Deep Tarbiyyah, and Expand

Saturday, December 31, 2011

Cerpen : Perjalanan Tarbiah Part 5

"Dah menjadi lumrah, bila seseorang itu pilih jalan tarbiah, akan ada halangan yang bakal menimpa. Antara ujian paling hebat yang menimpa akh-akh terbahagi kepada tiga perkara. Iaitu politik, nafsu, dan ibu bapa. Skopnya luas, tapi disebabkan anta hadapi salah satu daripada ketiga-tiga perkara ini, ana cuba kupas mengenainya. Kalau kita lihat sejarah Rasulullah, Mus'ab Umair misalnya, tarbiahnya terhalang oleh ibu bapa, dia diboikot oleh ibunya sendiri dek keIslaman Mus'ab, tapi perkara ni tak menjadikannya kufur kembali, malah ujian yang melanda telah memasakkan lagi iman jauh ke dalam hati. Dalam masa yang sama, menjadi tanggungjawab kita untuk memperkenalkan keindahan Islam itu sendiri terhadap keluarga kita. Jangan lupa doakan mereka. Lihatlah ujian ini dari sudut pandang yang positif. Sekurang-kurangnya kita tak perlu luah 'ayah ayah, ibu ibu' bila ada ujian dalam perjalanan tarbiah, tapi secara tak langsung kita akan luah 'Allah Allah' untuk mencari tempat pergantungan selain ikhwah. Contohnya kita tiada duit untuk travel jauh-jauh semata-mata nak pergi mukhayam misalnya, kita tak perlu menyusahkan ibu bapa untuk meminta-minta, tapi kita akan letakkan sepenuh pergantungan hanya pada Allah. Kalau antum ada borak-borak dengan mualaf, majoriti ibu bapa mereka akan menentang habis-habisan." Lantang Pak Rejab memberi pengisian.

"Bercakap pasal mualaf, ana ada cerita nak kongsi. Moga dapat mengambil iktibar." Ujar Abu Ubaidah.

"Begini, ana ada seorang sahabat yang sama-sama berniaga dengan ana. Namanya Faiq, dulu dia seorang cina yang sangat membenci Islam. Akhlaknya begitu teruk. Hatta dalam keluarganya sendiri. Sampailah suatu hari, ketika dalam keadaan mabuk, dia terdengar suara qariah sedang mengaji di surau. Hatinya sayu, dan akhirnya dia belajar tentang Islam. Dia pernah tanya pada ana, kenapa Islam dalam buku dengan Islam luar buku tak sama? Maksudnya, dalam buku, Islam menggambarkan tentang akhlak-akhlak soleh, berbudi bahasa, hormat orang tua dan sebagainya, tapi aplikasi dalam masyarakat kat Malaysia tak ada. Hakikatnya masyarakat kita hari ni tak amalkan Islam sebagai sistem hidup. Itulah silapnya sistem pendidikan sekarang, memberi tekanan pada pelajar hanya untuk dapat markah cemerlang dalam kertas. Tidak pada realiti semasa. Akhirnya Faiq memeluk agama Islam. Tapi dia tak dapat terima sesetengah perkara di mana masyarakat tak nak amalkan Islam, sedangkan dia sebagai seorang mualaf mengamalkan Islam sepenuh hati.  Katanya, dalam konteks negara kita, susah untuk Islam bangkit sekiranya golongan mualaf yang hanya beberapa peratus sahaja mengamalkan Islam, perlu adanya satu kuasa majoriti yang mengamalkan Islam dalam hidup mereka. Barulah ramai yang tertarik dengan Islam. Hakikatnya, ramai je sebenarnya orang bukan Islam tertarik dengan Islam, tapi mereka tak berani disebabkan keruntuhan akhlak orang Islam itu sendiri. Jadi, Faiq mulakan dengan dirinya dahulu, dia belajar mengamalkan syariat Islam, hormat pada orang tua dan sebagainya. Akhirnya ibu bapa Faiq boleh terima Faiq menganut agama Islam. Mungkin disebabkan perubahan akhlak yang menjadi lebih positif." Panjang lebar Abu Ubaidah berceloteh. Ahmad rasa terharu.

"Betul apa yang sahabat anta tu cakap, moga dia terus thabat bersama Islam. Golongan mualaf seperti Faiq banyak manfaatnya untuk Islam. Contohnya, Faiq yang berbangsa Cina, lebih faham kerenah masyarakat Cina, dia tahu yang ramai orang cina tertarik dengan Islam tapi takut, jadi, dengan pengIslaman Faiq, dia boleh tunjukkan contoh pada masyarakat Cina. Hakikatnya kita lebih mengenal perangai kaum kita, buktinya Allah dah tunjuk dalam al-Quran, kalau antum perasan, Allah banyak kali gunakan frasa 'kaum', misalnya surah ke ar-Rad ayat ke 11, 'Aku tidak mengubah nasib sesuatu KAUM'. Atau dalam surah al-Hujurat ayat ke 13, 'Aku ciptakan berBANGSA-BANGSA'. Jadi, tugas kita sebagai masyarakat Melayu Muslim yang lebih faham hal-hal orang Melayu, bolehlah mengaplikasikan Islam itu sendiri dengan menyasarkan mereka sebagai target dakwah kita. Orang Melayu lebih mengerti adat istiadat perkahwinan, takkan nak harapkan orang India untuk ubah penyelewengan dalam budaya masyarakat Melayu. Jadi, Ahmad, anta lebih kenal ibu bapa anta, sedangkan Faiq mampu tunjukkan teladan pada ibu bapanya, takkan anta tak boleh?" Pak Rejab memberi galakan.

"Pak Rejab, tidakkah dianggap asabiah? Bukankah Islam itu universal?" Adam masih tidak faham.

"Ya Islam itu meliputi segenap pelusuk kaum dan masyarakat. Islam bersifat 'alamiah. Asabiah bukanlah perkara yang buruk. Ianya salah satu cabang fitrah. Sama seperti marah. Marah bukanlah sesuatu yang buruk. Marah kerana nampak maksiat berleluasa itu perlu. Sama seperti asabiah, untuk naikkan Islam, kena ada semangat asabiah sesama Muslim. Dalam konteks nak naikkan bangsa Melayu kat Malaysia, yang majoritinya Islam, jadi asabiah itu perlu. Tak bererti ia perlu selama-lamanya, bila semua orang Melayu dah hebat pentarbiahannya, tibalah masa untuk bersama-sama dengan bangsa Cina Muslim dan bangsa India Muslim untuk jadi bangsa Muslim yang kuat di Malaysia. Lihat sahaja gerakan masyarakat Cina dan masyarakat India dalam mentarbiah kaum mereka sendiri. Takkan masyarakat Melayu nak tengok sahaja?" Ujar Pak Rejab memberi pencerahan.

Ahmad, Abu Ubaidah, Khalid dan Adam mengangguk faham.

"Pak Rejab, ana pun ada sesuatu nak luahkan. Sebenarnya ibu ana dah bising suruh cari calon. Kalau ana tak ada calon yang sesuai selari dengan matlamat tarbiah dan dakwah, ibu ana jodohkan dengan orang pilihannya. Ana tak berapa nak yakin. Macam mana ni Pak Rejab? Ana kebuntuan. Boleh tak Pak Rejab carikan calon untuk ana?" Luah Abu Ubaidah. Wajahnya merona merah. Malu. Ikhwah-ikhwah menyimpul senyum melihat kerenah Abu Ubaidah. Pak Rejab tertawa.

Bersambung...

Friday, December 30, 2011

Cerpen : Perjalanan Tarbiah Part 4

Adam menarik nafas lega. Dia kini memerlukan kekuatan mujahadah. Bantuan ikhwah sangat diperlukan. Pak Rejab lebih giat berhubung dengan Adam. 

"Anta mampu ke lakukannya? Ana tak paksa, dalam masa yang sama ana tak galakkan. Tapi kalau dah itu keputusan anta, InsyaAllah kami semua sedia bantu anta." Butir bicara Pak Rejab terngiang-ngiang. Air mata jernih mula mengalir. 

"Baiknya ikhwah..." Keluh Adam.

Dia benar-benar menyesal atas perbuatannya dulu. Adam ingin menebus kembali apa yang telah dilakukannya bersama Zainab dulu dengan mengislah dirinya sebaik mungkin seterusnya menyuruh Pak Rejab mencarikan calon yang lebih baik, selari dengan matlamat dakwah yang dibawanya.

Kini lebih sebulan dia tidak lagi berhubung dengan Zainab. Imannya kini cukup sensitif bila dikaitkan dengan Zainab. Ahmad, Abu Ubaidah, dan Khalid selalu menghabiskan masa bersama-sama dengannya. Walaupun terpaksa merentas beratus kilometer untuk berjumpa Adam. Kerana ukhwah yang terpacak jauh ke dasar hati. Mereka sanggup melakukan apa sahaja. Pak Rejab juga turut bersama merancakkan lagi program-program kemantapan fikrah buat mereka.

"Assalammualaikum, Zainab, abang rasa kita tak boleh bersama lagi." Adam menarik nafas panjang. Air matanya bergenang.

Terbeliak mata Zainab selepas mendengar apa yang diperkata Adam. Bagai tidak percaya Adam hendak memutuskan hubungan. Angin tiada, ribut pun tiada.

"Zainab harus tahu, apa yang kita buat selama ni satu perkara yang dosa. Abang taknak lagi terlibat dengan perbuatan dosa. Abang nak sucikan diri. Abang harap ini akan jadi titik permulaan bagi Zainab untuk terus bersihkan diri dari dosa. Abang minta maaf sebab tak hormat Zainab selama ni."

Terdiam Zainab. Hatinya tidak boleh terima. 

"Abang! Jangan tipu baby, baby tau abang pasang perempuan simpanan. Abang tak guna!" Bentak Zainab.
"Demi Allah. Abang tak pernah pasang perempuan simpanan. Yang abang menghilang setiap minggu tu sebab abang ada usrah dengan kawan-kawan abang. Abang dalami ilmu agama. Abang nak jadi seorang Muslim yang penuh dengan agenda. Abang tak nak jadi pengecut. Abang nak sumbang sesuatu untuk Islam. Tapi bila abang dengan Zainab, segala-galanya terhalang. Abang minta maaf. Assalammualaikum." Adam mematikan talian. Tidak lagi sanggup. Dia tahu Zainab masih tak sedia. 

Zainab terkebil-kebil. Usrah tu apa? "Ah, lantak kau lah Adam. Macam aku tak boleh cari baru!"

Kini Adam mampu berdiri dengan sendiri. Digandakannya ibadah-ibadah khusus. Malam-malamnya diiringi taubat penyesalan. Ahmad, Abu Ubaidah, Khalid, dan Pak Rejab sangat gembira dengan perubahan Adam. Mereka begitu terharu dengan kesungguhan mujahadah Adam. Walaupun sesekali Adam teringatkan Zainab, dicuba tepisnya sejauh mungkin. Hatinya kini basah dengan zikrullah. Dia tak rela dirinya dihurung jahiliah seperti sebelumnya.

