu untuk langkahkan juga kaki ke masjid.
Setibanya di masjid, kaki terus melangkah ke saf hadapan, bersebelahan seorang lelaki.
Lelaki itulah yang banyak memotivasikan diri.

Alhamdulillah. Allah jodohkan juga untuk bersembahyang betul-betul di sebelahnya. Dia manusia biasa yang sangat luar biasa. Dan semestinya! Ana sangat mengkagumi peribadi beliau.
Kenapa ana sangat mengkagumi akan beliau? Kerana sebelum ni beliau tersangatlah jahil dalam agama hinggakan baca al-Quran pun tak tahu. Sehingga Allah ketuk pintu hatinya untuk beriman kepada-Nya. Ego yang ada dalam diri terus lebur. Beliau mula belajar mengaji dengan anak muda. Seorang yang berpangkat Professor menjadi tunduk patuh semata-mata nak belajar mengaji. Bayangkan sekiranya beliau masih dengan egonya, kemungkinan besar sampai sekarang beliau tak tahu mengaji. Tambah hebat, menerusi cerita dari seorang ustaz, beliau di antara orang yang sangat hebat dalam pembacaan al-Quran hingga mengalahkan ustaz-ustaz di sini. Peribadinya sangat mempengaruhi ana.

Tak sangka dapat solat terawih betul-betul sebelah beliau. Bukanlah suatu yang pelik bila bersembahyang sebelah orang yang hebat. Pernah je sebelum ni sembahyang sebelah beliau. Namun, apa yang membuatkan kali ini begitu istimewa. Sembahyang itu merupakan sembahyang terakhirnya di UiTM Segamat kerana beliau mendapat tawaran mengajar di Universiti di Madinah. Syukur Allah takdirkan untuk dapat serapan semangat terakhir dari orang hebat seperti beliau. Tazkirah ringkas selepas terawih dari beliau pun sangat menggetarkan jiwa.

Dalam perjalanan mencari makna diri. Mencari Tuhan. Dia beri jawapan. Alhamdulillah. Moga lebih thabat dalam perjuangan selepas ini. Wallahua'lam

Wednesday, August 10, 2011

Takkan Berhenti


"Dalam hidup ni, anta diberi pilihan samada nak teruskan perjuangan atau berhenti, tak ada siapa nak halang, anta dengan pilihan anta. Tapi anta kena ingat, semuanya akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak, kalau anta nakkan habuan kat sana, jangan sesekali rasa lemah dalam perjuangan."
[Dr. Adha | 2010 | MITC Melaka]

Rindu dengan beliau.
Orang yang betul-betul hadir saat diri perlukan teman.
Orang yang sudi menghulurkan bahu untuk ana menangis.
Orang yang sudi menghulurkan telinga untuk dengar segala luahkan yang terbuku di hati.
Orang yang sudi tunjukkan jalan dakwah dan tarbiyyah.
Orang yang sudi pimpin saat diri sedang tersungkur hingga kini mampu berdiri dengan sendiri. Setiap butir bicaranya menjadi azimat sampai sekarang.

"Tarbiyyah dahulu, yang lain datang kemudian"

Hari ini, tarbiyyah mengubah segala-galanya.
Terasa segar dengan angin dakwah.
Walau terkadang diri terasa lelah.
Sangat lelah.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar."
[at-Taubah : 111]

Rasa cinta
Rasa rindu
Ukhwah
Impian
Keinginan
Harapan
Penyesalan
Rasa duka
Air mata
Moga menjadi butiran permata di perkampungan abadi kelak

Monday, August 8, 2011

Dakwah dan Tarbiyyah

Bismillah

Merujuk blog seorang kenalan, teringat tentang keluarga usrah baru di bumi ilmu ini. Sang murabbi memulakan usrah dengan menjelaskan definisi usrah kepada ikhwah. Hakikatnya, usrah menjadi denyut nadi utama dalam proses pengislahan diri ke arah menjadi individu berperibadi muslim. Segalanya bermula dengan usrah. Sang murabbi menjelaskan lagi bahawa dalam usrahlah bakat dakwah akh digilap dengan gilapan tarbiyyah sehingga mampu membawa usrahnya sendiri suatu hari nanti. Namun, fenomena sekarang menyaksikan bahawa usrah hanyalah sekadar usrah yang 'biasa-biasa' tanpa melahirkan produk individu muslim yang mapan jati diri. Sayang seribu kali sayang. Usrah yang sudah pun menjadi kebiasaan ini dianggap sebagai perkara biasa atau sekadar mengisi masa lapang.