"Alhamdulillah, di sini ana nak kongsikan rasa gembira ana buat ikhwah kesayangan kita, Adam yang telah berjaya menyingkirkan satu bahagian jahiliah dalam hidupnya. Ana harap dapat menjadi pengajaran buat ikhwah yang lain. Masih banyak lagi jahiliah yang kena kita singkirkan. Contohnya rasa riak, ujub, takabur. Jangan ingat bila kita ikut usrah, ikut tarbiah, kita lagi mulia dari orang lain. Kita lebih berilmu dari orang lain. Kita confirm masuk syurga, orang lain confrim masuk neraka. Kat sini ana nak kongsikan satu kisah di mana terdapat seorang ahli ibadah dan ahli maksiat. Oleh kerana hebatnya ahli ibadah ni, bila dia keluar sahaja dari rumah, awan berkumpul di atas kepalanya. Suatu hari dia melalui satu kawasan, ahli maksiat juga melalui kawasan yang sama. Ditakdirkan mereka bertembung. Masing-masing memalingkan muka. Ahli maksiat berkata dalam hatinya, "Aku terlalu sempurna untuk berhadapan dengan ahli maksiat ini." Sebab itulah dia memalingkan wajahnya. Terdetik pula dalam hati ahli maksiat, "Aku terlalu kotor untuk berhadapan dengan ahli ibadah ni" si pelaku maksiat rasa rendah diri dan rasa dirinya tak layak untuk berhadapan dengan orang soleh. Oleh kerana sifat riak dalam diri ahli maksiat, amalannya tidak diterima. Awan yang memayungi ahli ibadah bertukar memayungi ahli maksiat. Lihatlah wahai ikhwah. Banyak lagi karat-karat jahiliah yang perlu kita kikis bersama. Jangan cepat mengalah, bangunlah, berjuanglah." 

Ahmad memerhatikan Pak Rejab. Tiba-tiba air matanya jatuh berderai. Pak Rejab perasan apa yang terjadi pada Ahmad. 

"Pak Rejab, ana teringin sekali nak berjuang di medan tarbiah dan dakwah. Tapi ana dapat tentangan hebat dari ibu bapa ana. Sampai kadang-kadang tu kebebasan ana disekat. Mereka tak bagi ana pergi program-program tarbiah, hatta pergi jemaah kat surau pun mereka tak bagi. Ana datang usrah ni pun secara sembunyi-sembunyi. Apa yang harus ana lakukan?" Luah Ahmad. Dia benar-benar berharap dapat solusi dari apa yang dihadapinya.

Adam, Abu Ubaidah dan Khalid berpandangan sesama sendiri. Hati mereka sayu dengan luahan Ahmad. Pak Rejab hanya diam buat seketika.

Bersambung...

Thursday, December 29, 2011

Cerpen : Perjalanan Tarbiah Part 3

"Sabar Khalid, jangan terburu-buru mengikut nafsu amarah anta. Ada cara kalau nak tegur, bukan dengan memalukan dia. Bayangkan kalau anta marah Adam depan perempuan tu. Mesti jatuh air muka dia. Akhirnya ukhwah dengan anta pun musnah. Dia tak nak lagi datang usrah. Kan dah rugi sebutir permata Islam." Pak Rejab menasihati Khalid. Sekaligus menariknya ke alam nyata.

Khalid tersentak. 

"Tapi apa yang dia buat tu melampau Pak Rejab. Ana tak boleh terima! Dia tipu kita semua. Cakap nak pergi jumpa kawan, tapi sibuk berdating, berpeluk sakan pula tu." Bentak Khalid. Tak puas hati.

"Bencilah perbuatan dia, jangan benci dia. Betullah dia jumpa kawan dia, betullah dia tunaikan hak dia dengan kekasih dia. Cuma caranya tak syarie." Balas Pak Rejab.

Diam.

Khalid akur dengan teguran Pak Rejab.

"Khalid, dengar sini, tarbiah antum masih baru lagi, begitu juga Adam. Sekarang ana tengah cuba pasakkan iman yang kukuh dalam hati antum semua. Alhamdulillah, tarbiah buat anta, anta dah mula sensitif bila tengok maksiat depan mata, itu tandanya iman anta dah semakin teguh. Mungkin Adam tengah hadapi ujian hati melalui seorang perempuan. Kita kena bantu Adam, bukan hukum dia secara membabi buta." Luah Pak Rejab.

Khalid tertunduk. Dia malu dengan diri sendiri yang terlalu mengikut nafsu amarah. Ahmad dan Abu Ubaidah mendapatkan Khalid. Khalid dipeluk.

"Alhamdulillah, banyak pengalaman tarbiah yang kita dapat hari ni." Ujar Ahmad. Mereka pun bersiap-siap untuk balik ke tempat masing-masing.

"Jangan lupa usrah kita minggu hadapan, seperti biasa." Pesan Pak Rejab. Mereka berpelukan sebelum pulang.

Pada minggu hadapannya mereka semua berkumpul berukhwah di surau R&R Ayer Keroh. Adam kelihatan ceria bertemu ikhwah-ikhwah. Baru seminggu tak jumpa, namun rindunya meluap-luap. Khalid sedikit masam apabila bertemu Adam. Hatinya masih memberontak. Abu Ubaidah yang perasan perubahan sikap Khalid terus mengusap peha Khalid.

"Assalammualaikum ikhwah-ikhwahku, Alhamdulillah Allah izinkan untuk kita berkumpul pada hari ini untuk sama-sama berukhwah mendapatkan butir-butir tarbiah sebagai bekalan menjadi seorang daie. Ikhwahku, dalam hidup, Allah dah tetapkan awal-awal lagi bahawa kita hidup secara fitrah. Kita makan bila lapar, kita tidur bila mengantuk, dan sebagainya. Namun, janganlah jadikan fitrah itu sebagai fitnah. Iaitu tak mengikutnya secara syarie, contohnya kita makan makanan yang merosakkan tubuh badan, kita tidur secara berlebih-lebihan, dan macam-macam lagi. Untuk tahu sesuatu tu fitrah ke tak, kita lihat, apa yang terdetik di hati sebelum melakukan sesuatu perkara. Contohnya, Ahmad, kalau anta dengar azan berkumandang, apa yang terdetik di hati anta?" Soal Pak Rejab.

"Bila je terdengar azan, apa yang terdetik di hati ana adalah nak pergi masjid." Ujar Ahmad.

"Alhamdulillah, nampak tak? Fitrah kita sentiasa nak buat kebaikan, jadi, bila dah terdetik nak buat perkara baik. Jangan tangguh. Sebab bila kita tangguh, hati kita semakin lari dari fitrah, bila dah lama-lama, akhirnya hati jadi gelap. Bila dengar je azan, tak rasa apa-apa. Kan bahaya tu." Penuh semangat Pak Rejab memberi penjelasan.

"Pak Rejab, ana ada soalan. Salah satu fitrah  tu rasa suka pada seseorang. Bila dah terdetik untuk rasa suka kat seseorang tu, apa yang perlu kita lakukan?" Soal Abu Ubaidah. Wajahnya serius.

"Rasa suka pada seseorang tu fitrah, jadi salurkan rasa fitrah itu pada tempatnya. Hormat wali perempuan itu. Kalau betul suka, masuk meminang. Gunakan orang tengah, atau terus je jumpa ayah perempuan itu. Cara itu lebih mulia. Jangan bertindak menyongsang fitrah dengan cara yang tak syarie sebagai contoh, bercinta sebelum nikah. Ingat! Sehebat mana pun antum dalam tarbiah dan dakwah, tetap akan tewas dengan perempuan. Jadi berhati-hatilah dalam perjalanan antum." Khalid menjeling Adam. Adam rasa terpukul. Imannya mula memberontak.

'Aku takut disebabkan Zainab, hati aku gelap untuk terima sentuhan tarbiah Pak Rejab. Sia-sia je lah datang usrah. Astragfirullah!' Keluh Adam dalam hati. 

"Pak Rejab, macam mana kalau seseorang yang ikut tarbiah, tapi dalam masa yang sama dia juga bercinta. Dia cuba untuk tidak bercinta, tapi masih tak mampu. Apa yang perlu dia lakukan?" Adam mula bersuara bertanya pendapat.

"Dia kena rawat perlahan-lahan. Jangan terburu-buru. Kalau dulu dia suka berpeluk-pelukan dengan pasangannya, cubalah dulu dengan tinggalkan bersentuh-sentuhan yang bukan mahram, bila dah selari, upgrade mujahadah dengan tidak lagi berjumpa, seterusnya dengan tidak kerap berhubung, dan akhirnya langsung putuskan hubungan. Atau dia boleh terus berkahwin sekiranya cukup syarat. Tapi ingatlah, perkahwinan pun tak boleh buat mainan. Kita umat beragenda. Kita ada matlamat, nak bina baitul Muslim. Jadi pasangannya pun perlulah juga dari kalangan orang yang ditarbiah. Supaya dakwah kita pada masyarakat tak terganggu. Sekiranya kita pilih orang yang tidak turut serta dalam jalan tarbiah, kemungkinan dakwah kita terhalang sebab nak kena dakwah isteri lagi." Panjang lebar Pak Rejab memberi penjelasan. Dia tahu, iman dalam diri Adam dah semakin hidup.

Adam benar-benar rasa terpukul. Sepanjang perjalanan balik, fikiran Adam bercelaru.

"Aku mesti pilih antara dua, Zainab atau tarbiah. For Allah sake, aku pilih tarbiah."

Adam mencapai telefon bimbit, satu nama dicari. Bismillahirahmanirahim.

"Assalammualaikum."

Bersambung...

Ikhwah Bukan Malaikat, Akhwat Bukan Bidadari

Cuba anda bayangkan, sahabat anda yang dulunya kuat mengumpat, suka pukul orang, suka buli orang, dalam masa beberapa tahun anda mendapati dia sedang menyampaikan ta'lim di sebuah surau. Lebih mengujakan, dia kini membawa beberapa buah usrah dan aktif menjalankan dakwah fardhiah. Rantai di leher dan cincin tengkorak yang dulunya melekat di tubuh sahabat anda, kini tiada lagi. Rambut style punk dan cornrose yang menjadi pilihan sahabat anda kini tiada lagi. Berganti kopiah. Rambut ikal yang digayakan dengan redlock dulunya kini tiada lagi, tudung labuh dan jubah sebagai ganti.

Soalan saya, apakah persepsi anda terhadapnya?

"Alhamdulillah, dia dah berubah."
"Ah, aku kenal sangat dia tu. Hipokrit."
"Yela dah berubah, kau tengok, kejap je tu."
"Pergh! 360 darjah!"
"Betul ke ni kawan aku yang aku kenal dulu?"

Dan pelbagai lagi sandaran yang anda sandarkan kepadanya. Teruja. Terkejut. Waspada. Ragu-ragu. Bla bla bla.

Jika anda sendiri berada DI JALAN TARBIAH YANG DIDIDIK DENGAN DIDIKAN TARBIAH. Saya pasti, inteprestasi anda juga bersifat positif. Namun,,, bagaimana pula sekiranya anda melihat sahabat anda itu tiba-tiba berkepit dengan pasangan, ditangkap bergaduh, dan lain-lain kesalahan. 

Soalan seterusnya, apakah persepsi anda terhadapnya?

"Jangan benci dia, benci perbuatan dia."
"Aku dah cakap dah! Dia hipokrit!"
"Ah, guna alasan agama untuk buat kerja jahat"
"Arghhh aku tak boleh terima!"

Di sini kesalahan berlaku. Apa yang saya nak sampaikan di sini, jangan letakkan nilaian yang tinggi atau high expectation terhadap mereka yang berada di jalan tarbiah. Mereka juga manusia biasa. Seperti anda, anda dan anda.

Mungkin ya, dulu mereka bergelumang dengan maksiat, bila tiba turning point, mereka berubah. Dan anda yang menjadi saksi perubahan mereka terus menganggap mereka sempurna. Tak boleh lagi melakukan dosa. Sekiranya mereka melakukan dosa, maka hilanglah thiqah anda terhadapnya.

Sebagai contoh, seorang yang dulunya 'open' berbual dengan semua orang, tiba-tiba jalan yang ditakdirkan untuk dilaluinya adalah jalan tarbiah. Daripada 'open' terus menjaga pergaulan. Anda yang menjadi saksi pula menyifatkan bahawa, lepas dia ikut usrah, SAY BIG NO TO IKHTILAT. 

Anda yang mendapat didikan tarbiah seharusnya lebih faham perjalanan tarbiah itu sendiri.

Saya percaya, secara fitrahnya, sesuatu perubahan tak boleh berlaku dalam sekelip mata. Hakikatnya bayi mengambil masa bertahun-tahun sebelum menjadi budak, belia, dewasa, dan tua. Tak ada bayi yang lahir terus boleh cari kerja dalam sekelip mata. 

Kat sini saya mengambil kesempatan untuk MERAYU, janganlah hukum seseorang itu pada nilaian mata anda semata. Antum orang yang ditarbiah kot!

Dalam konteks ikhtilat, mungkin orang itu sedang berusaha dalam menjaga pergaulan sedangkan di zaman jahiliahnya dia tidak menjaga pergaulan. Semudah petik suis kah ianya boleh berlaku? 

Tak terkecuali juga dalam bab couple, nampak sahaja rakan seusrah dengan anda dating, terus nak putus ukhwah la bagai. Pilih antara dua, ikhwah atau girlfriend? Dan dalam masa yang sama, orang yang couple tu masih belum utuh iman dalam hati dia.

Jadi, tak hairanlah saya melihat ramai yang berpaling tadah dari mengikuti jalan tarbiah dan dakwah. Pernah anda fikirkan tekanan perasaan yang bakal dihadapinya? Tak hairan juga bilamana ramai ikhwah akhwat yang terjebak dengan 'CINTA IKHWAH AKHWAT' 'MUSANG BERJANGGUT' 'TAQLID BUTA' dan sebagainya. Puncanya tarbiah itu sendiri tak difahami. Rasa sempurna.

Sempurna dalam erti kata,

"Kita ikut tarbiah, kita kena pakai tudung labuh."
"Kita ikut tarbiah, NO MORE PES, COUNTER STRIKE, NEED FOR SPEED, DOTA"
"Kita ikut tarbiah, NO MORE GSC, TGV, MBO"
"Kita ikut tarbiah, kau kena clash!"


Baik! Petik jari, semua lenyap!

Maka berlakulah tekanan jiwa yang melampau dalam diri setiap ikhwah akhwat! Masakan tidak, iman masih dalam fasa 'berputik'. Sudah pantang macam-macam.

"Sekarang kita dah ikut tarbiah, kita dah tak boleh guna KAU-AKU, kena tukar ANA-ANTA"

Penggunaan kalimah ANA-ANTA/ANTI menandakan kita ikhwah/akhwatkah? Apa beza dengan AKU-KAU  atau SAYA-AWAK?

Duhai ikhwah, duhai akhwat, di mana letaknya kemuliaan antum sebagai orang yang ditarbiah? Di mata manusia? Lebih-lebih lagi mata manusia yang turut ditarbiah? Luaskan skop pemikiran. Saya terbitkan entri ni bukanlah bertujuan nak tembak sesiapa. "Bukan perkara yang bijak kalau nak luah dalam blog". Sekurang-kurangnya mereka yang baca insyaAllah terbuka sikit minda, lebih-lebih lagi bagi mereka-mereka yang baru sahaja menginjak kaki di alam tarbiah. Supaya lebih bersedia menerima perspektif yang berbeza.

Ketahuilah, perubahan itu memakan masa. Bukanlah saya menghalalkan perkara-perkara yang disebutkan tadi, tapi biarlah bertahap. Bincanglah dengan murabbi/ah antum sejarah pengharaman arak. Allah tahu fitrah kita. Nak berubah jadi 'ikhwah/akhwat' pun memakan masa. Tak boleh sekelip mata. Mungkin ya, anda boleh mengatakan "aku rilek je berubah", saya juga berani berkata, yang anda cukup hebat untuk bertahan segala tekanan dalam perubahan. (pssssttt, jangan sampai tengok movie, couple, mengumpat senyap-senyap dah la ye!)

Ada pepatah arab yang berbunyi, "Syabas buat orang yang melakukan maksiat dengan diri sendiri berbanding orang yang melakukan maksiat dengan orang lain" Nampak tak tahap perubahan si fulan itu? 

Akhir kata, pandanglah dengan pandangan tarbiah. Jangan cepat menghukum orang. Utamakan bersangka baik. 

Biarpun sang ikhwah sibuk bercinta, sekurang-kurangnya dia komitmen datang usrah.  

Wednesday, December 28, 2011

Cerpen : Perjalanan Tarbiah Part 2

Buat pertama kalinya Ahmad, Abu Ubaidah dan Khalid melihat Pak Rejab tidak mengenakan uniform unit kebersihan. Selama ini usrah mereka berlangsung selepas Pak Rejab selesai menjalankan tugasnya sebagai tukang cuci. 

"Pak Rejab macam orang muda lah dengan pakaian riadah macam ni!" Usik Abu Ubaidah ketika membantu Pak Rejab dan Ahmad memasang peralatan memasak di pantai Port Dickson. Sementara Khalid sedang mengambil ayam-ayam yang telah diperam di kereta. Setelah seminggu merancang, akhirnya rehlah di pantai Port Dickson berjaya diadakan. Masing-masing bersemangat.

"Biar veteran pada zahirnya tapi jiwa tetap muda remaja" Balas Pak Rejab. Ketawa pecah. 

Dalam perjalanan balik dari usrah bersama Pak Rejab dan ikhwah yang lain, Adam ligat memikirkan cara memenangi kembali hati Zainab yang merajuk terhadapnya. Adam teringat ajakan Pak Rejab untuk berkelah.

'Apa kata aku ajak Zainab berkelah.' Detik Adam. 

"Baby! Abang minta maaf sangat-sangat, baby sorang je la buah hati abang. Macam ni, abang dah rancang nak ajak baby pergi picnic hujung minggu depan. Kita pergi pantai nak?"

Mesej dihantar.

"Baby tau abang sayang baby sorang je, sebab tu baby setia pada abang. Wah! Seronoknya pergi pantai. Tapi janji tau! Sayang abang sangat-sangat. Muah muah muuuuuuuaaaaaaaaaaaahhhhh!"

"Kita bakar dulu ayam ni, lepas tu ana bagi taujih sikit. Ok?"

"OK!"

Abu Ubaidah ligat mengipas bara di atas pemanggang. Ayam bakar hampir siap. Khalid sudah pun menyusun pinggan dan gelas. Pak Rejab membersihkan sekitar kawasan perkelahan mereka. Sakit mata memandang sampah-sampah yang berselerak tidak dikutip. Ahmad pula sedang duduk di tikar membaca al-Quran.

Selepas makanan terhidang, Pak Rejab memulakan pengisiannya.

"Assalammualaikum, Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang telah pilih kita semua untuk berukhwah pada hari ini. Walaupun kekurangan seorang ahli usrah kita, tapi tak apa, kita doakan dia dapat melebarkan sayap dakwahnya terhadap rakan-rakannya. Baiklah, hari ini ana nak kongsikan pada antum kisah tentang salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Talhah bin Ubaidillah. Nama gelaran yang diberi oleh Rasulullah kepada Talhah ialah 'Syahid yang berjalan'. Hal ini kerana Talhah yang habis-habisan melindungi Rasulullah di medan Uhud. Hingga ada yang mengatakan dia ditetak berpuluh-puluh kali. Itulah serba ringkas kisah Talhah bin Ubaidillah. Apa yang ana nak sampaikan di sini, kita sebagai seorang daie, haruslah ambil iktibar dari kisah para sahabat. Merekalah wira-wira kita. Hayati dan cuba amalkan peribadi mereka. Dalam konteks peribadi Talhah bin Ubaidillah, sebagaimana beliau mempertahankan Rasulullah habis-habisan, kita juga perlulah pertahankan aqidah kita habis-habisan. Jikalau kita lihat dunia kita hari ini, banyak ideologi-ideologi barat yang menyerang jati diri kita sebagai seorang Islam. Pelbagai gerakan-gerakan yang nak pesongkan aqidah umat Islam. Sebagai contoh, gerakan kristianisasi, seksualiti bebas, gerakan freemanson, liberalisme, dan sebagainya. Ibaratkan diri kita umpama Talhah bin Ubaidillah yang bermati-matian melindungi kekasihnya Rasulullah SAW. Kita kenalah bermati-matian melindungi iman dan aqidah kita supaya hidup kita penuh dengan jati diri Islam." Pak Rejab cukup menjiwai kata-katanya itu. Ikhwah-ikhwah serius memberi perhatian. Sesekali pen berlari di dada kertas. Mencatat bait mutiara dari Pak Rejab.

"Ana ada satu soalan, Pak Rejab nampak sangat berilmu, tapi kenapa tak jadi pensyarah, kenapa jadi tukang cuci?" Soal Ahmad. Pak Rejab tersenyum mendengar soalan Ahmad. Abu Ubaidah mencuit peha Ahmad. Abu Ubaidah tak selesa mendengar soalan Ahmad yang nampak seperti memperkecilkan pekerjaan Pak Rejab. Pak Rejam tergelak melihat telatah Abu Ubaidah.

"Ana bekerja sebagai pensyarah la ni. Pensyarah kehidupan. Ana belajar macam-macam perkara bila buat kerja ni. Dan dalam masa yang sama, ana mengajar semua orang tentang kebersihan. Pelajar ana terdiri daripada pengunjung-pengunjung R&R." Jawab Pak Rejab.

Ahmad mengangguk faham. Hormatnya terhadap Pak Rejab makin tinggi.