Mula usrah dengan bismillah, dan akhiri dengan tasbih kafarah. Bait-bait kata dari sang murabbi sungguh menggetarkan hati! Apa yang dimaksudkan dengan kenyataan ini adalah tarbiyyah yang ada dalam usrah itu sendiri tidak meresap masuk ke dalam jiwa akh-akh. Hanyalah sekadar perbualan kosong yang masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Impaknya, tarbiyyah tidak akan berjalan, roh tarbiyyah tidak hidup dan matlamat usrah tidak akan tercapai.

Semasa usrah sedang berjalan, perbincangan mengenai usrah terus diperkatakan. Teringat ana kepada seorang ikhwah yang meluahkan rasa rindunya pada jalan tarbiyyah. Serba sedikit mengenai ikhwah yang satu ni; Dia merupakan seorang bekas pelajar sekolah agama di sekitar Selangor, pernah menggalas tanggungjawab sebagai BADAR di sekolah. Ini bererti, dia pernah mengendali usrah. Dari apa yang diceritakan, dia menyatakan bahawa sepanjang mengendali usrah di sekolah, perkara yang paling ditunggu-tunggu ialah waktu tamat persekolahan kerana tamatnya persekolahan bererti tamatlah tugas dalam menyelia usrah. Ikhwah berkata lagi bahawa usrah yang diwajibkan di sekolah hanyalah seperti simbol yang membawa title 'Sekolah Agama'. Hakikatnya, tarbiyyah tetap tak berjalan. Buktinya, masih ramai pelajar yang terlibat dengan masalah rokok, gengsterisme, ikhtilat yang terlampau, dan sebagainya hingga ada yang mengatakan "Sekolah je yang agama, murid belum tentu beragama." Berkerut ana mendengarkannya, apakah semua sekolah agama seperti apa yang diceritakan? Wallahua'lam, walaubagaimanapun, ana percaya hanyalah segelintir sahaja yang menebuk lubang di perahu. Ana juga punya sahabat-sahabat yang lahir dari didikan sekolah agama, dan mereka menjadi qudwah kerana peribadi mereka sangat hebat!

Berbalik kepada kisah sang ikhwah, bagaimana boleh terbit rasa rindu? Apa yang diberitahu sangat menyentuh perasaan ana. “Kat sekolah agama macam dalam syurga, suasana soleh tu ada, tak perlu susah-susah jaga pandangan, tak perlu susah-susah untuk dapat tazkirah agama, tinggal nak hadam atau tak, tapi kebanyakan tak ambil kisah sebab dah jadi tradisi. Tu yang jadi macam-macam kes sampai imej agama tu sendiri tercalar. Tapi bila dah rasa hidup luar biah soleh, baru tahu cabaran hidup yang sebenar. Bila nak balik semula ke jalan tarbiyyah, rasa berat hati pula sebab kat sekolah dulu pun tak rasa macam terisi. Tak sangka pula ada tarbiyyah dari sudut yang lain. Rupanya dalam usrah ni pun ada roh.”

Berbeza pula dengan apa yang diceritakan mad’u ana, sebelum bersama dengan ana dalam halaqah. Apabila dakwah fardhiah sedang hangat berjalan, tanpa ana sengaja, ‘ter-dakwah’ la si akh ni. Pada suatu hari, ana bertanyakan tentang tarbiyyah akh ni (memandangkan butir bicara dan peribadinya kelihatan seperti orang yang pernah mengikuti tarbiyyah), lalu akh mengatakan bahawa dia pernah ikut usrah di UiTM tapi usrah cuma berlangsung selama dua minggu. Bila ditanya mengapa tarbiyyah terhenti? Dan jawabnya “entah, abang tu mesej sekali je”. Subhanallah! Wahai para daie, jangan main-main dengan tanggungjawab anda! Mereka butir permata Islam. Gilaplah dengan penuh kesungguhan! Bila ana tanya secara terperinci mengenai usrah yang diikuti, topik perbincangan, mutabaah amal, rukun usrah dan sebagainya, rasa tersentak pula hati memandangkan akh sendiri kecewa dengan usrah yang diikutinya. Tambah terkejut apabila mendengar kenyataan akh yang mengatakan bahawa lepas ni taknak ikut tarbiyyah lagi! Alhamdulillah sekarang duduk dalam tarbiyyah bersama ana. ’Muslim itu umpama bangunan yang saling menguatkan antara satu sama lain’.