Pantai Port Dickson kelihatan nyaman sekali. Awan redup. Ombak tenang. Memancarkan suasana yang menenangkan. Zainab begitu gembira berada di sisi Adam. Mereka berjalan di gigi air. Zainab dan Adam berjalan berdua sambil berpegangan tangan. 

"Kitalah pasangan paling romantik! kan abang Adam?" Ujar Zainab. 

Adam hanya tersenyum. Bahagia.

Khalid yang sedang membuang pandangan ke arah pantai tiba-tiba ternampak Adam dan Zainab.

"Adam!" Khalid kaget. Darah mudanya mendidih melihat Adam berpegangan tangan dengan seorang perempuan. Pak Rejab, Ahmad dan Abu Ubaidah tersentak. Pandangan mata mereka tepat ke arah Adam yang sedang bergurau senda dengan Zainab. Adam tak perasan kehadiran mereka.

Khalid bangun ingin mendapatkan Adam. 
"Munafik! Hipokrit! Tak guna pergi usrah kalau perangai macam ni!" Khalid tak dapat mengawal amarahnya. Namun langkahnya terhenti. Pak Rejab lebih tangkas menyambar tangannya. Dia tahu apa yang bakal terjadi sekiranya membiarkan Khalid mengikut amarahnya.

Bersambung...

Tuesday, December 27, 2011

Cerpen : Perjalanan Tarbiah Part 1

Adam mundar mandir di dalam bilik tidurnya. Kejap ke hulu, kejap ke hilir. Mesej yang baru diterimanya benar-benar membuatkan Adam tersepit. Adam telah pun bersiap-siap untuk keluar bertemu Zainab. Namun langkahnya terhenti dengan kehadiran mesej itu.

"Assalammualaikum ikhwah-ikhwahku yang amat ana rindui, InsyaAllah usrah kita berjalan seperti biasa hari ni di tempat yang sama."

Kepala yang tidak gatal digaru, macam mana ni. Keluh Adam. Dia telah pun berjanji untuk menemani Zainab membeli belah di ibu kota. Akhirnya Adam membuat keputusan. Honda Accord hitam miliknya dihidupkan. Adam memecut ke jalan utama dan terus mencari arah ke lebuh raya. Dari bandar Nilai, Adam menempuh perjalanan selama dua jam ke destinasi pilihan. R&R Ayer Keroh.

Sejak dari pagi Zainab telahpun bersiap untuk keluar dengan Adam, dia mendandan rambutnya yang ikal mayang untuk ditunjukkan kepada Adam. Si buah hati. Zainab mengenakan pakaian yang agak seksi. Dia tahu, tubuhnya yang sempurna mampu mencairkan mana-mana lelaki. Zainab bangga bila tubuhnya menjadi tarikan.

"Isy, mana abang Adam ni?!" Ngomel Zainab bila Adam tetap tak muncul menjemputnya di rumah.

"Abang! Abang kat mana? Penat baby tunggu abang. Cepat la datang. Hari ni banyak sale, kalau lambat tak dapat borong banyak!"

"Minta maaf baby, abang ada urusan keluarga, abang tengah berkejar ke Ayer Keroh sekarang ni. Abang janji, lain kali kita keluar sama-sama k"

"Abangggggggggg! Kenapa dengan family abang sebenarnya? Tiap minggu ada urusan family, entah-entah abang ada perempuan simpanan!"

Adam tak membalas mesej Zainab. Dia dihimpit rasa bersalah. Antara sayangkan Zainab atau sayangkan ikhwah. Dia lebih cenderung untuk bersama ikhwah, sekurang-kurangnya ikhwah tak banyak songeh. Tapi dalam masa yang sama, dia tak mampu melepaskan Zainab. Sayangnya pada Zainab tetap ada. Adam nekad, minggu berikutnya, Adam ingin meluangkan masa bersama Zainab. Rindunya pada Zainab tak tertanggung, Biarlah tak pergi usrah sekali.

Adam memarkirkan keretanya di R&R Ayer Keroh. Lantas Adam mencari air minuman untuk melegakan tekak. Adam melihat sekeliling. Mencari kelibat seseorang. Akhirnya Adam bangun dan terus menuju ke surau. Wajah Adam berubah ceria sebaik sahaja masuk ke dalam surau. Ahmad, Abu Ubaidah, dan Khalid sudah sedia menanti. Mereka bangun mendapatkan Adam. Rindu untuk bersama ikhwah terubat.

"Mana Pak Rejab?" Soal Adam. 

"Pak Rejab bagitahu dia lewat sikit, nak uruskan bangkai kucing yang dilanggar oleh salah sorang pemandu tadi." Tutur Ahmad.

Tak lama kemudian, tibalah seorang lelaki separuh abad masuk ke dalam surau. Wajahnya penuh kedut, dikibas-kibaskan topi ke wajahnya. Dia kelihatan penat. Pak Rejab memberikan senyuman manis kepada anak-anak usrahnya. Pak Rejab merupakan seorang tukang cuci di R&R Ayer Keroh. Ahmad, Abu Ubaidah, Khalid dan Adam merupakan insan-insan terpilih yang berjaya didakwah fardhiah oleh Pak Rejab ketika bertugas di R&R Ayer Keroh. Merekalah agen-agen dakwah Pak Rejab. Penyambung warisan dakwah. Pak Rejab amat sayang kepada mereka. Merekalah saham akhirat Pak Rejab.

"Ikhwah-ikhwahku, antum buat tak mutabaah amal? Laksanakan tak tarbiah antum? Ana tanya bukan suka-suka, malah Rasulullah juga dulu tanya para sahabat. Ada ziarah orang tak? Ada buat qiamulail tak? Dan sebagainya." Ujar Pak Rejab.

"Alhamdulillah."

"Dah lama rasanya kita berusrah, ana nak antum tahu, tarbiah bukan takat datang usrah. Tarbiah tu maksudnya pembelajaran daripada pengalaman yang mendidik. Sebagai contoh, perjalanan jauh antum untuk berusrah di sini, terdapat pengalaman yang mendidik. Itulah tarbiah. Untuk dapatkan pengalaman mendidik tu, kita kenalah rancang. InsyaAllah minggu depan ana cuti, apa kata kita buat rehlah ataupun berkelah?"

Wajah menjadi ceria. Adam tunduk membisu.

"Pak Rejab, ana minta maaf, minggu depan seminggu ana full, dah rancang untuk keluar dengan kawan. Maaf, ana tak dapat ikut sekali." Luah Adam.

Diam.

Pak Rejab menarik nafas.

"Baiklah, semoga anta tunaikan hak anta sebagai kawan. Bagi yang lain, nanti ana bagitahu tempat yang sesuai untuk kita adakan rehlah."

Selama dua jam setengah mereka bersama berbincang pelbagai topik dalam usrah. Kini Adam dalam perjalanan balik ke Nilai. Ahmad ke Umbai, Abu Ubaidah ke Segamat, dan Khalid ke Segambut. Dari pelbagai destinasi mereka berkumpul setiap minggu. Berukhwah bersama. Pak Rejab berharap agar dakwah Islami mampu tersebar lebih meluas suatu hari nanti. Pak Rejab berazam untuk membina batu-bata Islam dalam diri mutarabbinya agar menjadi menara hidayah suatu hari nanti.

Bersambung.,,

Monday, December 26, 2011

Langkah Tarbiah

"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." [2 : 216]

Ayat yang begitu femes bila nak motivate seseorang. Dalam ayat ke 216 surah al-Baqarah ni Allah bagi analogi berperang. Sekaligus memberi semangat kepada kaum Muslimin untuk turut menyertai peperangan. Tapi macam mana pula nak aplikasikan dalam kehidupan kita? Bila failed exams, mula lah keluar ayat "Sabar akhi/ukhti, tak semua benda yang kita tak suka tu buruk untuk kita...". Atau bila mana seseorang tu menghadapi saat-saat sukar dalam hidup dia. "Bersabarlah, boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu."

Persoalannya, sejauh mana kata-kata azimat ini berkesan dalam hati hingga melahirkan momentum untuk terus bangkit dari dugaan?

Di mana starting point yang dapat iringi ayat azimat ni memotivasikan si pendengar? Kalau takat dengar. Alamat masuk telinga kanan keluar telinga kirilah gamaknya.


Segalanya bermula dari tarbiah langkah demi langkah. Tarbiah bukan sekadar teori, tapi seiring amali. Dalam risalah Ikhwan pun Imam Hassan Al-Banna tegas meletakkan amali sebagai panduan tarbiah sejurus selepas ilmu dan ikhlas. Hakikatnya, perjalanan tarbiah bukanlah seindah bahan-bahan dalam silibus usrah, ta'lim, halaqah. Jalan tarbiah memerlukan daya juang yang tinggi untuk melaluinya. Kalau takat rajin datang usrah, tapi tak applicable untuk berjalan seiring dakwah dan tarbiah. Jadilah antum sebagai seorang yang berilmu pengetahuan luas tetapi tak dapat menggunakannya. 

Setiap kali usrah, berkali-kali murabbi ingatkan ana tentang laksanakan kerja-kerja dakwah sebagai persiapan turun ke medan. Dan berkali-kali jugalah ana ingatkan kepada mutarabbi agar jiwai tarbiah itu sendiri dengan turun ke medan dakwah.

Mungkin jalan tarbiah tak seindah destinasi. Pelbagai duri-duri tajam terbentang di hadapan. Perlukan latihan demi latihan agar dapat melalui jalan tarbiah itu. Di sinilah zahirnya ayat azimat dalam surah al-Baqarah ayat 216 itu tadi.

Kesilapan para daie, hanya mampu berteori, berhujah di Facebook, Twiter, Blog, dan sebagainya. Tapi tak mampu nak laksanakannya. Habis, di mana kesan tarbiah itu sendiri? Rugilah bila si daie yang sibuk berkempen 'Couple itu haram' tapi dalam masa yang sama dia sendiri sibuk bercinta. Cinta ikhwah akhwat la katakan...

Siapa suka bila terpaksa lalui saat-saat sukar. Tapi ketahuilah, itulah tarbiah. Tipulah jikalau ana sendiri tak pernah rasai kesakitan di awal tarbiah. Sakit. Perit. Sampai sekarang masih terasa bisanya. Siapa sangka, kesakitan itu rupanya sebuah rahmat dan kasih sayang Allah yang sedang siapkan ana untuk lalui jalan tarbiah ini. Waqi' di Malaysia tak sama dengan waqi' di bumi lain. Malaysia tak ada tinggalan sejarah Islam yang boleh dijadikan tempat berjaulah. Orang cakap hidup di Malaysia senang, tak perlu hadapi peperangan. Tak perlu berlapar. Segala-galanya boleh didapati di sini. Tapi tidak bagi ana. Kesenangan hiduplah yang menyebabkan singa bertukar menjadi rusa. Kesenangan hiduplah yang melahirkan para rijal yang hanya mampu berteori. Tiada latihan praktikal. Sedih lagi menyedihkan.

Sebab itulah tarbiah adalah pembelajaran daripada pengalaman yang mendidik. Sebab itu wujudnya wasilah-wasilah tarbiah. Sebagai tempat untuk mencipta pengalaman yang mendidik. Kenapa Allah khususkan bulan Ramadhan untuk orang Islam berpuasa? Dah tentulah untuk mencipta pengalaman yang mendidik. Itulah tarbiah. Direct dari Allah.

Timbul persoalan lain, macam mana nak hadapi jerih perjalanan tarbiah? Andai seorang yang melangkahkan kaki di ranjau tarbiah, tertusuk duri dan akhirnya berpatah balik. Bukankah itu satu kerugian? Ana cukup kagumi dengan seorang sahabat yang perjalanan tarbiahnya cukup mencabar, tetapi dia lalui perjalanan itu selangkah demi selangkah. Rahsianya, sentiasa bersifat OPTIMIS. Ibarat pasu yang pecah, dihancurkan hingga menjadi tanah, dibancuh, diproses, dibentuk semula, akhirnya lahir menjadi pasu yang baru. Ingin sekali ana menjadi orang yang membentuk semula pasu yang telah pecah itu. Dalam erti kata lain, menjadi pelengkap perjalanan tarbiah sang sahabat. 

Secara fitrahnya seseorang itu akan merasa kuat bila bersama. Jadi, bersama-samalah dalam satu barisan, binalah jentera agar dapat lalui jalan tarbiah ini langkah demi langkah.

Friday, December 23, 2011

Kapal Di Tengah Lautan

Kelihatan sebuah kapal berada di tengah-tengah lautan. Hujan lebat. Laut bergelora. Kapal itu tak mampu meneruskan pelayarannya. Sauh diturunkan. Kapal terhuyung hayang dipukul ribut. Anak-anak kapal berdoa agar tiada perkara buruk berlaku.

Beberapa ketika kemudian, ribut mulai reda. Langit kembali cerah. Laut yang tadinya bergelora menjadi tenang. Damai suasana. Sauh diangkat. Layar dilabuhkan. Anak kapal mengucap syukur. Kapal kini kembali belayar merentas samudera.

Begitulah kita hidup di dunia ini. Ibarat sebuah kapal. Kenapa ana anologikan dengan kapal? Kerana kapal akan hanyut dibawa ombak dan angin tanpa layar, tanpa sauh. Tiada hala tuju, Jika ditiup angin ke timur, layarnya ke timur. Jika ditiup angin ke barat, layarnya ke barat.

Gelora di tengah-tengah lautan ibarat tipu daya dunia yang pelbagai. Sekejap mewah dengan harta. Sekejap mewah dengan pangkat. Sekejap mewah dengan nafsu. Bak tsunami jahiliah yang menghempas ke dada kapal. Terumbang-ambing. Tunggu saat menanti karam. Ditambah pula dengan pukulan ribut yang tak henti-henti. Bak ideologi-ideologi barat yang menyesakkan jiwa pemuda. Mencarik-carik jati diri Islam. Habis punah menjadi umat tak beragenda. Akhirnya kapal itu pun karam.

Umpama sauh yang menjadi tunjang agar kapal tidak dihanyut ombak, begitu jugalah Iman yang perlu dipasak dalam diri kita. Binalah sauh dalam diri kita agar tak hanyut dipukul ombak jahiliah. Proses membina sauh memakan masa dan peringkat. Dari bijih besi, dipanaskan sehingga lebur, dimasukkan ke dalam acuan, selepas sejuk, rawatan haba pula mengambil alih agar besi menjadi lebih kuat. 

Samalah dengan iman, tauhid yang menjadi tunjang. Berperingkat-peringkat hingga terpasak kukuh di kalbu. Akhirnya aqidah mekar mewangi di hati. Walau dipukul ombak jahiliah, takkan teranjak.

Ilmu dan amal ibarat layar, layar memerlukan angin yang bertiup untuk menggerakkan kapal. Begitu juga dengan ilmu dan amal yang perlu seiring dengan perkembangan semasa. Walaupun disuntik anasir-anasir luar, namun tetap mampu membezakan yang mana hak yang mana batil.

Apakah destinasi pelayaran hidup seorang hamba? Semestinya ke negeri abadi. Kompas menjadi panduan dalam perjalanan. Kompas hidup kita apa pula? Tidak akan sesat jika berpegang dengan dua perkara. Quran dan Sunnah. 

Konklusinya, jadilah kapal yang mempunyai destinasi yang jelas. Penuh agenda dan hala tuju. Lengkap dengan sauh yang kuat ke dasar dan layar yang kukuh. Baru terjamin dalam merentas benua. Wallahua'lam

Sunday, December 18, 2011

Perjalanan Tarbiahku

Contengan Perjalanan Sebuah Tarbiah

Bismillahirahmanirahim, 16 Disember, sebuah perjalanan kehidupan bermula sebaik sahaja selesai solat Jumaat. Tiket bas ke MARA Liner ke Melaka Sentral dah selamat ana beli pagi Jumaat. Bas bertolak pada pukul 4.30 petang. Pukul 4.00 petang ana masih lagi berada di perkarangan UiTM, berdepan dengan urusan yang tak dapat dielakkan. Rancangannya, kalau tak ada bas ke Terminal Segamat, call taxi. Walau tinggi bayarannya, asal dapat penuhi tuntutan tarbiah, tak mengapa. Seperti diduga, bas paling awal pun akan bertolak pada pukul 4.30 petang. Sempat bersembang dengan makcik driver bas yang sangat ramah. Takdir Allah, tiba-tiba dia berhajat nak hantar ana ke terminal bas. Dalam perjalanan ke terminal, macam-macam pesanan makcik ni pesan. Rupanya dia seorang yang pemalu di usia muda. Hampir menjadi seorang ustazah, tapi disebabkan sifat malu yang terlalu menebal dalam diri, dia tak mampu nak berdepan. Hinggalah ketika usia hampir menginjak 50 tahun, baru lah berani berdepan dengan orang. Subhanallah. Makcik driver bas yang mencorakkan hidupnya dengan corakan al-Quran. Unik.

Sampai di terminal, bas tak kunjung tiba. Dari 4.30 ke pukul 5.00 hinggalah pada pukul 5.30 petang, baru bas muncul. Itu pun dia tak bagi penumpang masuk, maka terpaksalah duduk di luar. Dalam pukul 6 petang, barulah bas mula bergerak. Tarbiah mengajar erti sabar. Dalam bas, mesej seorang ikhwah yang akan ambil ana di Melaka Sentral, dia suruh ana turun kat tol. Ok rojer. Hakikatnya, inteprestasi yang berbeza menyebabkan salah faham di antara kami lalu berlakulah ujian. Segala-galanya dengan takdir Allah yang mahu mentarbiah diri. (Ikhwah dari Melaka suruh berhenti di tol. = Tol Ayer Keroh. / Ana dari Segamat diminta berhenti di tol. = Tol Tangkak) 
Akibatnya, terkandaslah keseorangan di Exit Tol Tangkak. Keadaan ni tak disedari hinggalah ikhwah call ana tanya di mana, lepas dah jelas. Tak ada cara lain melainkan tunggu ikhwah ambil dari Melaka. Syukur perjalanan dari Ayer Keroh ke Tangkak tak ada lah jauh sangat. Dalam 5 minit. Cabaran bermula apabila masa menginjak pukul 7 malam. Cahaya matahari semakin menghilang. Gelap mula menerpa. Dengan nyamuknya lagi. Subhanallah~

Bersama Ikhwah

Akhirnya akhi Azlan sampai, bersamanya terdapat dua orang ikhwah lagi. Faiz dan Doktor Tarmizi. Kami teruskan perjalanan ke Senawang, Negeri Sembilan. Berhenti sebentar untuk solat. Sesampainya di Senawang, berkumpullah ikhwah-ikhwah yang lain. Abang Aizam yang sejak awal lagi tau yang ana terkandas di tol, terus dapatkan ana. "Sheikh UiTM selamat tiba!" Sejak frasa 'UiTM Segamat' digunakan, ikhwah lain mula mendapatkan ana sambil berkata, "Ni la ikhwah dari UiTM Segamat tu!". (Rasa macam Harry Potter masa mula-mula jejak kaki kat Diagon Allay). Tak sangka semua orang kenal ana dan sangat-sangat ambil berat. Walaupun jarang pergi program kat Melaka (Disebabkan kerja-kerja pembinaan kader dakwah di UiTM), rupa-rupanya ramai yang tahu tentang kerja dakwah ana berdasarkan cerita-cerita dari murabbi ana yang baru ana tahu dia sangat-sangat hebat! Alhamdulillah, Allah kurniakan murabbi yang mantap. 

Lepas semua ikhwah dah berkumpul, perjalanan diteruskan di check point pertama, di pejabat ISMA Seremban. Di sana, Ustaz Azizi Ayob tampil memberi tazkirah yang sangat terkesan. Masih segar dalam lipatan ingatan dan InsyaAllah akan diterjemahkan ke dalam gerak kerja dakwah di UiTM melalui persatuan InSoft.

Bermulanya Sebuah Pengalaman Menakjubkan

Lepas habis sesi taujih bersama Ustaz Azizi, kami meneruskan perjalanan ke suatu lokasi yang misteri. Oleh kerana jam dah menginjak pukul 1.30 pagi, dengan badan yang lesu, ana pun tidur dalam kereta. Celik je mata nampak sebuah surau. Ingatkan nak tidur surau. Tapi rupa-rupanya kami semua diberitahu bahawa sini merupakan check point yang kedua. Di belakang surau terdapat kawasan kubur! Dalam tengah mamai, terus terbeliak mata dengan perkataan 'kubur'. Tak fikir apa, terus tengok jam. 1.36AM! Gulp! Angin malam itu sangat mencengkam hingga ke tulang. Langkah diatur perlahan ke kawasan perkuburan. Tak nampak apa-apa di sekeliling melainkan batu-batu nisan yang tegak berdiri. Akhi Amir membaca doa memasuki kawasan perkuburan. Tak lama lepas tu, kami semua diberi tazkirah ringkas tentang gambaran alam kubur. Sangat menginsafkan. Mungkin dorongan suasana ketika itu yang membuatkan ana sendiri betul-betul terkesan dengan pengisian yang diberikan.

Selepas beberapa ketika, barulah kami beredar dan terus ke kawasan perkhemahan. Dalam kereta termenung mengimbau pengalaman sebentar tadi. Subhanallah. Unik. Indah. Menarik. Tak ada perkataan yang dapat digambar melainkan merasainya sendiri.