Dan kisah terakhir dalam perkongsian, apabila duduk bersembang dengan ’geng rules breaker’. Rupa-rupanya kebanyakan daripada mereka telah pun hadam stratergi dalam dakwah (menunjukkan mereka telah pun arif tentang selok belok dakwah dan tarbiyyah), nak dapatkan kethiqahan daripada mereka pun dah cukup mencabar. Apabila diumpan dengan pelbagai umpan, barulah mereka sudi untuk kongsikan asbab kenapa mereka tidak lagi berada dalam naungan tarbiyyah. “Masa ikut usrah dulu, naqib banyak larang macam-macam. Nak gurau-gurau dengan perempuan pun kena cubit. Sampai ada sekali tu, naqib larang pegang jawatan dengan alasan komitmen dakwah lebih diperlukan. Sebab tu kitorang lari dari semua ni. Hardcore sangat!”


Dari hasil kerja keras bersama-sama beberapa orang ikhwah, Alhamdulillah dakwah kami makin berkembang dari hari ke hari hinggakan beberapa halangan yang dulunya terasa sangat sukar (semasa kedudukan dakwah dan tarbiyyah masih lagi lemah) tidak lagi dianggap sebagai halangan. Syukur ditempatkan di tengah-tengah lautan jahiliah di mana teori dakwah dan tarbiyyah dapat diaplikasikan secara praktikal. Takjub dengan para rijal yang bawa Islam itu sendiri dalam kehidupan seharian mereka.



Kembali kepada usrah, untuk mengelakkan akh-akh lari daripada tarbiyyah, perkara pertama yang perlu dititikberatkan adalah DAKWAH FARDIAH. Nampak mudah, tapi sebenarnya agak mencabar, banyak yang perlu diinfakkan semata-mata ingin memaut hati-hati yang berhajat pada tarbiyyah. Di sini kethiqahan bermula. Selepas akh sudah sedia untuk ditarbiyyah, mulakan dengan tarbiyyah yang ringan. Elakkan melarang apa-apa yang tidak kena dengan syariat (rokok, couple, mengumpat, mencarut, aurat, dan sebagainya) [InsyaAllah jika diberi kesempatan ana akan cuba ulas dalam entri seterusnya.] Hal ini kerana pada peringkat awal, hati mereka belum betul-betul sedia untuk menerima setiap apa yang disuruh. Mereka lebih suka mendengar secara ringkas dan umum. Oleh itu, rancanglah stratergi. Berilah tarbiyyah ringan kepada akh sebelum diserap masuk ke dalam halaqah. Apabila halaqah telah bermula, banyak perkara yang perlu diambil perhatian bagi seorang daie. Ingat, tanggungjawab anda untuk membimbing manusia menjadi insan soleh! Bukan suatu kerja yang mudah. Di peringkat ini, tarbawi yang dibawa perlulah berangkaian dan sistematik. Contohnya, segala apa yang terjadi pada mad’u perlu dilaporkan pada murabbi. Banyak kaedah yang perlu dicuba (try & error). Sekiranya tarbiyyah mad’u seperti lambat, ambillah beberapa ketika untuk bimbing mereka mengikut rentak yang sesuai. Biar lambat asal selamat

Konklusinya, usrah dan halaqah merupakan salah satu wasilah tarbiyyah yang penting dalam misi membina peribadi muslim. Sekali antum berada di jalan tarbiyyah dan dakwah, ketahuilah antum sedang memikul satu tanggungjawab yang sangat berat; iaitu membawa Islam. Lakukanlah dengan penuh kesungguhan. Tanamkan rasa ihsan yang tinggi dalam diri. Setelah beberapa ketika berada dalam landasan tarbiyyah beratap dakwah berpagar syariat. Banyak perubahan yang berlaku. Tak mustahil andai suatu hari nanti hajat nak jadikan Universiti Islam Teknologi Mara (UITM) jadi kenyataan. Hakikatnya, tak susah tapi bukan mudah untuk terjun dalam masyarakat mendidik dan mentarbiyyah mereka kerana mereka tetap berada dalam fitrah, Cuma tinggal nak cerahkan sahaja. Semoga setiap kerja dakwah dan tarbiyyah selari dengan fitrah, bukan menjadi fitnah. Wallahua’lam.


Thursday, August 4, 2011

Berdepan dengan ujian yang sangat menakutkan

Persiapan berbulan-bulan masih tak mampu menghadapinya

Allah~ give me strength! :(

at-Taghaabun 11

Tuesday, August 2, 2011

Alhamdulillah
Dakwah terus berkembang dan berkembang
Mabruk alaik!