Lokasinya di Hutan Lipur Gunung Dato' Negeri Sembilan. Lepas bahagi kumpulan, unpack barang dan terus tidur. Masa nak tidur ana tengok jam menunjukkan pukul 4.00 pagi. Pukul 5.00 pagi ikhwah dah kejut untuk qiamulail. Oh ya, sebelum tu, kami semua diberi wajibat amal iaitu membaca al-Quran minimum 7 muka surat. Jadi, selepas qiam, sementara tunggu waktu Subuh, ana pun gunakanlah masa yang ada untuk baca al-Quran. Dengan bantuan cahaya lampu yang samar-samar. Tiba-tiba Farhan datang dan berbisik pada ana,, "Anta imamkan solat Subuh hari ni". Sekali lagi, terbeliak mata dengar. Tak sempat nak bercakap, ikhwah dah pergi. Segan memang tak payah cakap lah. Maklumlah, ana tak kenal sangat ikhwah-ikhwah yang ada, sedangkan majoriti ikhwah kenal siapa ana. Azan Subuh berkumandang, Alhamdulillah kami semua selesai solat Subuh secara berjemaah. Sebab masa tu ingat nak hujan (sebenarnya waktu-waktu macam ni memang lembab sebab embun jatuh), jadi bacalah surah pendek-pendek, pendekkan witir. Sekali ikhwah suruh lead baca al-Mathurat. Allah~ Kali ni memang betul-betul give up. Ana tak hafal sangat al-Mathurat, selalu baca ada buku. Bila dah senyap je, ada ikhwah offer untuk lead. Subhanallah~ Semua orang hafal al-Mathurat!! Tiba-tiba rasa diri jadi lagi kecil dari kuman. Surah-surah dalam al-Mathurat memang ana hafal, so boleh la ikut sekali. Masuk bab zikir, memang kantoi. Teruja dengan seorang ikhwah yang baca doa penutup yang sangat-sangat lancar.

Lepas tu kami semua disajikan lagi dengan tazkirah Subuh oleh akhi Amir. Pukul 7 pagi, sarapan dah terhidang. Lepas sarapan, kami disuruh bersiap dan berkumpul pada pukul 7.30 pagi. Tepat masa, ikhwah bagitahu yang kami semua akan panjat Gunung Datuk. Selama ni panjat bukit-bukit je, tapi kali ni gunung. Memang pengalaman yang cukup mahal. Sejam perjalanan mendaki, kaki dah rasa macam nak tercabut. Letih sangat! Jumpa kawasan rata, ikhwah mengambil kesempatan untuk bagi tazkirah. Selain tu ada ikhwah yang mengaji. Pendakian diteruskan lagi. Selama sejam mendaki akhirnya sampai ke puncak gunung. Subhanallah, udara sangat segar. Sejuk. Berbaloi mendaki gunung yang 90 darjah selama 2 jam. Di situ kami memulakan sesi taaruf ringkas. Kat puncak gunung, boleh nampak selat Melaka dan bandar-bandar di Negeri Sembilan. Boleh bayangkanlah tinggi mana kami berada. Subhanallah. Indah sangat pandangan. Tiba-tiba ada sorang ikhwah laungkan azan. Serius, sebak sangat. Rasa kerdil je diri. Nak menangis pun ada. Selain azan, ikhwah-ikhwah banyak habiskan masa dengan membaca al-Quran. Tarbiah kali ni sangat mahal. Sangat mahal.

Lepas puas menikmati panorama kehidupan di puncang gunung, mula turun bukit. Nak turun bukit pun makan masa lebih kurang 45 minit. Tak sangka lama juga nak turun. Kaki memang sakit sangat-sangat. Segala penyakit yang ada tolak tepi dulu. Yang penting nikmati tarbiah yang ada sepuas-puasnya.

Sampai di base camp, kami semua membersihkan diri. Berehat sebentar. Kebanyakan ikhwah berqailullah. Hingga masuk waktu Zohor, selesai solat Zohor, makanan dah tersedia. Lepas makan ikhwah-ikhwah dipanggil untuk melakukan sedikit aktiviti dalam kumpulan. Ibrahnya majoriti untuk mengeratkan ukhwah. Daripada tak berapa nak kenal, akhirnya dapat kenal ikhwah-ikhwah yang lain.

Kafilah Dakwah

Selepas Asar, ikhwah-ikhwah diminta berkumpul mengikut kumpulan. Ada satu aktiviti yang dinamakan kafilah dakwah. Mula-mula tu terfikir juga, apa benda la kafilah dakwah ni. Pembentangan kertas kerja ke? Kenapa buat petang-petang? Rupa-rupanya kami diberi tugasan untuk turun ke dalam masyarakat untuk mentarbiah masyarakat Melayu. Mendidik masyarakat Melayu untuk mengenal Islam secara praktikal. Ala-ala tabligh la. Ya Allah, ligat kepala fikir macam mana nak approach masyarakat ni. Selama ni buat dakwah kat kampus boleh la klasifikasikan macam mana. Dalam masa sejam, perlu dapat sekurang-kurangnya 5 orang. Dalam 20 minit merayau mencari mangsa. Jumpa je, kecut perut. Tak berani. Akhirnya, buang ego. Approach je. Alhamdulillah berjaya dapatkan 5 orang. 2 orang remaja, 3 orang dewasa. Respon yang diberikan pula, ada yang berminat, ada yang buat tak tahu, ada yang persoalkan, dan pelbagai. Memang boleh nampak macam-macam respon. Ada sorang pakcik ni, bila nak approach dia kat kedai makan, sekali nampak dia tengah kira-kira nombor, tengok kedai sebelah, Sport TOTO. =,=' Dan pelbagai lagi pengalaman menarik yang kami semua jumpa. Memang 'kerja gila'. 

Perjalanan Seorang Abid

Lepas Isyak, ada sesi muhasabah dan perkongsian, cerita balik pengalaman-pengalaman mentajmi' masyarakat. Ada yang siap minta no fon. Secara keseluruhannya, nampak macam dakwah masih boleh diterima dalam kalangan orang Melayu secara khususnya. Masa tengah sesi perkongsian, tiba-tiba hujan turun. Akibatnya, kami semua masuk ke dalam khemah masing-masing. Tak lama lepas tu semua ikhwah yang sememangnya dalam kepenatan tertidur. 

Tepat jam 12 tengah malam, semua orang dikejutkan, masa tu sejuk malam macam winter. Dengan tak pakai sweaternya, tahan je lah. Dalam hati, tarbiah, tarbiah. Aktiviti kali ni lagi mencabar, seorang demi seorang ikhwah dilepaskan ke sebuah jalan seorang diri. Ala-ala night walk. Ana dah biasa night walk sebelum ni, tapi bezanya night walk sebelum ni masuk dalam hutan, tapi kali ni, atas jalan tar tapi kiri kanan hutan. Memang lain sangat-sangat perasaannya. Masa ana jalan, kiri kanan memang dah tak pandang dah. Rasa tak tau apa yang bakal muncul kat depan. Perjalanan sepanjang 1.2KM. Memang lama. Masa ni, pergantungan yang paling utama ialah pada Allah. Terasa sangat time tu memang perlukan Allah untuk guide. Ana rasa macam dah mati, dan dihidupkan balik ke suatu alam yang tak tahu apa sebenarnya kita nak cari. Hanya jalan jalan dan jalan ke depan. Sampai lah hujung jalan, baru jumpa ikhwah.

Mukhayam Muayyid

Pagi-pagi lagi selepas Subuh, kami diarah untuk buat satu soalan quiz sirah. Macam ambil exam, tapi time-time Subuh. Masa tu memang beku kepala otak. Lepas je sarapan, ada aktiviti sampingan yang sangat seronok. Masa tu terasa hidupnya roh ukhwah. Tak lama lepas tu, ada taujih tentang peranan dakwah. Sangat penting pointnya kerana diadaptasi dari risalah Imam Hassan Al-Banna. Lepas majlis penutup, makan dan siap-siap untuk pulang.

Inilah perjalanan tarbiah ana di hujung minggu kali ni. Namanya Mukhayam. Mukhayam ada banyak jenis, tapi ni jenis Mukhayam Muayyid ataupun perkhemahan untuk penggerak dakwah. Ikhwah-ikhwah kat sini pun terdiri daripada mahasiswa IPTA dan IPTS yang menghidupkan dakwah kampus. Tarbiah itu suatu pengalaman pembelajaran. Pengalaman yang diatur seperti mukhayam inilah yang memberi pelajaran paling beharga buat ana.

Di sinilah tempat di mana ana boleh jadi diri sendiri. Boleh jadi seorang Qamarul Nazrin Bin Harun. Di mana tempat yang ana tak payah buat kerja dakwah fardhiah, tempat ana lupakan masalah, tempat di mana tak payah nak jaga pandangan. Keterlibatan bersama ikhwah sangat bermakna. Ikhwah kat sini pun hebat-hebat belaka. Terasa suasana Islam. Kebanyakan masa dihabiskan dengan bacaan al-Quran, tasmi' hafazan, solat-solat sunat dan sebagainya. Betul-betul masuk dimensi lain. Paling ana teruja, barang-barang penting (fon, dompet, jam tangan, camera, dll) semua diletakkan di suatu tempat umum. Sifat tawasus yang tinggi yang ada dalam diri seorang ikhwah yang mantap tarbiahnya.

Perjalanan Penuh Ujian

Masa nak balik, ikut perancangan, pergi Melaka Sentral, beli tiket bas, balik Segamat. Dari N9, ana balik dengan Naim. Walaupun baru kenal tak sampai 24 jam, tapi ukhwah terjalin bagai dah lama sangat kenal. Sampai di Melaka Sentral, cari tiket bas, takdir Allah. Semua habis! Ya Allah macam mana la ni~ Daripada pukul 12 bertolak, berhenti solat kejap sampai pukul 2, menginjak pukul 3 masih lagi di Melaka Sentral. Bateri fon pun dah tinggal 15%! Bayangkan bateri habis, ana pula terkandas kat Melaka Sentral. Phew~ Nasib baik dah dilatih meletakkan pergantungan yang tinggi dengan Allah. Al-Quran menjadi teman, akhirnya dapat buah fikiran supaya naik je bas domestik. Syukur, ada bas pergi Tangkak, dah dekat dengan Segamat. Dari Tangkak, naik bas ke Segamat. Dan Azim akan ambil di terminal bas Segamat. Alhamdulillah segalanya dipermudah Allah.

Sampai je, terus ke rumah senior, keluar makan bersama. Sampai UiTM sampai pukul 9 malam. Dan terus ke meeting untuk Ijtima' am Rabu ni. Tajuk Ijtima' am yang akan dibentangkan adalah 

"Mahasiswa Beragenda Pemangkin Kecermelangan Ummah"

Moga dapat memantapkan lagi fikrah kader-kader dakwah yang ada di bumi UiTM Segamat. InsyaAllah.

Monday, December 12, 2011

Kerana Seekor Lalat Boleh Masuk Syurga Atau Neraka

Dikisahkan terdapat dua orang pemuda yang ingin melalui sebuah kuil. Lalu mereka terserempak dengan penjaga kuil tersebut. Penjaga kuil yang mengetahui dua orang pemuda ini merupakan orang Muslim, jadi, penjaga kuil pun memberikan syarat jika ingin melalui kuil tersebut, mereka dikehendaki membeli seekor binatang dan sembelih di kuil itu sebagai penghormatan kepada dewa-dewa. Berkatalah kedua-dua orang Muslim tersebut.

"Kami tidak akan sembelih apa-apa hatta seekor lalat pun!"

Penjaga kuil yang berang permintaannya tidak dipenuhi lalu menyembelih kedua-dua orang Muslim tersebut.

Oleh kerana lalat, mereka mempertahankan aqidah. Syurga sebagai balasan.

Beberapa ketika selepas itu, lalu dua orang pemuda yang lain. Penjaga kuil pun menetapkan syarat yang sama iaitu membeli seekor binatang dan sembelih di kuil itu sebagai penghormatan kepada dewa-dewa. Kedua-dua orang pemuda pun mengadu kepada penjaga kuil tersebut bahawa mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli binatang.

Penjaga kuil pun berkata, "Tadi ada dua orang pemuda yang menghina dewa dengan mengatakan bahawa walau seekor lalat pun mereka tidak akan sembelih. Akhirnya mereka yang aku sembelih. Apa kata kau beli sahaja seekor lalat dan sembelih sebagai satu penghormatan."

Dua orang pemuda yang mendengar cadangan penjaga kuil supaya membeli seekor lalat pun bersetuju untuk membeli dan menyembelih lalat. Akhirnya mereka dapat melalui kawasan kuil tersebut.

Oleh kerana seekor lalat, mereka menggadaikan aqidah. Neraka sebagai balasan.

Subhanallah, lihatlah betapa adilnya Allah dalam menilai hatta melalui seekor lalat yang pada kita nampak seperti tiada nilai. Lalat je kot~


"Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarkanlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya) dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya)." [22 : 73]

Perhatikan pula hadis Rasulullah SAW yang Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud, al-Nasa'i, Ibn Majah dan lain-lain.

"Jika seekor lalat jatuh ke dalam minuman kamu, maka benamkanlah (lalat itu sepenuhnya dalam minuman itu) dan kemudia buanglah (lalat) itu. Kerana sesungguhnya pada sebelah sayapnya terdapat penyembuh manakala pada sebelah yang lain terdapat penyakit."

Di sini jelas bahawa Allah mengiktiraf apa-apa jua ciptaanNya walau sekecil lalat. 

Sebagai konklusi, janganlah menghina sesuatu yang tidak kita sukai. Suka di sini ana petik kata-kata Dr Yusuf Qardhowi yang bermaksud.

"Islam telah mengajar kepada saya untuk menyalakan pelita dan tidak dengan asyik mengutuk kegelapan, dengan menjelaskan kebenaran dan bukan dengan asyik mencaci maki kebatilan."

Wallahua'lam.

Sunday, December 11, 2011

Dakwah Aku Terhad

Dakwah aku terhad,
Sedangkan tsunami jahiliah bak badai menggila,
Macam mana nak lancar proses tarbiah,
Kalau asyik kena hentam ombak jahiliah?

Terkadang cemburu melihat teman-teman lain,
Yang lancar pentarbiahannya di bumi tarbiah itu sendiri,
Walaupun masa menapak ke alam tarbiah sama,
Tapi rasa jauh ketinggalan.

Suatu perkara yang pasti,
Aku takkan tinggalkan dimensi tarbiah ni,
Nak jumpa dimensi tarbiah ni bukannya senang.
Tapi aku tak pasti sampai bila mampu bertahan.

Bila rasa cemburu memukul sukma,
Mulalah buat amalan berkali-kali ganda,
Dengan harapan dapat kejar mereka yang di depan,
Tapi ternyata, perjalanan tarbiah,
Bukan perjalanan litar lumba.
Tapi perjalanan penuh duri.
Menuntut aku berjalan penuh waspada.

Nak wujudkan cahaya soleh dalam kelam jahiliah
Bukan kerja senang
Nak harapkan pagar,
Pagar tak boleh harap.

Orang cakap aku over dakwah sini sana
Kenapa?
Sebab aku nak kekuatan tarbiah itu sendiri
Kekuatan tu datang apabila ramai yang inginkan tarbiah
Dan kekuatan dakwah aku terhad.

Tarbiah Bukan Hanya di Usrah!

Bismillahirahmanirahim,
Lama rasanya tak mencoret kisah di blog. Ada je beberapa peristiwa dan adegan yang ana kira banyak ibrah yang dapat dikongsi bersama. Namun, kekangan tugas sebagai seorang pelajar IM (Ikhwanul Muslimin Information Management) ternyata amat mencabar. Lambakan tugasan mula mengintai ruang memenuhi jadual-jadual mahupun planer-planer yang ada. Tak cukup dengan tu, program-program tarbiah yang memerlukan komitmen yang tinggi supaya dapat diselaraskan dengan agenda utama sebagai seorang pelajar. 

Bila ditanya, belajar atau tarbiah, mana lebih penting? 

Ataupun, dengan tarbiah, terganggukah masa belajar?

Suka sekali ana petik jawapan dari seorang murabbi ketika menghadiri daurah pemantapan fikrah pada cuti semester lalu. Sekiranya ruang waktu tarbiah itu diletakkan dalam waktu belajar, memanglah dia akan mengganggu anda. Cuba anda letakkan waktu tarbiah itu dalam waktu senggang anda, pasti tiada masalah.

Hari ini, sebahagian pelajar semester 4 telahpun menjalani modul Kemahiran Insaniah (KI). Modul KI pada semester ini ternyata sedikit berbeza dengan semester sebelumnya. Modul kali ini diadakan di luar bilik kuliah. Outdoor activities. 

Mengimbau beberapa hari yang lepas, suatu perancangan untuk meraikan pelajar-pelajar semester 1 telah diaturkan. Iaitu mengadakan Rehlah BBQ. Alhamdulillah. Ramai ikhwah yang sudi menyumbang tenaga dan sumbangan berbentuk material. Tiba hari yang dinantikan, ana pula terlibat dengan modul. Macam mana sekalipun, rehlah tetap akan dijalankan...

Selesai saja waktu Zohor, kami dilepaskan mengikut kumpulan demi kumpulan yang telah ditetapkan. Masa tu hujan mulai turun. Dalam hati tak putus-putus doa supaya hujan berhenti selepas Asar (sebab nak start bakar lepas Asar). Berbalik kepada modul KI, aktiviti yang dijalankan ala-ala explore race di mana setiap kumpulan dikehendaki pergi ke check point demi check point. Overall aktiviti yang dijalankan sangat seronok. Tetapi ada beberapa perkara yang buat ana rasa resah gelisah..

TARBIAH BUKAN HANYA DI USRAH!

Sewaktu mengikuti aktiviti-aktiviti yang dijalankan, terperasanlah mereka-mereka yang mengikuti jalan tarbiah, tetapi err benarkah tarbiah mendidik mereka?
Bergelak ketawa berlebih-lebihan, bertepuk tampar dengan lain jantina, berhuhaa sana sini.
Apa yang ana cuba sampaikan di sini, apakah yang tarbiah didik sehingga menjadi seorang berperibadi Muslim? Maksudnya, di mana perbezaan mereka yang ditarbiah dan mereka yang tidak ditarbiah?
Masa tengok bola, semua sama.
Masa tengok wayang, semua sama.
Masa tengok cerita korea, semua sama.
Habis, mana kesan tarbiah itu sendiri? Bukanlah ana nak cakap tarbiah yang ana terima ni bagus atau sempurna. Sesungguhnya tangan yang menulislah yang paling merasai apa yang ditulisnya. Sekurang-kurangnya ana sedar situasi yang berlaku. Apakah kita terima tarbiah hanya sekadar nak dapat nama dengan gelaran 'Alim'? Atau nak dapatkan akhwat/ikhwah yang sukar didekati? Atau nak nampak gah dengan gelaran tarbiah itu sendiri?
Di mana pelaksanaan tarbiah antum? Adakah hanya bila dapat mesej dari naqib/ah suruh datang usrah, lalu dengan sendirinya diri berubah menjadi seorang ikhwah/akhwat? Sungguh ana tak sangka. Ana ulas bukan kerana nampak seorang, tapi hampir kesemua yang memilih jalan tarbiah. Apakah kerana kita hidup di bumi UiTM? Jika begitulah andaiannya. Watch out! Kita semua dalam bahaya! Ye memang tak dinafikan gelombang jahiliah yang meresap dalam diri orang melayu sekarang ni tersangatlah hebat. Memang tak dinafikan nak dakwah orang melayu ni merupakan cabaran yang tersangatlah besar. Tapi tak mustahil untuk cipta biah soleh/ah dalam lautan jahiliah sebegini. Masakan ikan dilaut masin tak terasa masin bila digoreng. Tu belum cerita bab ikhtilat lagi tu. Dah berhari-hari terperap dalam draf tu.

Jika ditanya apakah konklusi daripada situasi ini? Pada ana, hidupkan Islam dalam diri. Lalui hari-hari dengan cara hidup Islam. Secara tak langsung akan membezakan antum merupakan golongan yang ditarbiah yang penuh dengan hikmah atau sebaliknya.

Aurat Bukan Sekadar Cebisan Kain

Satu hal lagi yang buat ana naik serabut. Bila hujan dah turun, baju pun basah. Nasib kami semua terpaksa bermodul dalam hujan. Baju ana sendiri pun lembab. Bila dah nama perempuan, ketahuilah batasan aurat antunna sangat terbatas. Tolonglah, ana bagi pihak kaum-kaum lelaki merayu jangan goyahkan keimanan kami. Penat kami mujahadah demi nak tegakkan Islam. Tapi kalau dah pakai yang Ustaz kat masjid pun mau tercabut kopiah. Nak buat macam mana? Ketahuilah, sehebat, segagah, semantap mana pun seorang lelaki itu, suatu perkara yang mampu buatkan mereka goyah dan kalah adalah kerana seorang wanita. 

Apa-apapun mungkin salah satu tarbiah langsung dari Allah. Kalau tak diuji, kita tak akan tahu sejauh mana kebolehan kita. Kalau iman dah berani memberontak bagai nak rak, tanda tarbiah makin terbina dalam diri. InsyaAllah

Rehlah BBQ

Ujian pertama, hujan, Alhamdulillah hujan berhenti sebentar selepas Asar. Tapi masuk pula ujian kedua, arang masuk angin. Terpaksa berkejar-kejaran cari arang. Masuk pula ujian ketiga, hujan kembali turun. Tapi, Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Benarlah janji Allah, siapa nak tolong agama Dia, Dia akan permudahkan segala urusan. Teruja melihat bakal-bakal kader dakwah yang jelas banyak potensi dalam diri mereka. Biarpun masih belum mengerti dunia tarbiah, namun sudah menunjukkan tanda-tanda mereka berminat. Memetik kata-kata seorang ikhwah, yang dikejar biarlah dapat, yang dikendong biarlah tak berciciran.

Rehlah BBQ Semester lepas.

Saturday, December 3, 2011

Cerpen : Muhammad al-Fateh Qothin Part 12 (Akhir)

Hari penuh sejarah itu tiba jua, Aisyah baru sahaja selesai menunaikan solat sunat pengantin bersama seorang lelaki asing yang kini menjadi sebahagian daripada hidupnya. Seorang lelaki yang akan membimbingnya dalam perjalanan dakwah dan tarbiah. Seorang lelaki yang akan menjadi ayah kepada anak-anaknya. Seorang lelaki yang akan mengharungi masa susah dan senang bersama-sama. Seorang lelaki yang kini bergelar suami. Kini Aisyah bukan lagi di bawah tanggungjawab Pak Ahmad. Perasaan sebak dan terharu bercampur di hati orang tua itu. Sedih untuk melepaskan puteri tunggalnya. Namun dia gembira melihat kebahagian puterinya itu disamping seorang lelaki yang Pak Ahmad sendiri kagumi dengan keperibadiannya.

Aisyah mengenakan jubah berwarna biru muda beserta tudung labuh dan niqab di hari perkahwinannya. Busana pengantin yang ringkas tetapi tetap menyerlah keindahan Islam dalam etika pemakaian berlandas syariat. Menutup aurat. Begitu juga dengan si suami yang kelihatan segak dari atas ke bawah. Aisyah memaut lengan suaminya di majlis resepsi pada petang itu. Ramai tetamu yang hadir. Saudara mara, jiran tetangga, sahabat handai. Semua berkumpul dalam majlis yang penuh barakah itu.

"Barakallahu lakuma wa baraka alaikuma wa jamaah baina kuma fee khair, akhi. Semoga dengan perkahwinan antum dapat menguatkan lagi jentera dakwah untuk umat." Qamarul memberi ucapan tahniah buat sang mempelai.

Majlis pada petang itu berjalan dengan begitu lancar dengan bantuan ikhwah-ikhwah dan akhwat-akhwat yang turut memberi sumbangan dalam bentuk tenaga. Biah soleh dan solehah yang berjaya dicipta Pak Ahmad membuatkan seluruh taman perumahan menghayati ajaran Islam yang sebenar.

Kini, senja telah berlalu pergi, malam mengambil ganti. Aisyah duduk berseorangan dalam bilik. Menanti suaminya pulang dari masjid. Aisyah telah persiapkan dirinya secantik mungkin. Khas untuk suaminya. Walaubagaimanapun, rasa debar tetap ada. Maklumlah, baru menginjak ke alam rumah tangga. Segalanya baru. Seketika kemudian, pintu bilik dibuka. Sesusuk tubuh melangkah masuk. Wajahnya tenang. Aisyah cuba mengukir senyum. Malunya masih menebal di hati. Pipinya merona merah. 

"Abang baru balik dari masjid ya? Nak Aisyah,, errr sayang buatkan air?" Terasa kelu lidah membahasakan dirinya sayang. Perasaan malu tidak dapat dikawal. Aisyah tertunduk.

Sang suami mendapatkan Aisyah, dia duduk di sebelah Aisyah. Aisyah yang tersentak menunjukkan aksi spontan, secara automatiknya Aisyah terbangun. "Abang tentu dahaga, biar sayang buatkan susu campur madu khas untuk abang." Ujar Aisyah dan terus berlalu pergi. Perasaan malu tidak dapat dibendung lagi. Aisyah ke dapur untuk membuatkan secawan susu bercampur madu khas untuk suaminya. Sepanjang perjalanan, kuntum senyuman di bibir mula terukir. 

"Dia suamimu Aisyah. Halal buatmu." Aisyah memujuk diri.

Aisyah melangkah semula ke bilik dengan membawa secawan susu bercampur madu. Terketar-ketar langkah Aisyah. Saat memasuki kamar peraduan. Suaminya hanya memerhati. Riak wajah tenang suaminya telah membuatkan perasaan malu Aisyah makin menjadi-jadi. Aisyah meletakkan cawan di meja bersebelahan katil. "Jemput minum bang, sayang pasangkan lampu tidur dulu." Aisyah memicit suis lampu tidur di tepi katil dan terus ke arah suis lampu berhampiran pintu. Kini, bilik tidur itu hanya diterangi cahaya samar dari lampu tidur. Aisyah mendapatkan suaminya. Dia duduk di sebelah. Cawan di meja tidak terusik. Tiba-tiba sang suami mendapatkan suis lampu tidur. Dimatikan. Gelap gelita. Dia tahu perasaan malu yang menebal di dalam diri isterinya kerana dia juga merasai perkara yang sama. Biar masing-masing tak nampak muka. Kuranglah sikit gementar di hati. Jari jemari Aisyah dirangkul.

"Sayang, abang nak sayang tahu. Sebenarnya sayang isteri kedua abang."

Berderau darah Aisyah mendengar luahan suaminya. Fikirannya kosong, dicuba kawal emosi. Menanti bicara seterusnya.

"Isteri kedua abang setelah dakwah dan tarbiah yang telahpun lama menjadi isteri pertama abang. Abang harap, abang boleh berlaku adil buat kedua-dua isteri abang."

"Abang, sayang tak rela dimadukan oleh sesiapa sahaja. Andai abang umpamakan dakwah dan tarbiah sebagai isteri pertama abang. Aisyah juga boleh mengandaikan bahawa abang merupakan suami kedua sayang. Tapi sayang tak boleh bersuami dua. Sekiranya sayang pilih dakwah dan tarbiah, sayang tak akan berkahwin. Dan, bila sayang terima abang sebagai suami sayang, sayang terpaksa ceraikan dakwah dan tarbiah. Sayang tak rela bang..."

Diam.

"Sayang harap, dakwah dan tarbiah bukanlah sebagai isteri pertama abang. Biarlah sayang je yang jadi isteri pertama, kedua, ketiga, dan keempat buat abang. Sayang nak dakwah dan tarbiah sebagai murabbi kita dalam memperkasakan baitul Muslim impian kita. Dakwah dan tarbiah yang akan membimbing kita untuk membentuk ulama-ulama generasi al-Quran kelak." Luah Aisyah.

"Subhanallah. Abang harapkan seorang isteri, tetapi Allah kurniakan bidadari." Bahu Aisyah dirangkul.

Lumrah manusia yang sukakan pujian. Aisyah tertunduk malu. Rasa cinta kian menebal.

"Hmm abang, sayang ada sesuatu yang nak beritahu abang. Sayang harap abang tak kecil hati bila dengar apa yang sayang nak beritahu ini." Aisyah mengagahkan diri untuk meluahkan apa yang terbuku di hati.

Diam.

"Sebenarnya, lepas maghrib tadi, sayang period. Sayang minta maaf sebab tak dapat layan abang malam ni. Sayang minta maaf."

Diam.

Aisyah kini berasa serba salah. Dilihat muka suaminya dalam gelap malam. Tenang tiada riak. "Err, abang..."

"Abang tak rasa kecil hati sebab Aisyah tak dapat layan abang. Tapi abang kecil hati sebab tak dapat buat solat sunat tahajud pada malam pertama perkahwinan kita..." Akhirnya sang suami turut meluahkan apa yang terbuku di hati.

"Abang! Sayang minta maaf sangat-sangat! Sayang janji lepas ni, hari-hari kita solat sunat tahajud sama-sama. Kalaupun sayang tak boleh, sayang janji sayang akan kejut abang supaya abang boleh buat solat sunat tahajud." Pelukan bertambah erat. Walaupun perasaan bersalah semakin menebal, namun ia seiring dengan rasa cinta yang berkali-kali ganda menebal dalam diri Aisyah. 

Fateh baru tiba di Madinah. Sebulan telah berlalu. Aisyah telahpun mengikut suaminya berhijrah. Pak Ahmad berat melepaskan puteri tunggalnya itu tetapi dia pasrah dengan tuntutan dakwah anaknya. Umat lebih memerlukan.

Fateh telah berhijrah ke Madinah selepas membuat keputusan yang cukup berat. Hijrahnya kerana Allah. Hijrahnya kerana ingin perdalamkan lagi ilmu agama. Dengan bantuan Pak Ahmad, Fateh telah berjaya membuka ladang ternakan kambing dan unta di Madinah. Beratus-ratus ekor kambing dan unta di bawah jagaan Fateh. Fateh juga telah bertalaqi dengan Sheikh Abdullah setiap kali lepas Subuh dan duduk menadah kitab
Daurah Syabab fi hamli risalatil Islam setiap kali lepas Isyak.

"Assalammualaikum Pak Ahmad, ada sesuatu perkara yang ingin Fateh bincangkan dengan Pak Ahmad. Fateh nak hijrah. Fateh nak pergi Madinah. Fateh nak mulakan hidup baru yang lebih baik. Fateh nak minta pendapat Pak Ahmad." Perbualan dengan Pak Ahmad beberapa bulan yang lepas terngiang-ngiang. Perbualan itu jugalah yang menjadi penyebab penghijrahannya di bumi Madinah. 

Pak Ahmad hanya diam membisu. Seketika kemudian Pak Ahmad bersuara. "Sebenarnya, Pak Ahmad ada hajat. Pak Ahmad sebenarnya berkenan pada Fateh untuk Pak Ahmad satukan dengan anak Pak Ahmad, Aisyah."

Fateh tersentak. Matanya merah. Empangan air mata pecah. Mengalir di pipi.

Tidak tidak tidak! Lelaki yang baik untuk wanita yang baik!

"Pak Ahmad, Fateh bukanlah calon yang sesuai untuk Aisyah. Fateh dah istikarah dengan pilihan Fateh untuk terus berhijrah ke Madinah. Fateh doakan Aisyah dipertemukan dengan lelaki yang jauh lebih soleh." Ujar Fateh. Pak Ahmad akur. Dia menghormati keputusan Fateh.

"Baiklah kalau macam tu, Pak Ahmad doakan juga Fateh berjaya dalam dunia dakwah dan tarbiah. Hijrahlah ke sana. Perdalamkan ilmu di sana. Pak Ahmad ada kawan yang jadi tuan ladang ternakan kambing dan unta di sana. Nanti Pak Ahmad cuba tanya dia kalau-kalau dia perlukan pekerja."

Talian dimatikan. Seketika kemudian Pak Ahmad mendapat panggilan.

"Assalammualaikum Abu Ubaidah, ada apa talefon Pak Ahmad ni? Ada masalah ke?"

"Waalaikumsalam, Pak Ahmad, ana ada hajat. Anak Pak Ahmad, Aisyah, ada orang sunting tak? Kalau tak ada, ana nak jadi orang pertama." Jujur Abu Ubaidah Amir meluahkan hasrat hati.

Pucuk dicita ulam mendatang. Proses khitbah, bertunang, akad berjalan dengan lancar. 

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Kini Fateh telah bermastautin di bumi Madinah hampir 5 tahun. Fateh juga tidak lupa menyampai berita perkembangannya kepada Pak Ahmad dan ikhwah-ikhwah yang berada di tanah air.

Suatu hari, seruan intifada telah berkumandang hingga ke Madinah. Fateh telah mengambil bahagian untuk ke Palestin demi menyelamatkan umat. Akhirnya Fateh syahid di jalan Allah semasa menentang Israel. Pak Ahmad yang paling merasai kehilangan Fateh. Namun dia tetap berbangga dengan semangat Fateh hingga gugur syahid.

Sekian.